Sebagai muslim, kita sangat sedih bila melihat perubahan demi perubahan ke arah liberalisasi bumi Arab Saudi. Masakan tidak, hampir 10 tahun saya pernah menetap di sana menimba ilmu.
Bukan tak biasa kita melihat maksiat sedemikian berleluasa di negara-negara Islam lain, malah mungkin lebih teruk lagi. Bumi Syam seperti Jordan dan Syria juga ada. Tapi kerana sebelum ini, Arab Saudi terkenal dengan sikap sangat berjaga-jaga supaya suasana Islam yang disulami budaya tempatan tidak dirosakkan oleh elemen kebaratan. Negara yang mengaplikasikan undang-undang syariah dan “al-amr bi al-ma’ruf wa al-nahyu ‘an al-munkar”. Negara yang dipenuhi majlis ilmu, kebajikan dan banyak menghulurkan bantuan kepada saudara seagama di serata dunia.
Mutakhir ini, agenda pengeropahan berlaku dalam tempoh yang sangat drastik dan pantas, semakin berbeza dari suasana ketika saya tamat belajar sarjana di sana pada tahun 2013.
Kini acara hiburan, konsert terbuka, pendedahan aurat dan pergaulan bebas semakin berleluasa di pelbagai tempat. Sesuatu yang tidak pernah kita saksikan dengan mata kepala kita sebelum ini di negara yang terkenal sebagai bumi tauhid itu.
Bagaimanalah keadaannya di sana 10 tahun dari sekarang?
Kita yakin para ulama dan para pencinta agama di sana pasti benci, marah, sedih dan terkilan dengan apa yang sedang berlaku.
Kita yakin mereka telah menasihati dan menyampaikan apa yang terdaya dalam membantah kemungkaran yang sedang terjadi.
Sebagai muslim kita tidak menaruh prasangka buruk apa yang kita tidak tahu atau ‘berzikir’ dengan tuduhan provokasi.
Akhirnya kuasa politiklah yang mencatur landskap negara.
Kita hanya mampu berdoa semoga Allah mengurniakan petunjuk kepada para pemerintah di sana dan terus memelihara kesucian kedua-dua Tanah Haram yang sangat dekat di hati serta kita semua cintai.