Assalammualaikum doktor..selalu orang berkata jika anak kita meninggal masa baby..dia akan menanti kita di syurga..sebab baby ini suci,tiada dosa,adakah ada hadis sahih yang berkata begitu atau itu hanya kata-kata orang melayu saja?

Jawapan:

Waalaikumussalam warahmatullahi wa barakatuh.

Benar, ia wujud dalam hadis-hadis yang sahih.

GANJARAN DI AKHIRAT BUAT MEREKA YANG KEMATIAN ANAK KECIL.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ لِنِسْوَةٍ مِنَ الأَنْصَارِ ” لاَ يَمُوتُ لإِحْدَاكُنَّ ثَلاَثَةٌ مِنَ الْوَلَدِ فَتَحْتَسِبَهُ إِلاَّ دَخَلَتِ الْجَنَّةَ “. فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ أَوِ اثْنَيْنِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ “أَوِ اثْنَيْنِ “.

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda kepada wanita Ansar: Tidaklah mati tiga orang anak kepada salah seorang kalian, lalu si ibu itu menyerahkan hal itu kepada Allah melainkan wanita itu akan masuk syurga. Seorang wanita daripada mereka bertanya: Bagaimana jika dua orang ya Rasulullah? Baginda menjawab: Atau jika dua orang (si ibu tetap mendapat kelebihan itu). [Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no: 2632]

Dalam riwayat Sahih al-Bukhari disebutkan bahawa ia merujuk kepada anak yang belum baligh:

يَمُوتُ لَهُ ثَلاَثَةٌ مِنَ الْوَلَدِ لَمْ يَبْلُغُوا الْحِنْثَ

Matinya tiga orang anak yang belum baligh…. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Qiil Fi Awlad al-Muslimin, hadis no: 1381].

عَنْ أَبِي حَسَّانَ، قَالَ قُلْتُ لأَبِي هُرَيْرَةَ إِنَّهُ قَدْ مَاتَ لِيَ ابْنَانِ فَمَا أَنْتَ مُحَدِّثِي عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِحَدِيثٍ تُطَيِّبُ بِهِ أَنْفُسَنَا عَنْ مَوْتَانَا قَالَ قَالَ نَعَمْ ” صِغَارُهُمْ دَعَامِيصُ الْجَنَّةِ يَتَلَقَّى أَحَدُهُمْ أَبَاهُ – أَوْ قَالَ أَبَوَيْهِ – فَيَأْخُذُ بِثَوْبِهِ – أَوْ قَالَ بِيَدِهِ – كَمَا آخُذُ أَنَا بِصَنِفَةِ ثَوْبِكَ هَذَا فَلاَ يَتَنَاهَى – أَوْ قَالَ فَلاَ يَنْتَهِي – حَتَّى يُدْخِلَهُ اللَّهُ وَأَبَاهُ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hassan, beliau berkata: Aku bertanya kepada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu: Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang akan melegakan diri kami di atas kematian dua anak kami?

Abu Hurairah menjawab: Ya. Kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Dia tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ayahnya ke dalam syurga. [Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no: 2635].

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ أَتَتِ امْرَأَةٌ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم بِصَبِيٍّ لَهَا فَقَالَتْ يَا نَبِيَّ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ لَهُ فَلَقَدْ دَفَنْتُ ثَلاَثَةً قَالَ ” دَفَنْتِ ثَلاَثَةً ” . قَالَتْ نَعَمْ . قَالَ ” لَقَدِ احْتَظَرْتِ بِحِظَارٍ شَدِيدٍ مِنَ النَّارِ ” .

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu: Seorang wanita datang menemui Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sambil membawa bayi lelakinya. Dia berkata:

Wahai Nabi Allah, doakan bayi lelaki ku ini. Sesungguhnya aku telah mengebumikan tiga orang anak aku. Baginda bertanya: Engkau telah mengebumikan tiga orang anak? Beliau menjawab: Ya. Baginda bersabda: Sesungguhnya engkau telah menghadang dengan penghadang yang kuat daripada api neraka. [Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no: 2636].

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ، عَنْ أَبِيهِ: أَنَّ رَجُلًا كَانَ يَأْتِي النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَعَهُ ابْنٌ لَهُ، فَقَالَ لَهُ: النَّبِيّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَتُحِبُّهُ؟ ” فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَحَبَّكَ اللهُ كَمَا أُحِبُّهُ، فَفَقَدَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ ” مَا فَعَلَ ابْنُ فُلَانٍ؟ ” قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، مَاتَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِيهِ: ” أَمَا تُحِبُّ أَنْ لَا تَأْتِيَ بَابًا مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ، إِلَّا وَجَدْتَهُ يَنْتَظِرُكَ؟ ” فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَلَهُ خَاصَّةً أَمْ لِكُلِّنَا؟ قَالَ: ” بَلْ لِكُلِّكُمْ “

Daripada Muawiyah bin Qurrah, daripada ayahnya bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersama dengan seorang anak lelakinya. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya kepada lelaki itu: Adakah engkau menyayanginya? Lelaki itu menjawab: Ya Rasulullah, aku mencintai Allah sebagaimana aku menyayanginya. Kemudian selepas hari tersebut, baginda tidak melihat lagi anak lelaki itu. Baginda bertanya:

Apa yang sedang dilakukan oleh anak si fulan? Para sahabat menjawab: Ya Rasulullah, dia telah meninggal dunia. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada ayahnya:

Adakah engkau suka jika engkau mendatangi pintu syurga lalu engkau mendapati anak engkau sedang menunggu engkau di sana? Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, adakah itu kes yang khusus atau ia umum untuk anak kami semua? Baginda menjawab: Ia untuk kalian semua.

[Musnad Ahmad, hadis Muawiyah bin Qurrah, no: 15595. Al-Hakim menyatakan hadis ini Sahih al-Isnad dalam Al-Mustadrak, begitu juga shaikh Al-Arnaouth menyatakan isnadnya sahih dalam semakan kepada Musnad Ahmad]

Hadis-hadis yang sahih hanya menyebutkan tentang anak kecil yang belum baligh yang meninggal dunia. Sebahagian ulama menyatakan bahawa bayi yang keguguran juga termasuk dalam hal ini.

Imam An-Nawawi menyatakan:

موت الواحد من الأولاد حجاب من النار وكذا السقط .

Seorang anak yang meninggal dunia akan menjadi penghalang daripada api neraka, begitu juga anak yang keguguran.[Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, jilid 5, m/s 295]

Adapun hadis yang secara spesifik menyatakan tentang bayi yang keguguran adalah hadis yang lemah.

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ هَاشِمِ بْنِ مَرْزُوقٍ، حَدَّثَنَا عَبِيدَةُ بْنُ حُمَيْدٍ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ مُسْلِمٍ الْحَضْرَمِيِّ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ، عَنِ النَّبِيِّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّ السِّقْطَ لَيَجُرُّ أُمَّهُ بِسَرَرِهِ إِلَى الْجَنَّةِ إِذَا احْتَسَبَتْهُ

Diriwayatkan bahawa: Demi tuhan yang diri ku di tanganNya, sesungguhnya anak yang keguguran akan menarik ibunya dengan urinya ke syurga apabila si ibu itu mengharapkan pahala untuk hal itu. [Sunan Ibnu Majah, Kitab al-Janaiz, hadis no: 1677].

Al-Busiri dalam Misbah az-Zujajah menyatakan isnad hadis ini dhaif. Ulama hadis bersepakat atas dhaifnya perawi bernama Yahya bin ‘Ubaidillah.

Kita berdoa agar tuan/puan yang keguguran anaknya termasuk dalam kategori ini yang akan ditarik oleh anak tuan/puan ke syurga, Insya-Allah. Yang penting, tuan/puan sabar dan redha dengan pemergian mereka.

Sumber: https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/1540597235967771