1. Merasa makanan bagi orang yang berpuasa jika mempunyai hajat ia tidak membatalkan puasa selagi tidak menelannya dan tidak makruh bagi yang mempunyai hajat.
2. Sekiranya seseorang sengaja merasai makanan tanpa ada hajat keperluan, contohnya isteri masak di dapur, suami sengaja merasai sedikit tanpa apa-apa keperluan maka perkara ini adalah makruh. Jika telan barulah membatalkan puasa. Ini seperti disebutkan oleh ulamak mazhab Syafie.
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata:
ترك ذوق الطّعام أو غيره خوف الوصول إلى حلقه أو تعاطيه لغلبة شهوته
“Digalakkan untuk meninggalkan merasa makanan atau selainnya kerana dikhuatiri akan masuk ke dalam tekak ataupun dikhuatiri ia akan dikuasai terkalahkan dengan nafsu keeinginannya” [Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haitami (2020), Al-Manhaj Al-Qawim, Beirut: Lubnan, hal 408]
3. Sekiranya ada hajat seperti orang yang masak juadah berbuka puasa, maka tidak makruh untuk merasai makanan tersebut.
Ibn Hajar al-Haitami juga menyebutkan dalam Tuhfah al-Muhtaj (jil 3, hal 425):
وينبغي عدم كراهته للحاجة وإن كان عنده مفطر غيره لأنه قد لا يعرف إصلاحه مثل الصّائم
“Dan tidak makruh merasai sedikit makanan jika mempunyai hajat, sekalipun di sisinya terdapat orang lain yang tidak berpuasa, hal ini kerana dia tidak mengetahui cara untuk memperelokkan rasa masakan tersebut seperti orang berpuasa”
Kesimpulannya, tidak makruh jika seseorang merasakan makanan jika mempunyai hajat selagi ia tidak menelannya. Jika merasakan makanan tanpa hajat dan tiada keperluan maka ia perkara yang makruh.
Sumber tulisan asal: https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/5598399640187490