1. Saya ada melihat video soal jawab daripada al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus (diringkas “UAI”).
Beliau ditanya berkaitan keropok lekor yang dimesin (diproses) bercampur dengan darah dan perut ikan sekaligus. Apakah hukum makan kerepok lekor itu?
“MASUK NERAKA, pasal apa? Makan najis”
Kemudian beliau memberikan dalil daripada surah al-An’am untuk menyokong jawapan beliau.
Untuk berlaku adil jemput tonton video jawapan penuh berkaitan jawapan UAI. Saya tidak boleh share video di sini kerana team beliau terkenal dengan selalu copyright video jika upload video beliau.
2. Bagi saya, perkara ini perlu berhati-hati ketika menjawab. Tidak boleh kita menerakakan seseorang dalam perkara khilafiyyah. Cukuplah kita mengatakan sesuatu perkara itu haram, bidaah, makruh dan sebagainya saja. Isu kedudukan orang itu di neraka atau sebaliknya bukan urusan kita.
3. Adakah darah ikan adalah najis? Perkara ini ulamak berbeza pendapat berkaitannya. Salah seorang ulamak mazhab Syafie iaitu Al-Syirozi berkata:
وفي دم السمك وجهان أحدهما : نجس كغيره والثاني : طاهر ; لأنه ليس بأكثر من الميتة ، وميتة السمك طاهرة فكذا دمه
Maksudnya:
“Dalam permasalahan darah ikan terdapat dua wajah berkaitannya.
Wajah Pertama: ia adalah najis seperti darah yang lain.
Wajah Kedua: Ia SUCI kerana ukuran kadar darah ikan tidak lebih banyak (lebih sedikit) dibandingkan dengan bangkainya. Bangkai ikan adalah suci, demikian juga (suci) darahnya.”
[Al-Syirozi, al-Muhazzab]
Berdasarkan teks di atas, jelas ia menunjukkan berkaitan darah ikan ini mempunyai beberapa wajah dalam mazhab Syafie. Al-Nawawi dalam al-Majmu’ lebih cenderung mengatakan pandangan yang mengatakan ia adalah najis merupakan pandangan yang asoh’ (lebih sahih), namun terdapat juga ulamak yang memilih pandangan yang mengatakan ia suci.
4. Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin yang mengumpulkan fatwa-fatwa berserta pandangan yang tidak muktamad mazhab Syafie, disebutkan bahawa:
وقد اتفق ابْنُ حجر وزياد وَ م ر وغيرهم على طهارة ما فى جوف السمك الصغير من الدم والروث وجواز أَكله معه وإِنه لَا ينْجس به الدهن بلْ جرى عليه م ر الكبير ايضا لأن لنا قولا قويا أن السمك لادم لها
“Telah sepakat antara Ibn Hajar, Ibn Ziyad, al-Ramli dan selainnya terhadap apa-apa perkara yang berada dalam perut ikan yang kecil adalah SUCI termasuklah DARAH dan kotorannya. Dan harus makan ikan tersebut berserta perkara itu. Sesungguhnya ia tidak akan menajiskan minyak (ketika digoreng). Bahkan hukum ini juga berlaku pada ikan yang bersaiz besar kerana dalam mazhab kita ada satu pandangan yang kuat mengatakan bahawa ikan tidak mempunyai darah”.
Daripada nukilan di atas dapat kita ketahui masih berlaku perbezaan pandangan ulama dalam permasalahan ini. Ada juga yang membezakan antara ikan besar dan kecil.
4. Selain itu, ulamak mazhab Hanafi seperti Ibn Abidin dalam Hasyiahnya (322/1) menyebutkan bahawa:
والمذهب أن دم السمك طاهرٌ
“Menurut pandangan mazhab, darah ikan adalah suci”.
Dalam mazhab Hanafi juga terdapat perbezaan pandangan dalam hal ini kerana diriwayatkan daripada Abu Yusuf beliau mempunyai pandangan yang agak berbeza.
Dalam mazhab Hanbali pula, terdapat ulamak Hanabilah yang berpandangan darah ikan adalah suci. Salah seorang ulamak mazhab Hanbali iaitu Ibn Muflih menyebutkan dalam al-Furu:
ودم السمك طاهر في الأصح
“Darah ikan menurut pandangan yang asoh (lebih sahih) adalah suci”.
Namun masih terdapat perbincangan dalam mazhab Hanbali.
5. Tidak salah untuk memilih pandangan yang mengatakan haram ataupun najis, namun saya tidak bersetuju dengan sifat mudah menerakakan orang dalam isu khilafiyyah yang kita tidak bersetuju berkaitan hal tersebut.
Lebih molek bagi yang berpegang kepada pandangan yang haram dalam isu ini untuk berkata:
“Hukumnya haram dan boleh bawa ke neraka”.
Ini kerana berkemungkinan pemakan itu ada amalan soleh lain yang menyebabkannya terhalang dari neraka.
Begitu juga boleh dihuraikan juga jika pemakannya tidak tahu keropok lekor itu diproses sebegitu rupa. Maka dia tidak berdosa kerana jahil dalam isu ini.
Sebelum ini kita mudah melabel orang yang tegas terhadap perkara bidaah kononnya mudah menerakakan orang, kali ini tidak mustahil jika perkara itu akan berbalik kepada si penuduh.
Moga tulisan ini bermanfaat.