S.S. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin juga dikenali sebagai Dr. MAZA, adalah seorang pendakwah, penulis, pensyarah dan perunding Islam di Malaysia. Beliau kini merupakan Mufti Perlis buat kali kedua sejak 2 Februari 2015. Lantikan pertamanya sebagai mufti adalah dari tahun 2006 hingga 2008.

Beliau dilahirkan pada tahun 1971 di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis 1427H ini mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Al-Irsyad, Seberang Perai dan selepas itu melanjutkanpelajaran di Kolej Islam Klang. Dr. Mohd Asri meraih Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari University of Jordan, Ijazah Sarjana (MA) Pengajian Islam dari Universiti Sains Malaysia (USM), Ph. D Islamic Revealed Knowledge and Heritage (Al-Quran and Sunnah Studies) dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dan lima Ijazah Hadith Bersanad menerusi jalur ulama India.

Dr.MAZA popular sebagai seorang kolumnis tetap mingguan di akhbar Mingguan Malaysia (sejak Mac 2007), selain mencambah dan menyebar ilmunya di laman web beliau MINDA TAJDID: drmaza.com yang dahulunya menjadi rujukan. Sejak tahun 2003, Dr. Mohd Asri sudah menghasilkan lebih 21 buah buku menerusi pelbagai saluran penerbitan. Di samping itu, beliau juga aktif dalam pembentangan kertas kerja sejak tahun 2004 (sehingga 2008) dengan jumlah sebanyak 44 judul kertas kerja. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin pernah menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis bermula 1 November 2006 sehingga 30 November 2008. Dan sebagai pensyarah tetap di Universiti Sains Malaysia (USM) pernah menjalani cuti sabatikal di United Kingdom (UK).

Prof Madya Dr Rozaimi Ramle

Dr. Rozaimi Ramlee merupakan seorang pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Fiqh dan Usul di Universiti Mu’tah, Jordan. Kemudian Dr. Rozaimi meneruskan pencarian ilmunya dengan mendalami ilmu hadis di peringkat Sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak. Dr. Rozaimi memperolehi PhD dalam bidang hadis di University Of Jordan.

Beliau merupakan seorang pendakwah yang aktif mengajar di masjid dan surau-surau dan kerap dijemput membentangkan kertas kerja di pelbagai tempat. Selain itu, Dr. Rozaimi juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Fatwa negeri Perlis.

Prof Dr Basri Ibrahim Al-Azhari

Prof. Dr. Basri Bin Ibrahim merupakan seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Kampus Gong Badak, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu Darul Iman. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (bahasa Arab) di Universiti Al-Azhar Mesir pada tahun 1990. Kemudian mendapat Sarjana dalam Perundangan Islam dari Universiti Malaya pada tahun 1994, akhirnya beliau Berjaya mendapatkan Ph.D Syariah dalam Fiqh Semasa dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2001.

Beliau merupakan seorang pendakwah yang aktif menulis dan menterjemah, sehingga kini telah banyak kajian dan penulisan sehingga berjaya menghasilkan lebih 45 buah buku, dan 38 buah kajian yang telah diterbitkan di dalam jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa dalam bidang kepakaran beliau iaitu sistem politik Islam, pengajian Islam, Fiqh semasa, serta bidang Ijtihad and Tajdid. 

Selain itu, beliau telah dilantik sebagai penyandang pertama Kursi Jamalullail yang diwujudkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Universiti Islam Malaysia (UIM) serta berpengalaman sebagai panel pakar rujuk oleh institusi-institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu. Prof. Dr. Basri juga telah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

Maulana Muhammad Asri Yusoff

Maulana Muhammad Asri Yusoff adalah ilmuwan yang tidak asing lagi dalam menyampaikan dakwah di Malaysia khususnya di Kelantan dan Kuala Lumpur. Beliau merupakan seorang yang arif dalam ilmu hadith. Minatnya mendalam pada ilmu hadith dan al Quran membuatkan beliau menubuhkan Darul Kautsar yang bertempat di Kelantan. Beliau adalah pengasas Darul Kautsar yang menjadi pusat tahfiz al-quran, bahasa arab dan ilmu-ilmu islam.Manakala Kuala Lumpur merupakan antara tempat tumpuan beliau dalam mengajar hadith secara talaqqi kepada orang awam.  

Maulana juga merupakan pengarang banyak buku-buku dan bahan ilmiah tentang Syiah, Kamus dan banyak mensyarahkan kitab-kitab hadith. Dengan izin Allah, beliau adalah antara satu-satunya ulama di Malaysia yang telah berjaya khatam mensyarahkan Sahih Al-Bukhari. Jaami’ at-Tirmizi, Misykaatul Masaabih, Sahih al- Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud antara kitab-kitab yang diajar oleh Maulana.

Mendapat Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Abal hingga darjah 3. Kemudian Maulana telah berhijrah ke negara India untuk menghafal al-Quran di Darul Ulum Deoband. Selepas itu Maulana pulang ke Kelantan dan belajar di Madrasah Al-Diniah al-Bakriah atau Pondok Pasir Tumboh. Mualana kemudian pergi sekali lagi ke India untuk menuntut di Nadwatul Ulama, Lakhnau sebelum ke Pakistan untuk belajar di Daurah Hadith di Jamiah al-Ulum al-Islamiah, Karachi.

Dr. Zaharuddin A. Rahman

Berkelulusan B.A (Hons), Universiti Malaya, Ijazah Sarjana (M.A) Syariah, Universiti Al-Yarmouk, Jordan. Memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Kewangan Islam, Universiti Wales, UK. Pemegang Ijazah Ilmiah dari Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi.

Bertugas sebagai Pengarah Urusan Elzar Group dan juga Adjunct Professor di Fakulti Perakaunan & Perniagaan, UNISEL. Ahli Lembaga Pengarah UNISZA dan YAPIEM. Juga berperanan sebagai Ahli Majlis Perundingan Islam Kerajaan Pulau Pinang, Ahli Fatwa Negeri Perlis, ahli Jawatankusa Khas Kewangan Islam Malaysia & penasihat Shariah KWSP. Pengerusi Majlis Shariah EXIM Bank & PUNB. Bidang pengkhususan beliau adalah Fiqh Muamalat, Usul Fiqh, Qawaid Fiqhiyyah, kewangan dan perbankan Islam serta bidang pengurusan perniagaan secara teori dan praktis.

Dr. Kamilin Jamilin

Dr. Ahmad Kamil bin Jamilin atau lebih dikenali sebagai Dr. Kamilin Jamilin merupakan penasihat akademik di Akademi Al Khayr, sebuah pusat yang berdedikasi dalam penghafalan Al-Quran dan pembelajaran asas Islam yang telah ditubuhkan pada tahun 2019. Beliau sebelum ini merupakan bekas pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Minat beliau dalam bidang hadis mula bercambah apabila beliau melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dalam bidang tersebut di Universiti Islam Madinah (UIM) dan berjaya memperolehi keputusan kelas pertama pada tahun 2008. 

Di atas minat yang tinggi, beliau menyambung pengajian dalam bidang yang sama di peringkat sarjana di Universiti Imam Al-Sa’ud, Riyadh dan berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang pada tahun 2013. Beliau Berjaya menyiapkan PhD beliau dalam bidang hadis di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau aktif dalam berkongsi ilmu sama ada melalui kuliah-kuliah, daurah, tulisan di FB mahupun dalam bentuk diskusi online di telegram. Beliau banyak memfokuskan kepada seni dalam berinteraksi dengan hadis.