Viral pula video ini. ( https://vt.tiktok.com/ZSJvjP7GB/ / https://www.youtube.com/watch?v=Jy9XsAtB6D0 )

Apabila beliau berbicara tentang seseorang yang merasa Islam adalah superior dan orang Islam merasakan Islam adalah agama yang paling betul sambil beliau buat memek muka sebegitu saya merasakan ada yang tidak kena dengan beliau.

Saya mohon beliau rujuk semula al-Quran yang beliau petik dalam video ini kerana al-Quran bukan sahaja ada surah al-Kafirun. Banyak lagi surah lain yang perlu ditelaah. Lihat dalam surah Aal Imran, Allah berfirman:

(وَمَن یَبۡتَغِ غَیۡرَ ٱلۡإِسۡلَـٰمِ دِینࣰا فَلَن یُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ)

[Surah Ali Imran: 85]

Maksudnya: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Ayat ini mengatakan orang Islam perlu percaya bahawa agama Islam yang paling betul. Perlu percaya bahawa hanya agama Islam yang diterima oleh Allah. Ibn Kathir menegaskan:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا سِوَى مَا شَرَعَه اللَّهُ فَلَنْ يُقْبل مِنْهُ

Maksudnya: Sesiapa yang melalui jalan selain daripada apa yang Allah syariatkan maka ia tidak akan diterima daripadanya. (Tafsir Ibn Kathir)

Bahkan kalau ditanya kepada penganut agama lain pun, mereka akan mengatakan agama mereka paling benar. Ini adalah sesuatu yang biasa. Jadi tidak ada masalah bagi orang Islam untuk percaya bahawa Islam agama yang paling betul.

Walau bagaimanapun, sebahagian apa dicakap oleh hamba Allah ini betul iaitu tidak boleh memaksa orang memeluk Islam. Ayat dari surah al-Kafirun yang beliau baca pun betul.

(لَكُمۡ دِینُكُمۡ وَلِیَ دِینِ)

[Surah Al-Kafirun 6]

Maksudnya: Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Jadi percaya Islam sebagai agama yang benar dan satu-satunya diterima di sisi Allah tidak mewajarkan kita melakukan kekerasan memaksa orang untuk masuk ke dalam Islam.

Begitu juga tidak wajar buat memek muka pelik dengan kepercayaan orang Islam bahawa agama Islam yang paling benar dan satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah kerana itulah yang disebutkan oleh al-Quran.

Jangan memaksa orang masuk Islam dengan kekerasan. Jangan juga paksa orang untuk percaya memek muka awak dalam video ini juga.

Cuma saya ada satu soalan: Siapa yang paksa orang masuk Islam ni? Cuba bagi nama dia saya nak tegur sikit.