Loading

1. Saya diberikan sebuah video berkaitan azan yang ditambah perkataan “Sayyidina” ketika menyebut nama Rasulullah. Azan tersebut dengan lafaz:

اشهد ان سيدنا محمدا رسول الله

Dikatakan perkara ini berlaku di Malaysia. Ada yang bertanya saya, adakah amalan sebegini wujud pada zaman sahabat dan adakah ia dilakukan oleh Imam mazhab yang 4?

2. Mencintai Rasulullah merupakan kewajipan buat kaum Muslimin. Walaupun baginda merupakan rasul akhir zaman, namun baginda adalah Sayyid iaitu penghulu untuk anak Adam di hari kiamat dan diberi keistimewaan tertentu.

Rasulullah bersabda:

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Aku adalah sayyid (pemimpin) anak adam di hari kiamat”

(Riwayat Muslim)

Pertama sekali, kita perlu membezakan antara menambah Sayyidina ketika disebut nama Rasulullah dalam keadaan biasa dan ketika melakukan ibadah khusus seperti azan/solat.

Kita sepakat boleh menambah lafaz Sayyidina pada keadaan biasa selain daripada azan dan solat. Hal ini kerana baginda pernah menyebutkan dirinya adalah “sayyid” di luar daripada solat.

2. Saya tidak menjumpai teks dari Imam mazhab yang 4 seperti Imam Syafie, Ahmad, Abu Hanifah dan Ahmad menganjurkan penambahan lafaz “Sayyidina” ketika azan. Melainkan ulama terkemudian yang datang setelah mereka sahaja yang menggalakkan penyebutan ini.

Dalam kitab al-Umm, Imam Syafie ada meletakkan riwayat berkaitan lafaz azan. Tidak ada disebutkan oleh beliau berkaitan penambahan lafaz “Sayyidina” ketika azan tersebut. Ini lafaz yang terdapat dalam kitab al-Umm.

أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ

Tiada penambahan “Sayyidina” seperti video yang tersebar tersebut.

3. Ulamak terkemudian yang menggalakkan penyebutan Sayyidina ketika azan ini menggunakan kaedah:

فالأدب مقدَّم على الاتباع

“Adab (terhadap Rasulullah) lebih diutamakan daripada mengikuti perintah Rasulullah”

Ulamak terkemudian dari mazhab Syafie (bukan pandangan Imam Syafie) yang menggalakkan penyebutan “Sayyidina” ketika azan seperti terdapat dalam Hasyiah Al-Syabromalisi berkata:

يؤخذ من هذا سن الإتيان بلفظ السيادة في الأذان ، وهو ظاهر لأن المقصود تعظيمه صلى الله عليه وسلم بوصف السيادة حيث ذكر . لا يقال : لم يرد وصفه بالسيادة في الأذان . لأنا نقول : كذلك هنا وإنما طلب وصفه بها للتشريف وهو يقتضي العموم في جميع المواضع التي يذكر فيها اسمه عليه الصلاة والسلام

“Daripada perkara ini dapat diambil kesimpulan bahawa sunnah mendatangkan dengan lafaz siyadah (sayyidina) dalam azan. Ini yang jelas kerana tujuannya untuk mengagungkan Rasulullah dengan siyadah (penambahan Sayyidina) ketika nama Rasulullah disebut. Tidak boleh seseorang mengatakan:

“Tidak ada yang warid (daripada hadis-hadis) bahawa nama Rasulullah disifati (ditambah) dengan siyadah (sayyidina) dalam adzan.’

Kami menjawab (jika ada yang mengatakan tidak boleh): ” Demikian juga di sini (dalam tasyahhud). Tuntutan penambahan siyadah (sayyidina) dengan bertujuan untuk memuliakan, dan itu berlaku secara umum pada setiap keadaan ketika nama Rasulullah disebut”

Pandangan di atas ini adalah antara ulamak terkemudian yang mengatakan anjuran penambahan. Demikian juga disebutkan oleh Darul Ifta di Mesir.

4. Ibn Hajar pernah ditanya berkaitan perihal penambahan lafaz Sayyidina dalam selawat. Ringkasan jawapan dari Ibn Hajar berkaitan hendak ditambah selawat atau mengikut lafaz yang ma’thur adalah:

نعم اتِّباعُ الألفاظ المأثورة أرجح ، ولا يقال : لعلَّه ترك ذلك تواضعاً منه صلى الله عليه وسلم كما لم يكن يقول عند ذكره : صلى الله عليه وسلم ، وأمّتهُ مندوبة إلى أن تقول ذلك كلما ذُكر ؛ لأنَّا نقول : لو كان ذلك راجحاً لجاء عن الصحابة ، ثم عن التابعين ، ولم نقِفْ في شيءٍ من الآثار عن أحدٍ من الصحابة ولا التابعين أنه قال ذلك

“Ya, mendoakan berselawat kepada Rasulullah dengan mengikut lafaz yang ma’thur (yang ada dalam nas) lebih rajih (lebih kuat). Tidak benar jika ada yang mengatakan:

“Rasulullah meninggalkan penyebutan lafaz ‘sayyidina’ kerana tawaduk seperti mana baginda tidak menyebut secara khusus (lafaz di bawah) apabila disebutkan nama baginda:

صلى الله عليه وسلم

Sedangkan disunnahkan buat umat baginda untuk menyebutnya ketika disebutkan nama Rasulullah.

Kami katakan (Ibn Hajar menjawab), jika hujah sedemikian (digunakan untuk sebut sayyidina) itu lebih rajih, telah tentulah ia telah dilakukan oleh sahabat dan tabien. Dan kami tidak menjumpai dalam riwayat daripada sahabat ataupun tabien melakukan hal demikian”

Kesimpulan:

– Saya cenderung kepada pemdapat Ibn Hajar dalam masalah ini.

– saya kurang bersetuju dengan alasan penambahan “sayyidina” dalam azan dan solat untuk beradab. Ini kerana jika ia diterima sudah pastinya golongan sahabat dan tabiin sudah memulakan lafaz ini kerana mereka lebih beradab dengan Nabi sallallah alaih wasallam.

– Walau bagaimanapun, menyebut “Sayyidina” dalam keadaan biasa iaitu sewaktu nama baginda disebut dan ketika ibadah khusus seperti azan merupakan dua perkara berbeza. Adapun ketika azan, seeloknya kekalkan seperti mana yang ada dalam hadith.

Allah lebih mengetahui.

Dr Rozaimi Ramle

Sumber: https://www.facebook.com/rozaimiramle/posts/pfbid0QmRoFoNkPhUEZMcuza7FVvfeP8grdhcmz511qBa75vAtBJxNRSM9tAPUfwsh5BSTl

Video: https://www.facebook.com/garislurustv/videos/678824104023103/