Loading

Kenyataan yang agak ganjil. Begitu banyak kali cubaan untuk menghalalkan tarekat ini gagal, sehingga akhirnya hanya kerana satu kertas yang kabur dibawa, kononnya atas satu titah, lalu diisytiharkan ‘halal’.

Padahal perbincangan itu menyebut ‘hanya boleh diamalkan oleh pengikutnya dengan syarat jika tidak bercanggah…’ Hujahan panel JAKIM terdahulu yang begitu banyak tentang kesesatan tarekat ini masih belum dijawab. Sepatutnya, kenyataan “hanya boleh diamalkan jika tidak bercanggah…” yang dipersetujui bersama bukan lesen menghalalkan tarekat tersebut.

Ini kerana kenyataan itu juga menyebut “mana-mana tarekat boleh diamalkan dengan syarat jika tidak bertentangan…”. Apakah ini bererti semua tarekat telah JAKIM halalkan?

Pasti bukan itu maksudnya sepatutnya!! Sebelum itu pun, keputusan JAKIM sebelumnya pernah didesak berulang kali berhubung dengan tarekat ini. Kajian demi kajian panel JAKIM masa itu tetap membuktikan ia tarekat yang menyeleweng.

Tiba-tiba keputusan tegas JAKIM sebelum ini bagaikan sia-sia.

Keputusan yang dahulu dibawa ke Majlis Raja-Raja. Apakah itu telah dimansukh? Kertas menghalalkan itu dibentangkan mutakhir ini kononnya atas titah satu negeri lalu terus dikatakan halal.

Saya tidak pasti sejauh mana benar dakwaan itu. Saya bimbang, salahguna nama. Sebab peliknya, Jabatan Mufti negeri berkenaan sendiri tidak membenarkan tarekat tersebut. Satu lagi, jika tarekat ini tidak sesat, maka Jamaah al-Arqam yang kerajaan tangkap dan hapuskan dahulu juga hendaklah diisytiharkan tidak sesat. Dakwaan keduanya hampir sama.

Akhirnya kita lihat, keputusan-keputusan sebegini ini lebih bersifat kehendak kumpulan bukan fakta.

Untuk menghilangkan kekeliruan, saya mencadangkan satu wacana ilmiah terbuka dibuat tentang tarekat ini agar dapat disaksikan oleh rakyat. Banyak video Syeikh Nazim itu boleh disaksikan di internet serta dinilai. Jika mereka benar, pasti pengerusi muzakarah sekarang pun boleh mewakili mereka. Ramai yang bersedia untuk berdialog tentang tarekat ini insha-Allah.

Pautan berita: Dibenar amal Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani