Jika kita membaca sirah Nabi sallallah alaih wasallam kita akan jumpa tentang bab kelebihan golongan Ansar.

Golongan ini asalnya berada di bawah kepimpinan mereka sendiri. Lalu datang puak muhajirin yang membawa Islam, sebahagian besar mereka menerima ia sebagai agama lalu digelar sebagai Ansar. Sebahagian penduduk Madinah yang lain menolak. Sebahagian yang lain pula menzahirkan Islam dan menyembunyikan kekufuran.

Pengorbanan Ansar ini sangat ajaib. Mereka membantu sahabat seakidah mereka. Apa saja keperluan mereka sediakan walaupun mereka tidak pernah kenal sebelum ini. 

Tidak cukup dengan itu mereka sanggup menyerahkan urusan kepimpinan negara kepada Muhajirin setelah kewafatan Nabi sallallah alaih wasallam. 

Kerana pengorbanan inilah Nabi sallallah alaih wasallam pernah memuji golongan Ansar dengan berkata:

آية الإيمان حب الأنصار، وآية النفاق بغض الأنصار

Maksudnya: tanda kesempurnaan iman ialah cintakan Ansar. Dan tanda kemunafikan Ansar ialah bencikan Ansar. (HR Bukhari)

Isu Dr Zakir Naik (DZN) ini saya rasa eloklah umat Islam merenung semula pengorbanan Ansar ini. Kita tidak diminta untuk menjadikan DZN sebagai ketua negara. Hanya sekadar perlindungan kepadanya kerana dia sedang dizalimi dan dituduh dengan tuduhan yang tidak berasas. 

Tidak adakah sekelumit belas kepada saudara seIslam yang ditindas? 

Kita mungkin selesa hari ini. Menjadi menteri dan mempunyai kuasa di umur yang muda. Tetapi jangan lupa Allah itu berkuasa. Mungkin saja satu hari nanti anda yang merupakan menteri akan kesusahan dan ditindas. Waktu itu anda akan mencari bantuan dari saudara seakidah. Nasihat saya jangan terlalu sombong bila mempunyai kuasa dan kedudukan. Jangan lupa menghulurkan bantuan sewaktu anda mampu memberikannya. 

Dalam kesibukan mesyuarat sebagai menteri itu, luangkanlah sedikit masa bagi menelaah sirah perjuangan golongan Ansar ini moga ada sedikit kefahaman terhadap agama.

Jika benar DZN tersilap tegurlah beliau. Saya percaya beliau akan fahami. 

Kepada DZN pula, saya harap mereka yang rapat dengannya nasihatilah beliau supaya menjauhi urusan politik dalaman Malaysia. Elakkan memberi komentar yang boleh menyebabkan beliau disalahfahami. Bimbang akan berlaku ketegangan kaum di negara yang tercinta ini. 

Sekadar pandangan dari saya seorang marhaen Muslim yang sayangkan saudara seakidah saya.