Ada orang tanya saya tentang satu potongan video ceramah saya yang dibuat oleh pihak tertentu yang memotong ucapan “Allah ni alam ghaib”. Mereka menjadikan video itu hujah saya telah kafir sebab menyatakan Allah itu makhluk. Demikianlah kebiasaan mereka.
Cakap saya itu ada konteks dan taqdir (andaian wujud kalimat) yang sering berlaku dalam cakap terutama masa ceramah. Saya sedang bercerita tentang ALLAH turun ke langit dunia dan tentang Arasy. Maka saya bagitahu itu semua alam ghaib. Maka saya kata “ALLAH ni alam ghaib” maksudnya “ALLAH ni (berbicara) alam ghaib”. Itulah konteks ayatnya jika dilihat bab yang sedang dibicarakan.
Ini berlaku dalam bahasa dimana di’taqdir’kan jika ada qarinah (kaitan) yang jelas. Ini seperti ungkapan dalam hadis qudsi riwayat al-Bukhari dan Muslim:
عن أبي هريرة: قالَ اللهُ: يَسُبُّ بَنُو آدَمَ الدَّهْرَ، وأَنا الدَّهْرُ، بيَدِي اللَّيْلُ والنَّهارُ.
Daripada Abu Hurairah: Allah berfirman “Anak Adam mencerca masa sedangkan AKU ADALAH MASA. Dalam tangan tanganKU malam dan siang”.
Qarinah (kaitan) ayat jelas bahawa bukan ALLAH itu masa tetapi ALLAH Pencipta masa. Pada tanganNYA malam dan siang. Maka ayat AKU ADALAH MASA bermaksud AKU Pencipta masa.
Logiknya pun, masakan saya kata ALLAH itu makhluk, padahal beribu video ceramah saya menerangkan betapa Allah tidak sama dengan makhluk. Beribu ceramah itu mereka enggan dengar, yang satu ungkapan itu yang mereka jadikan alasan. Sebabnya, niat buruk yang tersimpan dalam jiwa ‘kesufian’ mereka. Jika saya ‘geng’ mereka, tentulah mereka takwil ucapan itu. Selama ini mereka boleh mentakwilkan perkara yang tiada qarinah, mengapa di sini enggan mereka takwil perkara yang jelas qarinah dan logiknya?!
Mereka kata kami ASWAJA tidak mudah mengkafirkan seperti geng Ahlus Sunnah wal Jamaah yang suka tanya dalil. Ketika mereka menari dan meminta dari mayat di kubur, mereka berikan berbagai takwilan. Video yang mereka potong itu tidak mahu mereka berikan takwilan pula.
Demikianlah apabila niat buruk dan permusuhan dijadikan keutamaan dalam kehidupan sesetengah manusia. Di sebalik serban besar dan kononnya ‘kesufian’, sentiasa tersimpan di dada niat yang buruk serta sangkaan yang tidak baik kepada muslim yang lain. Semoga ALLAH memelihara kita dari semua itu.
Sumber: https://www.facebook.com/DrMAZA/posts/pfbid02bUxuQ5HrDLi44hH2oCoqDDoiKYZuArvkzMo1NyPbs1yh1jfbngKnDFYVPRmdgVoJl