Telah tersebar satu potongan video, seorang penceramah yang dikenali dengan nama (ditulis di video tersebut) Wadi Anuar. Beliau telah menyatakan bahawa sebuah negeri telah mengeluarkan peraturan sujud dalam solat iaitu dengan mendahulukan tangan sebelum lutut ketika hendak sujud. Dalam video beliau itu, ditulis pula nama Perlis sebagai ulasan.
Maka Jabatan ini ingin menegaskan bahawa tiada peraturan yang seperti itu dikeluarkan di negeri ini. Kenyataan itu jika ditujukan kepada Negeri Perlis jelas satu tuduhan jahat yang tidak berasas. Jika ada pendapat mana-mana penceramah di Perlis, itu bukan peraturan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri ini. Penceramah awam tidak mewakili pihak berkuasa agama. Kita percaya, kenyataan itu bertujuan menimbulkan permusuhan sesama Muslim tanpa alasan yang sah. Jika diandaikan hal itu memang wujud, maka tidak sepatutnya juga dijadikan isu permusuhan sesama Muslim dalam perkara khilaf feqah yang seperti itu.
Justeru, umat Islam perlu berhati-hati dengan sesetengah penceramah yang bersifat suka memfitnah, membuat cerita bohong untuk menimbulkan kebencian dan salah sangka di kalangan sesama Muslim. Lebih dukacita, jika hal itu sanggup dilakukan di bulan Ramadan yang mulia ini. Golongan ini termasuk dalam al-nammam iaitu pembawa api permusuhan dan kebencian sesama Muslim.
Akhimya, Jabatan ini menyeru semua Umat Islam agar berukhuwwah dan mengelakkan diri daripada golongan al-nammam.
Sumber: https://muftiperlis.gov.my/