Loading

BARU-BARU ini, tular di media sosial seorang isteri membuat dakwaan suaminya curang dan melakukan zina dan menyebarkan klip video tersebut di alam maya. Apakah hukum si isteri berbuat demikian? Bukankah perkara itu salah satu daripada membuka aib?

JAWAPAN:

Islam mewajibkan kita menutup aib peribadi diri kita dan juga orang lain. Dosa antara seseorang dengan Allah haram didedahkan kepada umum seperti dosa zina, minum arak dan seumpamanya.

Perbuatan itu dicegah dan dibantah, tetapi bukan untuk dijadikan bahan perbualan ataupun tontonan. Pelaku dosa peribadi diminta bertaubat, tetapi bukan untuk disebarkan cerita atau gambarnya kepada orang ramai. Islam anti kepada gosip peribadi seperti itu.

Hanya boleh didedahkan jika jenis dosa itu membabitkan kezaliman terhadap pihak lain. Itupun untuk proses pengadilan, atau bertanya hukum ( jika perlu disebut nama) atau memberi amaran agar pihak lain agar tidak menjadi mangsa seterusnya.

Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran. Firman Allah: (maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataanperkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang) kecuali oleh orang yang dizalimi dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar lagi Maha mengetahui”. (Surah al-Nisa: ayat 148).

Bantahan terbuka terhadap dosa peribadi dilakukan jika pelakunya melakukannya secara terbuka atau berkempen ke arahnya sehingga mencemarkan persekitaran kehidupan yang baik atau tindakan itu menggalakkan maksiat kepada orang awam.

Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din menyebut mengenai al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘An al-Munkar: “Hendaklah kemungkaran tersebut zahir ( jelas) kepada ahli hisbah (pasukan pencegah) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya dan mengunci pintunya, maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala melarang hal ini. (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Perbuatan mendedahkan aib peribadi orang lebih berdosa dibandingkan perbuatan zina atau khalwat itu sendiri.

Apatah lagi menyebarkan hal itu di media sosial yang ditonton meluas pada zaman ini.

Sabda Nabi s.a.w: “Wahai sekelian yang Islam pada lidahnya, tapi iman tidak memasuki jantung hatinya! Jangan kamu sakiti kaum Muslimin, jangan memalukan mereka, jangan mencaricari keaiban mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mencaricari keaiban saudara Muslimnya, Allah akan mendapatkan keaibannya. Sesiapa yang Allah mendapatkan keaibannya, Allah akan mendedahkannya walaupun keaiban itu berlaku di tengah rumahnya sendiri”. (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dll. Sahih)

Nabi s.a.w sendiri mengelakkan aib peribadi itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian dengan solat dan istighfar.

Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku berasmara dengan seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa.

Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya ­ rman Allah (maksudnya): “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian bagi kes zina. Jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf.

Tujuannya untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain.

Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat saksi 80 sebatan. Kadar hukuman yang hampir sama bertujuan menunjukkan kesalahan menuduh yang tiada empat orang saksi, sekalipun mungkin benar berat di sisi agama.

Hampir mustahil empat orang yang baik menyaksikan perbuatan zina, sedangkan penzina terus berzina di hadapan mereka.

Kalau berlaku juga, memang pelaku zina itu sengaja mendedahkan maksiat mereka kepada orang ramai. Dalam erti kata lain, memang Islam tidak mahu hal seperti ini menjadi perbualan gosip dalam masyarakat.

Tindakan isteri mendedahkan aib peribadi suami kepada awam satu dosa besar. Dia tidak boleh menghalalkan tindakan itu dengan alasan suaminya pun berbuat dosa. Satu dosa tidak menghalalkan dosa yang lain.

Mendedahkan keaiban suami hanya merosakkan nama diri sendiri dan juga anak-anak. Demikian suami juga tidak boleh melakukan hal sama kepada isteri.

 Jika isteri ingin membantah perbuatan curang suami boleh membantah terus kepada suami atau kes itu boleh dibawa ke mahkamah.

Jika sudah tidak dapat menerima suaminya, dia boleh menuntut fasakh atau perpisahan dengan mengemukakan alasan di mahkamah.

Demikianlah jika suami meyakini isterinya curang, dia menuduhnya di mahkamah secara li’an atau boleh terus menceraikannya. Menjadikan netizen sebagai ‘mahkamah’ menilai dosa peribadi adalah perbuatan haram. Ini kerana, dosa tersebut tiada kaitan dengan netizen dan tiada keperluan untuk mereka tahu.

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2022/01/21/haram-isteri-dedah-kecurangan-suami-di-media-sosial/