Bolehkah Beramal dengan Hizib-hizib Tertentu?
Terdapat banyak hizib yang diamalkan oleh pengikut tariqat seperti Hizib Bahr, Hizib Kabir dan Hizb Nawawi. Berikut sedikit penjelasan daripada saya.
1- Nabi s.a.w. menggalakkan kita membaca hizib. Baginda s.a.w. menjelaskan,
عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَامَ عَنْ حِزْبِهِ أَوْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ فَقَرَأَهُ فِيمَا بَيْنَ صَلَاةِ الْفَجْرِ وَصَلَاةِ الظُّهْرِ كُتِبَ لَهُ كَأَنَّمَا قَرَأَهُ مِنْ اللَّيْلِ
“Sesiapa yang tertidur daripada mengamalkan hizibnya, atau sesuatu daripadanya, kemudian dibaca antara Subuh dengan Zohor, ditulis baginya seolah-olah dia membaca di waktu malam.” (Sahih Muslim)
Hizib yang dimaksudkan Nabi s.a.w. ialah himpunan wirid yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran yang sering dibaca dalam solat malam. (‘Aun al-Ma‘bud)
2- Ada masa sekarang terdapat dua jenis hizib.
Hizib yang berasal daripada Nabi s.a.w. yang sering kali disebut al-Ma’thurat. Ma’thurat yang disusun oleh Sheikh Qahtan dan al-Banna sangat baik diamalkan; cuma ada sedikit zikir dalam Ma’thurat Hasan al-Banna yang perlu dinilai semua. Secara umumnya, tiada masalah untuk diamalkan.
Hizib rekaan sesetengah pengamal sufi yang kononnya berpunca daripada kasyaf, mimpi dan seumpamanya. Ini yang saya rungsingkan.
3- Hizib Nawawi dikaitkan dengan Imam Nawawi, malangnya tiada satu bukti hitam putih membuktikan memang Imam Nawawi mengamalkan hizib tersebut. Walhal Imam Nawawi ada menyusun kitab al-Azkar, tidak pula ditemui hizib tersebut di dalamnya.
4- Terdapat beberapa kesan negatif beramal dengan hizib yang tidak syarie.
Meninggalkan zikir-zikir daripada al-Quran dan hadith s.a.w. Kesibukan beramal dengan hizib pagi dan petang alan menghilangkan fokus mereka daripada beramal dengan zikir Qurani dan Nabawi.
Membuka ruang taksub pada guru, sheikh atau tariqat tertentu. Sampailah mendorong pengamal tariqat itu merendah-rendahkan bacaan al-Quran dan Zikir Nabawi.
Mereka mengutamakan bacaan hizib melebihi kewajipan lain seperti menuntut ilmu, sama juga mereka mengutamakan qasidah berbanding zikir-zikir. Mereka bernasyid memuji Nabi s.a.w. kemudian mendakwa mereka berselawat.
Ada beza antara qasidah atau nasyid dengan selawat.
Rumusan:
Zikir-zikir yang ada dalam al-Quran dan hadith, sudah terlalu banyak untuk diamalkan. Usahlah beralasan kami beramal dengan kedua-duanya, kerana realitinya kita tidak mampu menggabungkan antara yang jernih dengan keruh.
Sumber: https://www.facebook.com/DrBasriIbrahim/posts/pfbid02uMRVtqtRVyDXwG3uRJGFmPHLG9U99FrhjtfoFpGNRmik9sHdwSz1wKRZpViaZYMKl