Erti Kasyaf Seorang Wali.
Kewujudan fahaman dan amalan bukan-bukan pada asasnya telah membuatkan tumpuan utama kita hilang. Apa lagi fahaman itu muncul dengan bertiangkan hadith yang teramat dhaif malah palsu, dan berdasarkan kisah-kisah palsu.
Antaranya dakwaan bahawa guru tariqat tertentu bersalaman dengan Nabi s a.w. Dikata pula bahawa peristiwa itu mutawatir dan disaksikan ribuan mata. Anehnya, jika ribuan mata melihat, pastilah kisah ini akan menjadi masyhur.
Tahniah buat Ustaz Ehsan Sabri yang berjaya merungkai kekeliruan ini.
2- Dalam wacana Nur Muhammad s.a.w. di KUIPS yang lepas, saya menegaskan pentingnya kumpulan-kumpulan tertentu meninggalkan fahaman Nur Muhammad s.a.w. Tiada langsung hadith sahih mahupun dhaif yang menyokong kewujudannya.
Tak perlu kita memusing fakta dengan mengatakan, “Maksud nur ialah Nabi s.a.w. pembawa cahaya kebenaran.”
Mereka memohon kita mesti berlapang dada dalam perkara khilafiyah. Ya, kita berlapang dada jika ada sokongan ilmiyyah dan jika tidak menimbulkan fahaman bukan-bukan.
Daripada mereka sibuk mendakwa kewujudan Nur Muhammad s.a.w., lebih baik kita semua memberikan fokus untuk memberikan cahaya lampu ke kawasan-kawasan pedalaman. Lebih baik kita memberikan cahaya ilmu yang sahih kepada masyarakat.
3- Kumpulan-kumpulan tertentu berminat betul dengan karamah-karamah seperti kasyaf; boleh membaca isi hati orang. Kita semua percaya kewujudan karomah, namun kita tidak perlu membesar-besarkan perkara tersebut.
Para ulama lebih baik mengkaji pemikiran dan akhlak para sahabat daripada membincangkan karamah mereka. Ada lah sedikit diceritakan karamah mereka ,tapi terlalu sedikit.
4- Seorang wali yang sempurna tidak pernah menoleh kepada karamah hissiyyah dan tidak pernah mengingini karamah itu berlaku pada dirinya kecuali jika terdapat sesuatu kemaslahatan sama ada bersifat khusus mahupun umum kepada umat Islam.
5- Imam al-Sya‘rani iaitu tokoh sufi terkenal di Mesir berpendapat, apabila seorang wali tergelincir dan tidak kembali kepada keadaan asalnya, akan dikenakan hijab (penghalang) oleh Allah s.w.t. dengan dijadikan dirinya kasih kepada perkara-perkara mencarikbadat dan karamah.
Walhal perkara itu tidak aman daripda tipu daya dan istidraj.
6- Kasyaf (tersingkap) yang sebenar ada 3 perkara.
Kasyaf jalan-jalan menuju Allah s.w.t.
Kasyaf tentang keaiban diri sendiri dan bencana-bencana yang boleh merosakkan amalannya.
Kasyaf tentang makna dan sifat-sifat Allah s.w.t. sehingga cinta sepenuhnya kepada Tuhan.
Berhati-hatilah dalam beramal.