KUALA LUMPUR : Pengiktirafan gender ketiga tidak akan diiktiraf di Malaysia.

Menegaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, kewujudan gender ketiga ini tidak hanya melibatkan isu ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat, tetapi akan memberi impak yang sangat besar terhadap sistem perundangan sedia ada khususnya perundangan syariah.

“Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan prinsip keagamaan dan nilai-nilai budaya tempatan. Justeru, perlakuan yang bertentangan dengan agama, adat dan budaya seperti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) dan gender ketiga tidak akan diiktiraf di negara ini.

“Pendirian ini selari dengan “Cairo Declaration on Human Rights in Islam’ yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyatakan, segala perkara yang bercanggah dengan syariah Islam tidak boleh diamalkan di sebuah negara Islam. Jadi kempen sedemikian adalah tidak sesuai dalam konteks Malaysia,

“Sepertimana Malaysia menolak LGBT begitulah juga Malaysia tidak akan mengiktiraf gender ketiga kerana ia bertentangan dengan fitrah dan syariat Islam,” katanya ketika perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi kementerian Jabatan Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) mencadangkan agar pengiktirafan gender ketiga tidak seharusnya dibenarkan, sama seperti LGBT.

Terdahulu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhasrat menjalankan kajian mengenai kebolehlaksanaan (research on feasibility) undang-undang khusus di Malaysia bagi mengiktiraf golongan transgender.

Di laman webnya, SUHAKAM mengiklankan kekosongan jawatan penyelidik “bagi menjalankan penyelidikan mengenai kebolehlaksanaan (feasibility) perundangan mengenai pengiktirafan gender ketiga di Malaysia”.

Dalam terma rujukan jawatan itu, SUHAKAM berkata, pengiktirafan sah jantina di sisi undang-undang amat penting untuk memastikan golongan transgender mampu “maju dan hidup bermaruah serta menikmati semua hak asasi manusia”.

Tindakan itu mengundang kecaman warganet dan PAS yang rata-rata menyifatkan ia tidak sesuai untuk Malaysia dan ada yang mahukan SUHAKAM berhenti ‘bermain dengan api’. -UTUSAN ONLINE