1. Iblis terkadang membisik halus kepada kita untuk mengadu domba tanpa kita sedari dalam kita berdakwah atau memberikan nasihat. Kita rasa kita sedang melakukan kebaikan, tapi rupanya di sisi Allah ﷻ kita termasuk dalam golongan Nammam -moga dijauhi-.

2. Apa itu Nammam yang sangat tercela?Iaitu golongan yang suka melaga-lagakan orang atau mengeruhkan lagi perhubungan sesetengah pihak atau menambahkan lagi sengketa.Rasulullah ﷺ bersabda:

أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِشِرَارِكُمْ؟ الْمَشَّاءُونَ بِالنَّمِيمَةِ، الْمُفْسِدُونَ بَيْنَ الْأَحِبَّةِ، الْبَاغُونَ لِلْبُرَآءِ الْعَنَتَ

“Mahukah aku khabarkan kepada kamu orang yang paling jahat dalam kalangan kamu? Iaitu mereka yang suka mengadu domba, yang suka memecah-belahkan antara orang-orang yang berkasih sayang, yang mencacatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat” [hadis riwayat Ahmad].

3. Rasulullah ﷺ telah mengumpamakan perbuatan mengadu domba ini seperti sihir, kerana tujuan dan natijahnya seperti perbuatan sihir yang merosakkan perhubungan dan menimbulkan permusuhan.

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ مَا الْعَضْهُ؟ هِيَ النَّمِيمَةُ الْقَالَةُ بَيْنَ النَّاسِ

“Mahukah aku khabarkan kepada kamu apa itu sihir? Itulah perbuatan namimah untuk merosakkan hubungan antara sesama manusia” [hadis riwayat Muslim].

Bahkan namimah mampu merosakkan sesebuah perhubungan lebih pantas dari sihir!

4. Dosa mengadu domba sangatlah besar sehingga boleh membuatkan empunya diri mendapat balasan Allah ﷻ yang mengerikan:
i) Mendapat azab kubur [hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].
ii) Terhalang dari masuk syurga [hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].

5. Jika ada di antara kenalan kita yang gemar menghentam atau mengata orang sana-sini atau menjadi ‘jaguh’ di belakang, sehingga itu menjadi halwa mulut mereka, berhati-hatilah ketika mendengar khabar manusia dari mereka, kerana barangkali merekalah golongan Nammam.

Semoga Allah memelihara kita dari dosa yang sering tidak kita sedari ini.