Loading

Saya ingatkan Ustaz Muhaizad akan menarik kembali hadis palsu yang beliau bacakan dan bertaubat. Sebaliknya beliau bawakan pula rujukan dari kitab sirah yang mendakwa hadis itu riwayat al-Bukhari.

Dalam ilmu takhrij, kitab sirah yang tidak membawakan sanad seperti ini tidak dikira sebagai al-Masadir al-Asliyyah. Maka ia tidak boleh dijadikan sumber untuk nukilan hadis.

Apabila mana-mana kitab yang bukan al-Masadir al-Asliyyah mendakwa hadis tersebut riwayat imam tertentu dalam hadis, kita perlu merujuk semula kitab asli tersebut. Saya dapati hadis tersebut tidak ada dalam kitab al-Bukhari.

Oleh kerana itu, tokoh sufi Syeikh al-Ghumari sendiri menghukum hadis ini sebagai palsu. Bahkan beliau mendoakan keburukan kepada perekanya. Saya bawakan sekali lagi kalam al-Ghumari berkaitan hadis ini:

“Diriwayatkan dalam sebahagian kitab-kitab al-Maulid al-Nabawi daripada Abu Hurairah beliau berkata: Nabi sallallah alaih wasallam bertanya Jibril Alaihissalam, lalu berkata: Wahai Jibril, berapa engkau diberikan umur daripada tahun-tahun? Dia berkata: Wahai Rasulullah, saya tidak tahu tetapi pada hijab yang keempat ada satu bintang yang terbit pada setiap 70 ribu tahun sekali. Saya telah melihatnya sebanyak 72 ribu kali. Lalu Nabi bersabda: Demi keagungan Tuhanku, akulah bintang itu.

Dan (hadis) ini adalah DUSTA LAGI JIJIK. MOGA ALLAH BURUKKAN SIAPA YANG MEMALSUKANNYA DAN MENIPU TENTANGNYA”. (Murshid al-Ha’ir)

Kepada Ustaz Muhaizad, dalam hadis perlu berhati-hati. Jangan hanya nukil tanpa semak.

Hadis ini palsu, jika tidak palsu dan betul ia dalam kitab al-Bukhari tolong bagitahu saya nama kitab dan bab apa supaya kita dapat nilai sanadnya.

Sayang Nabi sallallah alaih wasallam dengan menjaga nama baginda daripada hadis palsu.

Moga Allah jauhkan kita daripada dosa hadis palsu.