هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ ٱلشَّمۡسَ ضِيَآءً۬ وَٱلۡقَمَرَ نُورً۬ا
“Dia-lah yang menjadikan matahari terang bersinar dan bulan bercahaya” [Yunus: 5].
1. Dalam al-Quran cahaya bulan disebut sebagai نُوْر, manakala cahaya matahari pula sebagai ضِيَاء. Kedua-duanya merupakan cahaya. Namun apakah perbezaan antara cahaya نُوْر dan cahaya ضِيَاء?
2. Ramai daripada kalangan ahli tafsir berpandangan bahawa نُوْر merupakan cahaya yang tiada bahang, berbeza dengan ضِيَاء yang mengandungi sinaran yang lebih panas dan boleh menyakitkan.
3. Sekalipun نُوْر dan ضِيَاء merupakan perkataan sinonim pada asalnya, namun di dalam al-Quran ada isyarat yang menunjukkan perbezaan antara cahaya bulan dan matahari, yakni Allah menyifatkan matahari pada ayat yang lain sebagai سِرَاج (lampu), sedangkan bulan tidak pernah disifatkan sedemikian. Ini menunjukkan cahaya matahari umpama lampu dari sudut sumber asal cahaya dan cahaya yang berhaba, sedangkan bulan pula hanya kelihatan bercahaya ketika memantulkan sinaran cahaya daripada matahari, tanpa membawa bahangnya.
4. Dalam al-Quran [al-Anbiya’: 48], syariat Nabi Musa AS digambarkan sebagai ضِيَاء, kerana ia bersifat lebih “panas” dan mengandungi banyak hukuman akibat kedegilan dan tipu daya Bani Israel yang tabiatnya sentiasa kufur.
Manakala syariat Nabi Muhammad ﷺ pula disifatkan sebagai نُوْر [al-Maidah: 15, al-A’raf: 157] kerana cirinya yang lebih toleran dan diberikan banyak keringanan.
5. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim:
“الصلاةُ نُورٌ، والصبرُ ضِياءٌ”.
Nabi ﷺ menyebut bahawa solat itu sebagai نُوْر, dan sabar pula sebagai ضِيَاء, kerana kesabaran itu besar ganjaran dan natijahnya di sebalik keperitan yang ditanggung, sedangkan solat pula di sebalik fadilatnya yang sangat utama dan pelbagai, ia merupakan kunci ketenangan yang menyejukkan diri dalam menghadapi segala kesulitan. Justeru Nabi ﷺ bersabda: “Aku dikurniakan ketenteraman di dalam solat” [riwayat Ahmad] dan Baginda bersabda lagi: “Wahai Bilal, rehatkanlah kami dengan solat!” [riwayat Ahmad].
Nak jadi mukmin yang lebih “bercahaya” daripada matahari dan bulan?
Sentiasalah bersabar dan jaga solat. Allah dah pesan:
وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan kesabaran dan solat” [al-Baqarah: 45].