Kecuaian dalam menukilkan hadis

Hadis kelebihan 4 rakaat selepas Isyak menyamai lailatul Qadr.

Seorang bertanya kepada saya berkenaan video ini di mana dinyatakan dalam video ini Nabi صلى الله عليه وسلم menyatakan kelebihan solat 4 rakaat selepas isyak menyamai lailatul Qadr. Beliau juga menyebut dalam video ini hadis diriwayatkan al Bukhari secara umum.

Dinyatakan “Bahkan tsabit dengan hadis sahih diriwayatkan oleh al Imam al Bukhari bahawasanya nabi buat 4 rakaat selepas isyak lalu beliau membacakan teks hadisnya

صَلَّى أَرْبَعًا بَعْدَ الْعِشَاءِ لَا يَفْصِلُ بَيْنَهُنَّ بِتَسْلِيمٍ، عَدَلْنَ بِمِثْلِهِنَّ مِنْ لَيْلَةِ الْقَدْرِ….”

Ulasan

Pertama:

Teks (matan) yang dibacakan oleh beliau BUKAN riwayat al Bukhari sebaliknya ianya diriwayatkan dalam Musonnaf Ibn Abi syaibah.

Kedua:

Teks hadis yang dibacakan bukan hadis Nabi secara Marfu’ iaitu lafaz dari nabi sebaliknya ianya atsar yang mauquf iaitu atsar dari sahabat Abdullah bin Masud.

Ketiga:

4 Rakaat selepas Isyak itu sememangnya tsabit dari perbuatan Nabiصلى الله عليه وسلم dalam al Bukhari dari Ibn Abbas dengan lafaz

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قَالَ :

” بِتُّ فِي بَيْتِ خَالَتِي مَيْمُونَةَ بِنْتِ الحَارِثِ زَوْجِ النَّبِيِّ صلّى الله عليه وسلم ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا فِي لَيْلَتِهَا ، فَصَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ العِشَاءَ ، ثُمَّ جَاءَ إِلَى مَنْزِلِهِ ، فَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ ، ثُمَّ نَامَ ….الحديث

Kata Ibn Abbas Aku bermalam dirumah makcikku Maimunah bint al Harith …dan Nabi صلى الله عليه وسلم solat Isyak kemudian pulang kerumahnya lalu baginda solat 4 rakaat kemudian tidur… al hadis

Keempat:

Berdasarkan hadis al Bukhari tersebut amalan tersebut sememangnya tsabit dari Nabi صلى الله عليه وسلم tetapi tiada hadis yang sahih secara marfu’ disandar kepada nabi akan fadhilat kelebihan 4 rakaat itu menyamai lailatul qadr.

Kelima:

Kelebihan itu hanya tsabit dinyatakan secara mauquf iaitu disandarkan kepada sahabat seperti riwayat Ibn Abi Syaibah yang dibacakan oleh beliau dalam video tersebut dari Abdullah bin Masud. Terdapat atsar yang lain juga dari sahabat seperti Ibn Umar, Anas, al Bara’ dan seumpamanya.

Keenam:

Oleh sebab itu berlaku lah perselisihan para ulamak berkenaan fadhilat 4 rakaat tersebut tetapi bukan lah disini saya ingin membincangkannya.

KESIMPULAN

Perlunya berhati hati dalam meriwayatkan sesuatu hadis yang ingin disandarkan kepada Nabi صلى الله عليه وسلم. Kerana jika cuai dalam perkara ini akan menyebabkan seseorang tergelincir dalam bab berdusta atas nama Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Seterusnya perlu berhati hati jika ingin menukilkan dan menyandarkan sesebuah hadis kepada sumbernya seperti al Bukhari dan selainnya. Kerana jika tersalah dalam perkara ini akan menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada umum. Seperti dalam kes ini apabila dikatakan ianya riwayat al Bukhari nanti orang akan faham ianya sahih dan terus beramal.

Dalam kes ini telahpun orang bertanya tentang fadhilat yang menyamai lailatul qadr ditambah pula ustaz ini berkata hadis al Bukhari.

Seorang ustaz, penceramah perlu peka dan perlu ada pengetahuan apa yang membezakan sebuah riwayat itu marfu’ atau mauquf atau maqtu’ supaya tidak tersalah menisbahkan sesuatu riwayat itu sama ada ianya datang dari Nabi atau sahabat mahupun selain daripadanya.

Amalan 4 rakaat selepas isyak memang tsabit dari perbuatan Nabi صلى الله عليه وسلم berdasarkan riwayat sahih al Bukhari tetapi fadhilat yang menyamai lailatul qadr diperselisihkan oleh para ulamak kerana penyandaran riwayatnya hanya tsabit secara mauquf.

والله أعلم بالصواب.

Penulis: Ustaz Mohd Khairil Anwar, kini bertugas sebagai Muslim Chaplain @ Kaunselor di Institut Jantung Negara.

Sumber:https://www.facebook.com/UstazMKA/videos/554772035666159/