Loading

1. Hari ini ramai pula yang tag saya dan memberi mesej kepada saya page FB berkaitan satu status yang ditulis oleh al-Fadhil Ustaz Nazrul Nasir. 

2. Artikel tersebut ditujukan kepada seorang Dr PHD tetapi tidak disebutkan nama secara jelas. Tetapi dalam ruangan komentar beliau menjawab dengan memberikan video saya di Youtube setelah netizen bertanya lebih lanjut tentang Dr PhD tersebut maka saya membuat kesimpulan sememangnya beliau menulis artikel tersebut untuk mengkritik saya. 

3. Pertamanya saya hargai usaha beliau memberikan kritikan ilmiah dalam isu ini. Saya ucapkan terima kasih kepada beliau atas ulasan beliau dalam isu ini dengan Bahasa yang baik dan nasihat yang saya kira sangat sesuai bahasanya untuk saya.

4. Saya katakan alhamdulillah bukan di al-Azhar saja diajar tentang adab kepada Nabi sallallah alaih wasallam. Bahkan di banyak lagi universiti dalam dunia ini mengajar tentang adab dengan Nabi sallallah alaih wasallam. Menjadi masalah kalau kita merasakan yang terbaik hanyalah al-Azhar dan saya yakin al-Fadhil Ustaz tidak mempunyai kepercayaan begitu.

5. Sepertimana yang saya sebutkan kisah ini memang dinukilkan dalam kitab Sahih Muslim. Saya bawakan riwayat dalam Sahih Muslim supaya kita sama-sama nilai:

٩ – (١٤٠٣) – حَدَّثَنَا عَمۡرُو بۡنُ عَلِيٍّ: حَدَّثَنَا عَبۡدُ الۡأَعۡلَىٰ: حَدَّثَنَا هِشَامُ بۡنُ أَبِي عَبۡدِ اللهِ، عَنۡ أَبِي الزُّبَيۡرِ، عَنۡ جَابِرٍ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ رَأَى امۡرَأَةً فَأَتَىٰ امۡرَأَتَهُ زَيۡنَبَ، وَهِيَ تَمۡعَسُ مَنِيئَةً لَهَا، فَقَضَىٰ حَاجَتَهُ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَىٰ أَصۡحَابِهِ فَقَالَ: (إِنَّ الۡمَرۡأَةَ تُقۡبِلُ فِي صُورَةِ شَيۡطَانٍ، وَتُدۡبِرُ فِي صُورَةِ شَيۡطَانٍ، فَإِذَا أَبۡصَرَ أَحَدُكُمُ امۡرَأَةً فَلۡيَأۡتِ أَهۡلَهُ، فَإِنَّ ذٰلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفۡسِهِ).

9. (1403). ‘Amr bin ‘Ali telah menceritakan kepada kami: ‘Abdul A’la menceritakan kepada kami: Hisyam bin Abu ‘Abdullah menceritakan kepada kami, dari Abuz Zubair, dari Jabir, bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melihat seorang wanita, lalu beliau mendatangi Zainab isteri beliau ketika dia sedang menyamak kulit. Beliau menunaikan hajatnya, kemudian keluar kepada para sahabatnya seraya bersabda, “Sesungguhnya wanita itu datang dalam bentuk syaitan dan pergi dalam bentuk syaitan. Jika salah seorang kalian melihat seorang wanita, maka hendaknya dia mendatangi isterinya. Kerana itu dapat menolak perasaan yang muncul pada jiwanya.”

(…) – حَدَّثَنَا زُهَيۡرُ بۡنُ حَرۡبٍ: حَدَّثَنَا عَبۡدُ الصَّمَدِ بۡنُ عَبۡدِ الۡوَارِثِ: حَدَّثَنَا حَرۡبُ بۡنُ أَبِي الۡعَالِيَةِ: حَدَّثَنَا أَبُو الزُّبَيۡرِ، عَنۡ جَابِرِ بۡنِ عَبۡدِ اللهِ، أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ رَأَى امۡرَأَةً. فَذَكَرَ بِمِثۡلِهِ. غَيۡرَ أَنَّهُ قَالَ: فَأَتَى امۡرَأَتَهُ زَيۡنَبَ وَهِيَ تَمۡعَسُ مَنِيئَةً. وَلَمۡ يَذۡكُرۡ: تُدۡبِرُ فِي صُورَةِ شَيۡطَانٍ.

Zuhair bin Harb telah menceritakan kepada kami: ‘Abdush Shamad bin ‘Abdul Warits menceritakan kepada kami: Harb bin Abul ‘Aliyah menceritakan kepada kami: Abuz Zubair menceritakan kepada kami, dari Jabir bin ‘Abdullah, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melihat seorang wanita. Lalu beliau menyebutkan semisal hadis ini. Bedanya beliau berkata: Maka beliau mendatangi Zainab isteri beliau ketika dia sedang menyamak kulit. Dan beliau tidak menyebutkan: pergi dalam bentuk syaitan.

١٠ – (…) – وَحَدَّثَنِي سَلَمَةُ بۡنُ شَبِيبٍ: حَدَّثَنَا الۡحَسَنُ بۡنُ أَعۡيَنَ: حَدَّثَنَا مَعۡقِلٌ، عَنۡ أَبِي الزُّبَيۡرِ قَالَ: قَالَ جَابِرٌ: سَمِعۡتُ النَّبِيَّ ﷺ يَقُولُ: (إِذَا أَحَدَكُمۡ أَعۡجَبَتۡهُ الۡمَرۡأَةُ، فَوَقَعَتۡ فِي قَلۡبِهِ، فَلۡيَعۡمِدۡ إِلَى امۡرَأَتِهِ فَلۡيُوَاقِعۡهَا، فَإِنَّ ذٰلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفۡسِهِ).

10. Salamah bin Syabib telah menceritakan kepadaku: Al-Hasan bin A’yan menceritakan kepada kami: Ma’qil menceritakan kepada kami, dari Abuz Zubair. Beliau berkata: Jabir berkata: Aku mendengar Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jika ada wanita yang membuat salah seorang kalian terpikat dan muncul hasrat pada hatinya, maka hendaknya ia menuju isterinya lalu ia salurkan padanya. Kerana hal itu dapat menolak perasaan yang muncul pada jiwanya.”

Kisah ini juga dinukilkan oleh Imam Ahmad dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dan al-Awsat daripada beberapa jalur:

i. Jalur Jabir bin Abdillah al-Ansari:

Lafaz Imam Ahmad:

أن رسول الله صلى الله عليه و سلم رأى امرأة فأعجبته فأتى زينب وهي تمعس منية فقضى منها حاجته وقال إن المرأة تقبل في صورة شيطان وتدبر في صورة شيطان فإذا رأى أحدكم امرأة فأعجبته فليأت أهله فإن ذاك يرد مما في نفسه

Sesungguhnya Nabi sallallah alaih wasallam terlihat seorang wanita dan wanita itu menakjubkan baginda, lalu baginda masuk kepada Zainab dalam keadaan dia sedang menyamak kulit haiwan dan melunaskan hajatnya dengan Zainab, kemudian baginda keluar dan berkata: Wanita ini datang dengan gambaran syaitan dan pergi dengan gambaran syaitan. Sesiapa antara kamu terlihat wanita dan dia menakjubkannya (syahwat) datangilah isterinya kerana ia akan menghilangkan apa yang ada di jiwanya.

Lafaz al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir:

أن النبي صلى الله عليه وسلم رأى امرأة فأعجبته فدخل على زينب بنت جحش فقضى حاجته منها ثم خرج فقال : إن المرأة تقبل في صورة شيطان وتدبر في صورة شيطان فمن وجد ذلك فليأت أهله فإنه يضمر ما في نفسه

Sesungguhnya Nabi sallallah alaih wasallam terlihat seorang wanita dan wanita itu menakjubkan baginda, lalu baginda masuk kepada Zainab binti Jahsy dan melunaskan hajatnya dengan Zainab, kemudian baginda keluar dan berkata: Wanita ini datang dengan gambaran syaitan dan pergi dengan gambaran syaitan. Sesiapa yang mendapati perkara itu (syahwat) datangilah isterinya kerana ia akan menghilangkan apa yang ada di jiwanya.

Lafaz al-Tabarani dalam al-Awsat:

أن النبي صلى الله عليه و سلم رأى امرأة فدخل على زينب بنت جحش فقضى حاجته منها ثم خرج فقال إن المرأة تقبل في صورة شيطان وتدبر في صورة شيطان فمن وجد ذلك فليأت أهله فإنه يغمر ما في نفسه

Sesungguhnya Nabi sallallah alaih wasallam terlihat seorang wanita, lalu baginda masuk kepada Zainab binti Jahsy dan melunaskan hajatnya dengan Zainab, kemudian baginda keluar dan berkata: Wanita ini datang dengan gambaran syaitan dan pergi dengan gambaran syaitan. Sesiapa yang mendapati perkara itu (syahwat) datangilah isterinya kerana ia akan menghilangkan apa yang ada di jiwanya. 

ii. Jalur Abu Kabsyah al-Anmari:

Imam Ahmad dan al-Tabarani meriwayatkan:

عن أبي كبشة الأنماري قال : كان رسول الله صلى الله عليه و سلم جالسا في أصحابه فدخل ثم خرج وقد اغتسل فقلنا يا رسول الله قد كان شيء قال أجل مرت بي فلانة فوقع في قلبي شهوة النساء فأتيت بعض أزواجي فاصبتها فكذلك فافعلوا فإنه من أماثل أعمالكم آتيان الحلال

Daripada Abi Kabsyah al-Anmari katanya: Sesungguhnya Nabi sallallah alaih wasallam sedang duduk bersama sahabat-sahabat baginda, tiba-tiba baginda masuk dan keluar dalam keadaan baginda telah mandi, maka kami bertanya: Adakah berlaku sesuatu? Baginda menjawab: benar, seorang perempuan melalui aku tadi, terdetik dalam jiwaku syahwat kepada wanita, maka aku datangi isteriku, lalu aku bersamanya. Maka begitu jugalah kamu semua patut lakukan. Sesungguhnya antara perbuatanmu yang terbaik ialah mendatangi yang halal. 

6. Kesemua hadis-hadis ini sabit daripada Nabi sallallah alaih wasallam. Riwayat Jabir sabit sahih kerana ia riwayat Muslim. Ia juga dinilai sahih oleh al-Tirmizi dan Ibn Hibban.

7. Manakala riwayat Abu Kabsyah pula sanadnya jayyid menurut penilaian al-‘Iraqi dan hasan menurut penilaian Syeikhuna Syuaib al-Arnaut dan al-Albani. (Rujuk: al-Mughni ‘an Haml al-Asfar, jil. 1, hal. 357, Tahqiq Musnad Ahmad, jil. 4, hal. 231, al-Silsilah al-Sahihah, jil. 1, hal. 234)

8. Jika dilihat kepada semua hadis-hadis ini sememangnya ia merujuk kepada kisah yang sama. Kisah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sama dengan kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tabarani.

9. Mungkin al-Fadhil ustaz Nazrul Nasir mempunyai kecenderungan untuk mengatakan kisah ini daif. Oleh itu, beliau mengatakan bahawa kisah ini bercanggahan dengan hadis sahih yang lain. Ingin saya tegaskan bahawa sememangnya terdapat kecenderungan sebahagian pengkaji moden untuk mendaifkan hadis ini. Pandangan ini menyatakan bahawa kedaifan ini disebabkan beberapa perkara antaranya Tadlis Abu al-Zubair dan al-Irsal. Saya huraikan seperti berikut:

i. Tadlis Abu al-Zubair

Saya katakan bahawa sesiapa yang mengkaji ilmu hadis akan tahu bahawa tadlis Abu al-Zubair ini menjadi perbahasan yang panjang dalam kalangan sarjana hadis. Ini kerana Imam Muslim banyak memasukkan riwayat Abu al-Zubair dengan lafaz al-‘An’anah. Hadis ini juga Imam Muslim masukkan dalam sahihnya dengan lafaz ‘An’anah dari Abu al-Zubair. Terdapat lafaz yang menunjukkan Abu al-Zubair mendengar secara langsung dari Jabir tetapi ia datang dari jalur Ibn Lahi’ah dan beliau daif. 

Saya tidak mahu memanjangkan isu ini kerana saya berpegang kepada kesahihan hadis Jabir ini dan tadlis Abu al-Zubair tidak memberi kesan kepada kesahihannya kerana perkara berikut:

Pertama: Imam Muslim meriwayatkannya dalam sahihnya dan tidak ada ulama silam yang mengkritik hadis riwayat Muslim ini kerana tadlis Abu al-Zubair. Al-Daraqutni yang mengkritik beberapa riwayat Sahih Muslim pun tidak mengkritik hadis ini. Ini menunjukkan hadis ini telah diterima sebagai sahih secara kesepakatan umat. 

Ibn al-Solah menyebutkan:

القول بأن ما انفرد به البخاري أو مسلم مندرج في قبيل ما يقطع بصحته لتلقي الأمة كل واحد من كتابيهما بالقبول على الوجه الذي فصلناه من حالهما فيما سبق، سوى أحرف يسيرة تكلم عليها بعض أهل النقد من الحفاظ، كالدارقطني وغيره، وهي معروفة عند أهل هذا الشأن، والله أعلم.

Pandangan yang mengatakan bahawa hadis yang al-Bukhari dan Muslim bersendirian meriwayatkannya termasuk dalam hadis yang diputuskan sebagai sahih kerana penerimaan umat terhadap keduanya dengan bentuk yang kita telah perincikan daripada keadaan mereka berdua sebelum ini kecuali beberapa hadis sedikit yang dikritik oleh sebahagian pengkritik dari kalangan huffaz seperti al-Daraqutni dan selainnya dan ia isu yang diketahui bagi orang yang berada dalam ilmu ini, wallahua’lam. (Muqaddimah Ibn al-Solah, hal. 29)

Bahkan Syeikh Mahmud Said Mamduh sendiri berpandangan bahawa ‘An’anah Abu al-Zubair dalam sahih Muslim diterima dan tidak dianggap daif. (Rujuk: Mahmud Said Mamduh, Tanbih al-Muslim, hal. 81)

Kedua: al-Tirmizi mengatakan hadis Jabir ini sahih hasan gharib. Ibn Hibban juga mensahihkannya. 

Ketiga: Terdapat syahid bagi riwayat ini dari jalur Abu Kabsyah al-Anmari dan sanadnya dinilai jayyid oleh al-‘Iraqi dan hasan oleh Syeikhuna Syuaib al-Arnaut dan al-Albani. Berkaitan tafarrud (bersendirian) Muawiyah bin Soleh tidak menjadi ‘illah dalam isu ini kerana beliau tidak membawa hadis yang tidak diketahui oleh perawi lain. Sebaliknya riwayat Jabir dan Ibn Mas’ud juga menyatakan perkara yang sama (walaupun terdapat khilaf terhadap riwayat Ibn Mas’ud tetapi ahli nuqqad menyatakan ia sahih secara mauquf).

ii. Al-Irsal

Ada juga sebahagian pengkaji hadis moden yang menyatakan hadis ini lemah kerana riwayatnya bercanggah-canggah. Riwayat yang betul ialah riwayat Qutaibah bin Said dari Harb dari Abu al-Zubair secara mursal. Ini kerana al-Nasaie selepas membawakan riwayat mausul dan diikuti dengan riwayat mursal beliau menyebut:

كَأَنَّهُ أَوْلَى بِالصَّوَابِ مِنَ الَّذِي قَبْلَهُ

Seolah-olah ia lebih utama untuk betul dari riwayat sebelumnya. 

Saya katakan bahawa pandangan al-Nasaie ini perlu diteliti semula. Ini kerana riwayat mausul dari Abu al-Zubair dari Jabir datang melalui jalur Hisyam al-Dastuwaie dan Ma’qil. Hisyam perawi tsiqah dan lebih tinggi darjatnya berbanding Harb. Tambahan pula ada anak murid Harb yang lain juga meriwayatkan hadis ini secara mausul dengan sanad bersambung. Ini ditambah lagi Imam Muslim meriwayatkannya dalam sahihnya.

10. Mungkin beliau ingin mengkritik saya kerana saya bacakan lafaz:

فوقع في قلبه شهوة النساء

Lalu saya katakan kisah ini ada dalam Sahih Muslim? Jika itu sebabnya beliau mengkritik saya maka saya mohon maaf kerana kekeliruan ini. Apa yang saya maksudkan ialah asal kisah ini ada dalam sahih Muslim. Apa yang saya bacakan dalam ceramah itu sebenarnya adalah rangkuman kefahaman saya terhadap beberapa hadis sahih dan hasan yang datang dalam kisah ini. Walau bagaimanapun kisah ini tetap ada dalam Sahih Muslim. Jika benar ada yang terkeliru maka saya memohon maaf dan inilah penjelasan terperinci saya. 

11. Kurang beradabkah saya? 

Al-Fadhil ustaz Nazrul Nasir menyeru supaya kita semua beradab kepada Nabi sallallah alaih wasallam. Setelah membaca artikelnya mungkin saya boleh tafsirkan sebab beliau mengajak kepada beradab kepada Nabi sallallah alaih wasallam itu kembali kepada 2 isu utama:

Pertama: Menyebut tentang syahwat Nabi sallallah alaih wasallam sebagai kurang beradab.

Saya jawab seperti berikut:

i. Saya merenung dalam hadis yang saya baca lalu terfikir di mana dalam kenyataan hadis ini yang boleh dianggap sebagai kurang adab? Setelah saya buktikan hadis ini sabit daripada Nabi sallallah alaih wasallam maka saya tidak pasti adakah saya tidak beradab bila menyebut hadis ini? 

ii. Adakah membacakan hadis sahih dalam bab ini dikira sebagai tidak beradab? Jika saya tidak beradab, bagaimana pula Imam Muslim yang membawakan riwayat ini dalam sahihnya, al-Tirmizi dalam sunannya, Ibn Hibban dalam sahihnya, Ahmad dalam Musnadnya dan al-Tabarani dalam Mu’jamnya? Jika saya dianggap kurang beradab dengan menyebut kisah ini, bagaimana pula halnya dengan perawi yang menukilkan perkataan yang sama? Timbul syahwat ini juga apa yang difahami oleh Imam Ibn al-’Arabi dari lafaz hadis berkenaan. Jika al-Fadhil Ustaz merasa ajaib, saya juga merasa lebih ajaib dengan keberanian ustaz mainkan isu adab dengan Nabi sallallah alaih wasallam ini. Saya bertambah rasa ajaib mengenangkan keajaiban al-Fadhil Ustaz terhadap pandangan saya yang selari dengan Ibn al-’Arabi yang saya akan sebutkan nanti.

iii. Jika mengatakan Nabi sallallah alaih wasallam bersyahwat itu tidak beradab, maka adakah boleh dikatakan Nabi tidak bersyahwat langsung? 

iv. Apabila dikatakan Nabi sallallah alaih wasallam bersyahwat bukanlah bermakna baginda bersyahwat kepada perempuan yang tidak halal bagi baginda. Tetapi baginda bersyahwat kepada wanita secara umum setelah terlihat wanita itu. Mari kita lihat apa kata Ibn al-‘Arabi ketika menghuraikan hadis ini:

هذا حديث غريب المعنى؛ لأن الذي جرى للنبي كان سرا، لم يعلمه إلا الله، ولكنه أذاعه عن نفسه؛ تسلية للخلق، وتعليما لهم، وقد كان آدميا ذا شهوة، ولكنه كان معصوما عن الزلة، وما جرى في خاطره حين رأى المرأة أمر لا يؤاخذ به شرعا، ولا ينقص من منزلته، وذلك الذي وجد في نفسه من إعجاب المرأة له هي جبلة الآدمية التي تتحقق بها صفتها، ثم غلبها بالعصمة، فانطفت، وجاء إلى الزوجة؛ ليقضي فيها حق الإعجاب والشهوة الآدمية بالاعتصام والعفة.

Ini merupakan hadis yang ganjil maknanya kerana yang berlaku kepada Nabi merupakan perkara rahsia yang tidak diketahui melainkan oleh Allah, tetapi baginda menghebahkannya dari dalam dirinya sebagai berita gembira bagi makhluk dan pengajaran kepada mereka. Sesungguhnya baginda itu manusia yang mempunyai syahwat tetapi baginda baginda maksum dari tergelincir. Apa yang berlaku dalam jiwanya ketika terlihat perempuan itu perkara yang tidak dipersalahkan pada syarak dan tidak mengurangkan kedudukannya. Ini kerana baginda mendapati dirinya berasa takjub dengan wanita itu adalah perkara fitrah manusia yang tetap sifatnya tetapi baginda mengalahkannya dengan kemaksuman maka ia terpadam dan baginda pergi kepada isterinya supaya dapat melunaskan rasa takjubnya dan syahwat manusianya dengan kemaksuman dan penjagaan maruahnya. (Rujuk: Ibn al-‘Arabi, ‘Aridhat al-Ahwazi, jil. 1, hal. 94-95)

Bahkan hadis ini menjadi bukti betapa baginda itu manusia dan berusaha menjaga maruah baginda. Jika ini dikatakan biadap, maka persoalannya adakah Ibn al-‘Arabi biadap? Bahkan Imam Nawawi sendiri meletakkan tajuk dalam sahih Muslim bagi hadis ini dengan tajuk berikut:

باب ندب من رأى امرأة فوقعت فى نفسه إلى أن يأتى امرأته أو جاريته فيواقعها.

v. Namun perlu diingat bahawa apa yang berlaku dalam jiwa baginda ini bukanlah sesuatu yang menunjukkan baginda telah bertindak atau baginda tewas dengan nafsunya. Bahkan baginda melawannya dengan menghilangkannya dengan bersama isterinya. Al-Qurtubi menjelaskan:

تحذير: لا يُظنُّ برسول الله ـ صلى الله عليه وسلم ـ – لَمَّا فعل ذلك – ميلُ نَفْسٍ ، أو غلبة شهوة – حاشاه عن ذلك ، وإنما فعل ذلك لِيَسُنَّ ، وليُقتدى به ، وليحسمَ عن نفسه ما يتوقع وقوعه .

Peringatan: Janganlah disangka bahawa Nabi sallallah alaih wasallam ketika melakukan perkara itu kerana kecenderungan nafsu atau ketewasan dengan syahwat alangkah jauhnya baginda dari semua itu, sebaliknya baginda lakukan perkara itu supaya baginda mensyariatkan hukum, diikuti (oleh umat yang mengalami syahwat akibat terlihat wanita) dan untuk memutuskan sesuatu yang dijangkakan berlaku dari dirinya. (Rujuk: al-Qurtubi, al-Mufhim, jil. 5, hal. 453) 

Kedua: Mungkin kerana saya menggambarkan seolah-olah Nabi sallallah alaih wasallam tidak menjaga pandangan.

Jika ini sebabnya beliau membangkitkan soal beradab dengan Nabi sallallah alaih wasallam, maka saya katakan jika diteliti video saya tersebut terang dan jelas saya katakan baginda “terlihat”. Bukannya baginda sengaja memandang wanita dengan penuh syahwat. Inilah yang dinyatakan oleh ulama ketika mensyarahkan hadis ini. Lihat nukilan berikut:

Kata al-Qurtubi:

وقع بصره عليها فجاة

Berlaku pandangan Nabi kepada wanita itu secara tiba-tiba (tidak sengaja). (Rujuk: al-Qurtubi, al-Mufhim Syarah Sahih Muslim, jil. 5, hal. 452)

Kata Syeikh Ahmad al-Saharanfuri:

وهذه الرؤية لم تكن إلا فجأة.

Pandangan (Nabi) tidak berlaku melainkan secara tiba-tiba (tidak sengaja). (Rujuk: Bazl al-Majhud Syarah Sunan Abi Daud, jil. 8, hal. 88) 

12. Manakala hadis Aisyah tentang ciuman baginda yang al-Fadhil Ustaz Nazrul Nasir bawakan saya tidak pasti apa tujuannya. Jika tujuannya untuk menafikan syahwat baginda saya katakan ia sangat tersasar. Bahkan hadis tersebut menyatakan baginda mempunyai syahwat dan mampu mengawal syahwatnya. Bukannya menafikan baginda mempunyai syahwat. Perlu dibezakan antara dua perkara ini.

13. Akhirnya saya ingin katakan bahawa dalam isu kesahihan cerita ini ulama mempunyai 2 pandangan. Sebahagian mendaifkannya dan sebahagian mensahihkannya. Jika al-Fadhil Ustaz Nazrul Nasir mahu memilih pandangan yang mendaifkannya silakan. Beliau mempunyai hak jika itulah pandangan yang beliau percaya tepat setelah kajian dilakukan. Namun, beliau tidak wajar mengecam orang lain yang mahu memegang kepada pandangan yang mengatakan ia sahih dan hasan. Apatah lagi tidak wajar untuk mengatakan mereka ini tidak beradab dengan baginda. Saya yakin al-Fadhil Ustaz tidak begitu.

14. Telah panjang saya menulis. Saya kira cukuplah sekadar ini jawapan saya. Apa-apa pun saya mendoakan agar cinta kepada Nabi sallallah alaih wasallam terus subur dalam jiwa kita. Saya doakan agar al-Fadhil Ustaz diberikan kesihatan dan sentiasa dipelihara oleh Allah. 

Salam hormat dari saya,

Dr Rozaimi Ramle