Ramai yang bertanya berkenaan memiliki ramai anak perempuan seperti di dalam poster dibawah. Berdasarkan hadith-hadith yang ditanya. Ini soalannya DAN kami sertakan STATUS HADITH sekali. Terima kasih.

Lahir anak pertama perempuan, kedua pun perempuan. Tentunya ramai pasangan dalam situasi ini menaruh harapan besar agar kelahiran anak ketiga adalah lelaki.

Namun rezeki cahaya mata itu ketentuan Tuhan, ada yang dimakbulkan hajat beroleh anak lelaki tapi ramai juga yang tetap dianugerahkan anak perempuan.

Meski di hati terselit sedikit rasa kecewa namun ketentuan Ilahi ini harus kita terima dengan redha. Rezeki anak urusan DIA Yang Maha Esa.

Pasti ramai ahli keluarga atau teman yang berkata ‘Ha! Perempuan Lagi” tapi hendaknya kita tidak teremosi dengan luahan sebegitu. Hakikatnya pasangan yang memiliki tiga orang anak perempuan punya kelebihan yang tersendiri malah disebut oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

HADITH 1:

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah,kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah s.w.t akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”

Seorang lelaki bertanya,
“Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”

Sabda baginda,
“Juga untuk dua anak perempuan.”

Seorang lelaki berkata,
“atau untuk seorang wahai Rasulullah?”

Rasulullah s.a.w menjawab,
“Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Status hadith ini SHAHIH.

Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan.

HADITH 2:

Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud :

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka,melainkan Allah Ta’ala akan memasukkan mereka ke syurga.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Status hadith ini SHAHIH

HADITH 3:

Daripada Aisyah r.a. dari Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, baginda telah bersabda yang maksudnya :

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik,nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Status hadith ini SHAHIH

Kesimpulannya:

Daripada ayat-ayat ini kita boleh melihat betapa kelebihan memiliki ramai anak perempuan. Apatah lagi jika ibu bapa menjaga serta mendidiknya mengikut landasan yang betul dan anak itu sendiri patuh pada suruhan agama. Ia boleh menjadi pelindung ibu bapa daripada api neraka.

Wallahua’lam