1. Saya mendapat kiriman video ini berkaitan individu dikenali sebagai Protagonist. Beliau membuat video berkaitan Perlis dan ada membuat persoalan di akhir video seperti tertera dalam gambar. Saya sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis terpanggil untuk memberikan ulasan berkaitan persoalan yang pertama.
Persoalan yang beliau timbulkan adalah:
“Dari mana datangnya fahaman untuk tidak tertakluk kepada SATU mazhab?”
2. Tidak terikat/tertakluk dengan satu mazhab dan tidak bermazhab merupakan dua perkara yang berbeza. Apabila seseorang itu bermazhab, tidak bermakna ia diharamkan untuk keluar daripada pandangan mazhab yang diikutinya.
Salah seorang ulamak mazhab Syafie iaitu Syaikh Zainuddin Al-Malibari berkata dalam Fath Al-Mu’in (فتح المعين) setelah menyebutkan berkaitan seseorang itu perlu beriltizam teguh bersama dengan sesuatu mazhab yang dipegang. Dalam masa yang sama beliau menyebutkan boleh untuk الانتقال berpindah kepada mazhab yang lain.
Syaikh Zainuddin Al-Malibari berkata:
إذا تمسك العامي بمذهب لزمه موافقته وإلا لزمه التمذهب بمذهب معين من الأربعة لا غيرها ثم له وإن عمل بالأول الانتقال إلى غيره بالكلية أو في المسائل بشرط أن لا يتتبع الرخص بأن يأخذ من كل مذهب بالأسهل منه فيفسق به على الأوجه
Mafhumnya:
“Jika orang awam berpegang pada sesuatu mazhab maka wajib mengikuti bersesuaian dengan apa yang ada dalam mazhabnya, jika tidak maka wajib bermazhab dengan salah satu daripada mazhab empat tidak kepada yang lainnya.
Dibolehkan jika seseorang itu jika telah mengamalkan mazhab pertama, maka ia dibenarkan untuk BERPINDAH KEPADA MAZHAB YANG LAIN secara keseluruhan ataupun hanya dalam beberapa permasalahan, dengan syarat tidak tatabbu’ al-rukhas mengambil (memilih) perkara rukhsah dari kesemua mazhab. Dengan perbuatan tersebut pelaku nya boleh dihukumkan fasik (berdosa), menurut beberapa wajah”
[Fath al-Muin Syarah Qurrah al-Ain, Zainuddin Al-Malibari]
Dalam teks di atas jelas menunjukkan boleh untuk beramal dengan mazhab yang lain walaupun seseorang berpegang dengan sesuatu mazhab. Perkara ini memang ada dibahaskan dalam mazhab kita. Setelah itu, Syarih membawa contoh percampuran mazhab yang tidak dibenarkan seperti bab talfiq. Hal ini juga ada disebutkan panjang lebar dalam Hasyiah I’anah al-Thalibin.
Berkaitan mencampurkan dua mazhab dalam satu ibadah yang sama ini para ulamak berbeza pandangan, ia dalam permasalahan talfiq. Namun bukan itu dalam topik yang hendak dibahaskan di sini. Hal ini kerana saya ingin fokus kepada soalan saudara Protagonists dalam gambar ini.
“Dari mana datangnya fahaman untuk tidak tertakluk kepada SATU mazhab?”
Permasalahan adakah boleh beramal selain mazhab yang 4 juga merupakan perkara yang di perselisihi dan perbahasan dalam hal ini masih luas.
3. Imam Nawawi (676H) yang merupakan Mujtahid al-Tarjih seorang ulamak besar dalam mazhab Syafie juga ada membahaskan berkaitan adakah seseorang itu terikat dengan mazhab tertentu secara total. Ini menunjukkan perbahasan berkaitan adakah seseorang itu perlu beriltizam 100% dengan mazhab yang dipegang ataupun sebaliknya boleh untuk keluar daripada mazhabnya telah wujud ratusan tahun yang dahulu.
4. Contoh aplikasi dalam muamalat terlalu banyak dalam dunia kini yang kita telah beramal dengan mazhab lain. Jadi kali ini saya hanya akan berikan satu contoh saja dalam Fiqh al-Ibadah:
a: Jakim keluarkan poster niat puasa sebulan terus 30 hari untuk Ramadan
= Ini bukan daripada qaul muktamad Syafieyah. Mazhab Syafie diwajibkan tabyit niat tiap-tiap malam. Niat sebulan penuh adalah pandangan mazhab Maliki yang membenarkan niat puasa sebulan terus pada malam pertama Ramadan.
Ada beberapa ulamak mazhab Syafie juga membenarkan untuk mengikut mazhab Maliki dalam hal ini. Ia disebut dalam karya ulamak syafieyah seperti Busyra al-Karim, Hasyiah al- Syarqawi, Al-Manhaj al-Qawim dan Hasyiah al-Bajuri.
Di dalam kitab Fiqh Mazhab Syafie seperti Hasyiah al-Qolyubi :
وينْدب أَنْ ينوي أَوّل ليلة صوم شهْر رمضان أَوْ صوم رمضان كلّهُ لينفعَه تقليد الْإِمام مالك في يوم نسي النّيّة فيه مثلًا لأَنّها عِنْدَهُ تكفي لجمِيع الشّهْر ، وعنْدنا للّيلة الْأُولى فقطْ .
“Dan dianjurkan untuk berniat pada malam pertama Ramadan di niatkan sebulan penuh UNTUK MENGAMBIL MANFAAT BERTAQLID KEPADA MAZHAB IMAM MALIK agar dapat menampung pada hari yang terlupa untuk berniat hal ini kerana di sisi mazhab Malik memadai niat sebulan penuh untuk keabsahan puasa pada keseluruhan Ramadan. Di sisi kami (mazhab syafie), niat seperti itu hanya memadai untuk malam pertama sahaja”.
[Al-Qalyubi, Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi Al-Misri (1995), Hasyiah Qalyubi ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin, Beirut: Dar al-Fikri, jil. 2, hal 66]
Ini menunjukkan ulamak Syafieyah juga membenarkan untuk mengikut mazhab yang lain. Masih banyak lagi contoh yang dapat diberi.
Kesimpulan:
– Orang awam wajib mengikuti para Imam Mujtahid dalam memahami nas agama. Haram dan berdosa istinbat sendiri tanpa alat yang cukup.
– Seseorang yang bermazhab tidak diwajibkan beriltizam dengan 100% dalam kesemua permasalahan bertepatan dengan mazhabnya. Boleh untuk mengikuti pandangan mazhab yang lain dengan syarat tidak tatabu’ rukhas dan sebagainya.
– Terlalu banyak contoh para fuqaha termasuk daripada mazhab Syafie menyebutkan akan hal ini iaitu boleh berpindah kepada mazhab lain.
– Ramai ulamak yang membenarkan untuk berpegang dengan mazhab yang lain dengan syarat yang ditetapkan dan syarat-syarat itu juga ulamak berbeza akan kesyaratannya.
– Tidak bermazhab dan tidak tertakluk hanya kepada satu mazhab secara total merupakan perkara berbeza.
Jadi wahai Dr Harris. Janganlah buat-buat terkejut kalau anda tidak pernah membaca perbahasan ini. Selidik diri anda. Adakah anda yakin tidak pernah keluar dari 1 mazhab? Fikirkan.
Sumber: https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/pfbid02VNnAygAXAPUNciqWbPFNDFCdAbH4uaKFUP1CMgebBbbYAkCzUhcHX4uvbb56SxRel