Loading

Alhamdulillah, hari ini sudah 13 tahun saya dan isteri mendirikan rumah tangga. Sekelip mata juga rasa melihat anak-anak yang semakin membesar. Puteri kami yang sulung Durar Saniyyah (12 tahun) dan dua orang adik lelakinya Khattab Sayyah (7 tahun) dan Qutuz Mughlatay (4 tahun).

Sedikit perkongsian bagaimana saya mendapat inspirasi untuk memberikan nama buat kedua-dua orang putera saya ini…

Sejak dulu saya sangat meminati sejarah, khususnya sejarah Islam. Saya suka membaca kisah-kisah Sirah dan dinasti empayar Islam silam. Kisah kejayaan dan kehebatan panglima atau jeneral perang Islam yang paling menarik perhatian saya. Sebenarnya kita ada ramai hero Islam yang sudah dilupakan pada hari ini, kerana telah diselindungkan oleh media barat yang menyajikan “hero-hero” fiksyen mereka.

Sahabat baik saya dari Dagestan dulu Gazi Meogomedov banyak menceritakan kepada saya kisah Jeneral Khattab, panglima singa muslim yang telah menggegarkan bumi Soviet ketika mempertahankan Chechnya dan Afghanistan, sehinggakan saya menanam hasrat untuk menamakan anak lelaki saya dengan nama Khattab suatu hari nanti. Selain itu, saya juga sangat meminati ‘Umar bin al-Khattab RA, seorang Sahabat yang agung dan Khalifah kedua umat Islam. Saya mengira mungkin suatu masa nanti ada cucu saya yang bernama ‘Umar.

Jauh juga saya berangan.

Ketika membaca dan mengkaji sejarah Dinasti Mamluk, saya sangat tertarik dengan Jeneral @Raja Qutuz yang telah memimpin pasukan Islam Mamluk mengalahkan buat pertama kalinya tentera brutal empayar Monggol yang tidak pernah kalah sejak sekitar 50 tahun lamanya dalam peristiwa bersejarah yang sangat memorial di ‘Ayn Jalut. Baru sahaja beberapa tahun sebelum itu, tentera Monggol melanyak pemerintahan ‘Abbasiyyah di Baghdad sehingga menghitamkan air sungai ‘Iraq dengan dakwat khazanah kitab-kitab Islam yang dilempar.

Kemudian ketika menyambung pengajian sarjana Hadis di Riyadh, saya bertuah kerana dapat berguru dibawah bimbingan guru yang paling saya kasihi; syeikh Prof. Dr. ‘Ali al-Sayyah. Bersama beliau, saya menimba secara lebih mendalam ilmu al-Jarh Wa al-Ta’dil, mengkaji tokoh-tokoh dan perawi hadis silam serta mengkaji beberapa manuskrip hadis.

Kemudian beliau berbesar hati mengambil saya sebagai pelajar di bawah seliaannya bagi menyelesaikan tesis yang tajuk asalnya dicadangkan oleh beliau yang berkaitan dengan tokoh hebat hadis bernama Mughlatay, anak murid kepada al-Mizzi, seorang ilmuwan hadis kurun ke-8 yang paling terkenal di zamannya.

Kasih saya kepada guru dan penyelia saya itu membuatkan saya sangat ingin mengabadikan namanya sekiranya saya dikurniakan rezeki anak lelaki. Ketika itu Allah baru meminjamkan saya dan isteri seorang anak perempuan.

Beberapa tahun kemudian setelah saya pulang ke tanah air, Allah mengurniakan kami anak lelaki yang pertama. Ketika isteri bertanya kepada saya nama cadangan, tanpa teragak-agak saya terus mencadangkan nama Khattab yang telah diimpikan sejak sekian lama.

Kemudian timbul dilema “nak letak sepatah nama ke dua patah?”. Jika diikutkan, saya cuma inginkan sepatah saja. Namun dalam kepala, ada beberapa nama pilihan yang ingin diberikan kepada anak lelaki dan saya tak tahu berapa bilangan anak lelaki yang Allah akan kurniakan kepada kami. Maka saya tambah nama Sayyah menjadikan namanya sebagai Khattab Sayyah, demi mengabadikan kenangan saya bersama guru yang sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya ketika menimba ilmu.

Selang beberapa tahun kemudian, kami dikurniakan anak lelaki kedua yang saya terus namakan sebagai Qutuz Mughlatay, nama yang menghimpunkan tokoh perang (Qutuz) dan tokoh hadis (Mughlatay) yang saya kagumi. Setidak-tidaknya nama Mughlatay itu juga akan mengingatkan saya kepada guru saya syeikh al-Sayyah kerana nama tersebut merupakan tokoh hadis yang menjadi kajian tesis sarjana kami dahulu.

Begitulah kisahnya…

Doakan zuriat kami ini sentiasa dalam peliharaan Allah. Semoga mereka menjadi saham ummi dan abahnya di akhirat, sentiasa menjaga solat dan menjadi pejuang agama yang hebat.

Allāhumma Āmīn.

Sumber: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=pfbid036MFhHKZrTENtCN7BxGrTaPnxbg5avCgqsJfKNnKYab2Rc5mjXMtAC5RPUcyDy6tGl&id=1743258955902336