Loading

Semalam banyak kawasan di semenanjung tanah air mengalami “blackout” seketika. Mungkin bagi kita itu hal biasa. Tapi saya teringatkan kisah seorang tokoh teragung salaf iaitu Ibn al-Mubārak (w. 181 h) yang sering teringatkan akhirat dalam setiap apa yang berlaku dalam kehidupannya. Bahkan “blackout” beberapa minit sahaja sudah cukup membuatnya sangat takut akan nasibnya di alam kubur.

Ramai para ulama dan manusia di zamannya yang tertanya-tanya: Apa yang membuatkan Ibn al-Mubārak ini lebih daripada orang lain? Pelbagai kelebihan yang dimilikinya membuatkan ramai tokoh ilmuwan hebat dan manusia pada eranya yang sangat mengimpikan untuk menjadi seperti beliau.

Kalau beliau rajin solat, orang lain pun rajin solat.

Kalau beliau rajin berpuasa, orang lain pun rajin berpuasa.

Kalau beliau pergi berjihad, orang lain pun ada yang pergi berjihad.

Kalau beliau pergi haji, orang lain pun pergi haji.

Sampailah pada suatu ketika, al-Qāsim bin Muhammad keluar bermusafir bersama Ibn al-Mubārak. Pada suatu malam, dalam perjalanan mereka ke bumi Syam, lampu pelita yang dipasang terpadam. Keadaan pun menjadi gelap gelita. Lalu salah seorang daripada ahli rombongan pun keluar membawa lampu itu untuk dihidupkan. Setelah seketika, dia pun datang kembali membawa lampu pelita yang telah dihidupkan.

Setelah bilik itu diterangi cahaya semula, mereka terlihat wajah Ibn al-Mubārak dan janggutnya yang telah dibasahi air matanya yang bercucuran.

Melihat situasi itu, al-Qāsim bin Muhammad pun berkata kepada dirinya sendiri: “Dengan ketakutan inilah, Allah telah mengangkatnya lebih daripada kami semua! Barangkali ketika dalam kegelapan yang sebentar itu, beliau teringat akan (kegelapan alam barzakh atau teringat akan) hari Kiamat” [Sifah al-Safwah: 4/121].

Bayangkan, dalam sejenak kegelapan saja sudah membuatkan Ibn al-Mubārak menangis kerana teringatkan kematian. Kita pula masih banyak tertawa seolah-olah akan hidup selamanya atau akan selamat di alam sana.

Suatu hari kelak, kita semua akan disemadikan bersendirian dalam kubur yang sangat gelap dan sempit. Hanya amalan soleh sahaja yang mampu menerangi dan melapangkan tempat yang kita diami itu untuk entah berapa lamanya.

Semoga Allah selamatkan kita semua daripada kengerian azab kubur.

Sumber: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=pfbid02uyizo2VCzUdL6fThb2BVQURjHqoTkg2XfaTNjYrPtNcqkrW84S7HCVu5oFZe5ELil&id=1743258955902336