Saya ingin mengulas tentang pemikiran atau sikap “ceghito jah” yang hakikatnya wujud pada bukan sedikit penceramah agama.
Cerita atau pengkisahan ada banyak jenis. Ada yang boleh merosakkan akidah dan ada yang tidak. Ada yang direka-reka atas sebab tertentu dan ada yang benar. Toleransi dalam bab penceritaan bukan sehingga mengabaikan disiplin asasnya.
Jika sang pencerita sentiasa jujur, menjaga disiplin penceritaan dan riwayat serta tidak menuruti hawa nafsu dalam bercerita, maka tiadalah celaan buat mereka, bahkan disyukuri kerana telah berkhidmat kepada Islam dengan menarik manusia ke arah kebaikan.
Namun alasan ‘hanya sekadar bercerita’ sehingga tidak menitik beratkan soal disiplin ilmu bagi seorang yang menyandang gelaran ustaz atau ilmuwan mungkin boleh menjejaskan integriti dan kredibilitinya, kerana sikap bermudah-mudah tanpa mempedulikan soal benar atau dusta, asalkan penceritaannya digemari orang ramai. Bukan soal orang nak percaya atau tidak, tapi persoalan atau masalah pada diri penceramah itu sendiri.
Penceramah sebegini biasanya akan senang tergelincir sehingga biasa ‘tergoreng’ hadis-hadis Rasulullah ﷺ sama ada disengajakan atau tidak, kerana kurangnya sikap berhati-hati dalam penerimaan dan penyampaian.
Ini bukan perkara baru. Dalam sejarah Islam dan ilmu hadis sepanjang zaman, sudah wujud ramai golongan begini yang dipanggil sebagai AL-QUSSAS (PENGLIPUR LARA).
Bukan kerana mereka jahat, bahkan ramai dari kalangan mereka adalah orang yang soleh dan suka mengajak manusia ke arah kebaikan serta memiliki ramai pengikut, namun kerana kurangnya pengetahuan dan kesedaran tentang bahaya berdusta, ditambah dengan sikap ‘tebolah’: “Takpalah, benda baik”, “takpalah, bukan kafir pun”, “takpalah, ramai orang suka dan insaf dengar”, membuatkan golongan ini sering dikecam para ilmuwan hadis sejak dahulu. Malah ada ulama hadis seperti ‘Amir al-Sya’bi, seorang Tabiin yang pernah dipukul kerana berani menegur kesilapan mereka.
• Ayyub al-Sakhtiyani (131h) berkata:
“Golongan yang paling banyak merosakkan hadis Nabi ﷺ dari kalangan manusia adalah para penglipur lara”.
• Syu’bah bin al-Hajjaj (160h) berkata:
“Mereka (penglipur lara) ini suka mengambil hadis sejengkal kemudian menjadikannya sehasta”.
• Imam Ahmad bin Hanbal (241h) berkata:
“Manusia yang paling banyak berdusta adalah para penglipur lara”.
• Ibn al-Jawzi (597h) berkata:
“Dari kalangan penglipur lara, mereka yang mendengar hadis-hadis palsu, lalu mereka meriwayatkannya tanpa menyedari ianya dusta sedangkan manusia telah terjerumus ke dalamnya. Ramai yang tidak mahir dengan ilmu naql (periwayatan hadis) menulis banyak kitab-kitab tentang peringatan dan tafsir yang dipenuhkan dengan hadis-hadis yang batil”.
Perawi atau agamawan yang ‘loqlaq’ dalam soal ini tidak mungkin akan dinilai sebagai “thiqah (terpercaya)”, kerana ucapan, sikap, keupayaan dan ketelitiannya akan diragui.
Contohilah Ibn al-Jawzi, seorang ilmuwan hadis dan pencerita hebat yang mampu mengesankan ribuan jiwa, namun sangat teliti dan tegas dalam soal fakta serta disiplin periwayatan.
Sumber: https://www.facebook.com/Dr-Kamilin-Jamilin-1743258955902336