Loading

Para ulama berbeza pandangan tentang kesucian darah ikan:

1. Najis.

Ia merupakan pandangan Imam Malik dan Imam al-Syafi’i.

2. Suci.

Ia merupakan pandangan Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan salah satu pandangan yang diriwayatkan daripada Imam Malik.

Punca khilaf adalah kerana hadis Ibn ‘Umar RA berikut:

أحلَّت لَنَا ميتتانِ ودَمانِ، فأمَّا الميتَتانِ، فالحوتُ والجرادُ، وأمَّا الدَّمانِ، فالكبِدُ والطِّحالُ

“Dihalalkan buat kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai iaitu: Ikan dan belalang. Manakala dua jenis darah iaitu: Hati dan limpa” [hadis riwayat Ahmad, Ibn Majah, al-Daraqutni dan al-Bayhaqi].

a) Mereka yang berpandangan ianya najis, pengecualian darah yang halal hanyalah seperti yang disebutkan di dalam hadis, iaitu: Hati dan limpa. Maka darah ikan berbalik kepada hukum asal darah, iaitu najis sebagaimana dalam firman Allah:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ

“Diharamkan bagi kamu bangkai dan darah” [al-Maidah: 3].

Bangkai ikan yang halal tidak menafikan kenajisan darah yang terkandung di dalam jasadnya.

b) Manakala mereka yang berpandangan bahawa darah ikan adalah suci, kerana ikan termasuk daripada jenis bangkai yang halal dimakan tanpa sembelihan. Justeru darahnya tidak perlu dikeluarkan. Ia tidak sama hukumnya dengan haiwan yang disembelih kerana perlu dikeluarkan darah banyak yang mengalir (مسفوح) daripada uratnya, sedangkan ikan tiada urat sembelihan yang mengalirkan darah. Sekiranya ia merupakan darah yang haram dimakan seperti haiwan darat, nescaya bangkai ikan tidak dihalalkan melainkan setelah sembelihan. Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan bahawa “darah” yang kelihatan pada ikan hakikatnya bukan darah walaupun warnanya kelihatan seperti darah.

*** Saya rumuskan perbahasan ini supaya kita semua lebih faham punca para ulama berkhilaf, seterusnya menjadikan kita saling menghormati dengan sudut pandang ijtihad para ulama yang mewakili kedua-dua pandangan ini.

والله أعلم

Sumber: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=pfbid037ymPXt5LgnAdMbiHKTLYhUsg49oH6KR9fpKRbJsbRUnoTgJP9AqBp5vLcHKmrkyel&id=1743258955902336