ALOR SETAR – Keputusan kerajaan negeri Kedah untuk tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian di seluruh negeri itu bukan bertujuan menyekat kebebasan hak asasi atau mendiskriminasikan kaum tertentu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu dibuat atas dasar mensyukuri nikmat yang diberikan ALLAH SWT kepada negeri ini selain mematuhi perintah agama yang mengharamkan aktiviti perjudian dan minuman keras.

Menurutnya, walaupun mendapat bantahan daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang negeri ini, pihaknya akan terus mempertahankan ketetapan baharu itu agar Kedah terus dilimpahi rezeki.

“Ada orang bantah, guna alasan hak asasi dan perkauman, konon untuk halang orang bukan Islam, sebenarnya tidak betul. Tidak ada kajian yang menunjukkan perjudian itu menguntungkan.

“Malah di China yang mengharamkan perjudian sejak 1949 lagi, walaupun tidak ramai orang Islam di China. Rakyat negara itu 1.4 bilion dan orang Islam mungkin sekitar 30 juta sahaja, tetapi judi pun tidak boleh. Direkodkan 177,000 tangkapan rakyat China kerana berjudi di sempadan negara itu,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya mahu membanteras aktiviti perjudian di negeri ini atas dasar menjaga keharmonian masyarakat.

“Ini tanda kita bersyukur dengan nikmat ALLAH SWT yang banyak diberikan kepada Kedah, itu pun ada orang mainkan sentimen seperti itu yang di luar hakikat sebenar.

“Sepatutnya kita bersyukur sebab ALLAH SWT tambah nikmat kepada negeri ini, malah saya nampak nikmat yang datang semakin banyak,” katanya.

Pada Ahad, kerajaan negeri Kedah melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mengumumkan tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu bagi mengelak mudarat lebih besar kepada penduduk negeri ini.

Berita Asal: https://www.sinarharian.com.my/article/173012/EDISI/Isu-judi-di-Kedah-Bukan-sekat-hak-atau-diskriminasi