Isu ‘FOOD SECURITY’ adalah isu yang serius untuk diambil perhatian oleh semua pihak. Setiap manusia berhak untuk mendapatkan makanan yang cukup, berkhasiat dan selamat. Dengan populasi yang semakin meningkat, perubahan iklim, peperangan, limitasi tanah akibat pembangunan merupakan antara faktor jaminan makanan ini terjejas.
Saya ingat sudah tiba masanya kerajaan kembali mengutamakan dasar ekonomi agro berbanding perindustrian, kerana agro merupakan kelangsungan kehidupan manusia dalam situasi dunia dijangka akan terus menghadapi krisis makanan dalam lingkungan 10 tahun ini sekiranya tiada usaha yang serius dilakukan.
1. RANTAIAN MAKANAN (FOOD CHAIN).
Negara kita masih lagi menghadapi masalah ini. Ayam jadi mahal sebab dedak import naik harga. Kita ternak haiwan, tapi lupa untuk bangunkan pembuatan makanan ternakan tempatan yang mencukupi.
2. IMPORT & EKSPORT.
Kita import RM 55 bilion produk makanan, tapi kita cuma eksport RM 34 bilion. Kita makan roti, masak macam-macam jenis lauk, tapi banyak bahan mentah seperti bawang besar, daging, buah-buahan, produk tenusu, kopi, tepung gandum, teh, bawang kecil, ubi kentang dan minyak masak yang kita import dari luar, sebab penghasilan tempatan tidak mencukupi.
3. BELAJAR DARI NETHERLANDS (BELANDA) & THAILAND.
Belanda walaupun kecil, namun mampu mengeksport lebih daripada RM 500 bilion barang dan produk berkaitan pertanian ke seluruh dunia. Negara ini memiliki inovasi pertanian yang amat canggih sehingga mampu memaksimakan penjimatan bahan dan kos dengan ruang yang sangat minimum. Mereka juga merupakan pembekal utama teknologi dan peralatan berkaitan pertanian dan penternakan dunia. Thailand sebagai negara jiran pun tidak asing bagi kita. Kemajuan pertanian mereka merupakan penyumbang utama ekonomi dan perindustrian negara mereka.
4. UPSTREAM FOOD & DOWNSTREAM FOOD.
Sekarang ramai yang berjaya dalam pembikinan ‘upstream food’ (makanan yang diproses) seperti jual kek, roti dan makanan yang tersedia. Tapi penghasilan ‘downstream food’ (bahan mentah atau komoditi) masih lagi kurang, sama ada dalam sektor pertanian atau penternakan. Sebab itu kita ada masalah kekurangan bahan mentah asas seperti bekalan telur atau tepung gandum yang tidak mencukupi.,
5. USAHA TANAH.
Setiap orang yang memiliki tanah atau kawasan di rumahnya boleh mengusahakan pertanian secara kecil-kecilan seperti sayur-sayuran yang boleh dimakan sendiri atau dikongsi bersama jiran tetangga. Mungkin boleh difikirkan atau diusahakan dasar 1 daerah atau kampung, 1 agro. Para pewakaf tanah pula boleh mengubah hala tuju wakaf daripada hanya menumpu ke arah wakaf tanah untuk masjid atau madrasah kepada wakaf tanah untuk agro.
Ketika Nabi SAW datang ke Madinah dan melihat banyak tanah terbiar dan ekonomi yang dimonopoli oleh Yahudi ketika itu, Baginda menggubal dasar ekonomi sehingga Madinah menjadi negeri yang cukup tersusun sistem ekonominya dari sudut pembinaan pasar, penstrukturan perniagaan, galakan berniaga dan pertanian, pembasmian kemiskinan, perlaksanaan wakaf dan seumpamanya.
6. KUALITI PEMAKANAN (FOOD QUALITY).
Ini antara aspek yang perlu diberi perhatian, kerana jika kita mahu menjadi pengeluar utama makanan dunia, kita perlu menghasilkan pemakanan baik ‘downstream’ atau ‘upstream’ yang berkualiti. Kita banyak berhabis untuk menghasilkan kajian RnD (penyelidikan dan pembangunan), tapi banyak yang tidak dimanfaatkan dan sekadar menjadi bahan di arkib serta KPI pensyarah atau pengkaji.
7. AGRO BANK.
Ramai mungkin yang tidak sedar Malaysia ada Agro Bank yang membantu pembiayaan para pengusaha agro. Menariknya Agro Bank Malaysia telah menerima penarafan patuh syariah sejak tahun 2015. Namun secara umum, kerajaan juga ada dasar dan polisi ekonomi agro ini, cuma tinggal rakyat untuk menjadi penggeraknya. Ramai yang masih belum ambil tahu.
8. PELUANG KERJAYA BARU.
Jumlah pengangguran yang tinggi menunjukkan kekurangan ruang dalam medan kerjaya perindustrian. Tahun lepas sahaja, hampir 700,000 bilangan pengangguran di negara kita. Para graduan mungkin boleh beralih arah untuk merebut peluang besar dalam perusahaan agro seperti perladangan, penternakan atau pertanian.
Akhir kata, jangan berputus asa. Kita mampu bangkit sepertimana rakyat di negara Mesir pada zaman Nabi Yusuf AS dahulu yang membuat persediaan 7 tahun lamanya untuk menghadapi jangkaan kemarau dan kebuluran yang 7 tahun lamanya. Ingat pesanan Nabi SAW:
“Apabila berlaku kiamat dalam keadaan di tangan kamu ada anak pokok, maka hendaklah dia (tetap jua) menanamnya” [hadis riwayat Ahmad].
Sumber asal: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=3383691705192378&id=1743258955902336