Loading

1. Masih ramai yang kurang faham dengan ilmu Kalam yang menjadi kontroversi di kalangan para ulama awal dan kemudian. Maka tidak hairanlah ada yang sentap bila dikritik ilmu Kalam ini. 

Takrifan ilmu Kalam itu sendiri menjadi medan perselisihan para ilmuwan, namun rumusannya, ia merupakan sebuah ilmu yang cuba menetapkan akidah agama melalui neraca akal sehingga banyak mencampuri urusan ghaib dan ketuhanan yang tidak tercapai dek akal.

2. Tidak dapat disangkal lagi bahawa asal kewujudan ilmu Kalam itu dipengaruhi oleh ilmu Falsafah yang banyak berpaksikan kepada ilmu Mantiq (logika), khususnya selepas percampuran budaya dan pemikiran hasil dari perluasan empayar Islam serta penterjemahan karya-karya falsafah Yunan di era ‘Abbasiyyah. 

Sebelum itu tidak pernah kedengaran isitilah akidah seperti “jawhar” (paksi diri), “’aradh” (kewujudan yang memerlukan tempat) dan seumpamanya.

3. Penterjemahan ini begitu giat dijalankan ketika era al-Barmakiyyah, iaitu Yahya bin Khalid bin Barmak, salah seorang guru kepada Khalifah al-Rasyid (wafat 190 h). Kemudian pada era Khalifah al-Ma’mun (198 h – 218 h), aktiviti tersebut semakin rancak, sedangkan di era dinasti Umawiyyah, kegiatan penterjemahan kebiasaannya hanya terhad kepada karya-karya seperti perubatan yang tidak melibatkan Falsafah dan Mantiq. 

Tokoh seperti ‘Abdullah bin al-Muqaffa’ (wafat 145 h) yang berasal dari Parsi merupakan antara yang terawal menterjemahkan karya Mantiq sehingga pernah dituduh sebagai Zindiq.

4. Projek ini hakikatnya telah menyebabkan percambahan kelompok ‘aqlaniyyun yang terlalu mendahulukan akal mengatasi nas wahyu seperti Jahmiyyah yang diasaskan oleh Jahm bin Safwan (wafat 128 h), Mu’tazilah yang dipelopori oleh Wasil bin ‘Ata’ (wafat 131 h) dan ‘Amr bin ‘Ubayd (wafat 143 h) sehingga terpecah kepada lebih 20 kelompok dan lain-lain.

Prinsip atau “roh” akal ini terus subur berterusan dan bercambah dalam pelbagai aliran dan pemikiran kemudiannya sehingga kini. Cuma ia boleh berinovasi dan menjelma dalam pelbagai jenis aliran, keadaan dan kesesuaian zaman.

5. Ilmu Falsafah yang dirangka untuk memahami hakikat kewujudan merangkumi mafhum yang luas baik dari sudut agama mahupun bukan agama, namun munculnya ilmu Kalam yang mempunyai pengaruh ilmu Falsafah itu lebih menfokuskan ke arah perbahasan agama khususnya akidah seperti rukun iman, sifat atau perbuatan Allah, kenabian, takdir, akhirat dan sebagainya.

6. Begitu kuat pengaruh dan kontroversinya ilmu Kalam ini sehinggakan tidak kurang dari kalangan para ilmuwan Islam yang menceburinya sendiri atas alasan senjata terbaik menjatuhkan hujah musuh ialah melalui prinsip dasarnya sendiri iaitu akal. 

Kemahiran dalam menguasai ilmu Kalam ini dilihat boleh menghasilkan kemampuan untuk menegakkan syariat dan ia telah menjadi satu ALAT baru dalam menekuni ilmu agama.

Namun tokoh besar ahli sunnah seperti Imam Ahmad bin Hanbal lebih cenderung untuk berhujah dengan mereka berdasarkan manhaj ahli hadis yang berpaksikan kepada al-Quran dan al-Sunnah kerana ia dilihat sudah cukup ampuh untuk membenamkan hujah lawan.

7. Jika kita soroti perkembangan ilmu Kalam dan pandangan para ilmuwan Islam terhadapnya, kita akan mendapati sebahagian besar ilmuwan awal (al-mutaqaddimun) seperti Imam Malik (wafat 179 h), Imam Abu Yusuf al-Hanafi (wafat 182 h), Imam al-Syafi’i (wafat 204 h), Imam Ahmad (wafat 241 h) yang mencela ilmu Kalam, kerana ketika itu merupakan bibit-bibit awal kemunculannya yang telah menimbulkan huru-hara dalam agama dan politik, pertumpahan darah serta perdebatan yang begitu meluas dalam akidah sehingga menolak banyak nas agama. 

Begitu juga Imam al-Juwayni (wafat 478 h) dari kalangan Asya’irah yang pernah menegah dari menyibukkan diri dengan ilmu Kalam melalui pengalaman beliau sendiri dalam bidang tersebut.

Sedangkan sebahagian besar ilmuwan terkemudian (al-mutaakhkhirun) melibatkan diri dan memandang positif ilmu Kalam ini, kerana ia merupakan senjata hujah yang baik khususnya setelah dilakukan beberapa revolusi dan kemas kini.

8. Sekiranya kita mahu memahami maksud di sebalik ilmu Kalam yang dicela ramai para ulama awal dahulu, kita perlu memahami cabaran ideologi yang dihadapi para ulama pada setiap zaman mereka. Kemunculan ajaran seperti Jahmiyyah dan Mu’tazilah dikategorikan sebagai ahli Kalam pada era tersebut kerana paksinya yang sama iaitu pengagungan akal sebagai sumber yang memutuskan akidah. 

Sebelum itu pemikiran seperti Qadariyyah dan Jabariyyah juga dari bibit yang serupa. Justeru ahli Kalam boleh berevolusi dalam pelbagai jenis aliran pada setiap zaman.

9. Kelompok-kelompok tersebut juga terpecah kepada beberapa aliran lain mengikut tahap ‘hardcore’ masing-masing. Misalnya dalam golongan Mu’tazilah di Iraq, aliran Mu’tazilah ‘cawangan’ Baghdad dilihat lebih ekstrim dari ‘cawangan’ Basrah.

10. Besarnya pengaruh ilmu Kalam ini sehinggakan ia telah mempengaruhi banyak metodologi akidah kelompok lain termasuk Zaidiyyah yang merupakan cabang Syiah yang kemudian terpecah lagi kepada beberapa aliran seperti Jarudiyyah, Sulaymaniyyah, Batriyyah dan lain-lain.

Begitu juga pengaruhnya terhadap ilmu-ilmu Islam. Justeru tidak hairan jika ramai dari kalangan para ulama Usul yang berkemahiran dalam bidang ilmu Kalam. 

Saya berani mengatakan perbahasan ilmu hadis seperti Mutawatir dan Ahad, “ifadah al-yaqin & al-zhan” itu juga adalah hasil dari pengaruh ilmu Kalam yang bermula dari kemunculan beberapa ajaran yang cuba menolak penghujahan sebahagian hadis khususnya dalam bab akidah!