Loading

Masa Ramadan, sebaiknya dikhatamkan bacaan al-Quran atau dibaca secara tadabbur walaupun tidak khatam?

Saya menerima banyak soalan ini. Jawapan saya, ia bergantung kepada keadaan si pembaca.

Khatam itu ada dua jenis:

1. Khatam secara bacaan (qiraah).

Khatam jenis ini boleh dilakukan dengan pantas bagi yang mampu membaca dengan lancar.

2. Khatam secara memahami (tadabbur).

Khatam jenis ini mengambil masa yang lama.

Sekiranya seseorang itu pada ketika selain Ramadan sering mengikuti kelas-kelas tafsir atau tadabbur, maka digalakkan baginya mengkhatamkan al-Quran secara bacaan ketika Ramadan.

Manakala sekiranya dia tidak begitu meluangkan masa bersama al-Quran sebelum Ramadan, maka digalakkan baginya membaca al-Quran secara tadabbur supaya dapat difahami isinya untuk diambil pengajaran.

Bukankah para ulama terdahulu ramai yang mengkhatamkan bacaan al-Quran setiap hari atau selang sehari ketika Ramadan?

Benar, kerana kehidupan seharian mereka sebelum Ramadan sentiasa bersama al-Quran, yakni sebelas bulan sebelumnya mereka habiskan untuk mentadabburi al-Quran. Selain itu mereka juga memahami intipatinya dengan baik. Justeru mereka cuba merebut peluang ketika Ramadan untuk membaca al-Quran sebanyak yang mungkin.

Apa yang penting dari seruan Ramadan bulan al-Quran ialah, kita meluangkan banyak waktu kita bersama al-Quran baik secara bacaan atau kefahaman.