Loading

Semalam seorang sahabat saya menghantarkan printscreen ini. Katanya tulisan ini sudah viral. Ingin saya jelaskan beberapa perkara berkaitan mimpi:

1. Mimpi bertemu Nabi Sallallah alaih wasallam merupakan kurnia besar bagi seseorang. Ibn Hajar menjelaskan:

ومن فوائد رؤيته صلى الله عليه وسلم تسكين شوق الرائي لكونه صادقاً في محبته ليعمل على مشاهدته

Maksudnya: “Di antara faedah bermimpi baginda sallallah alaih wasallam ialah menenangkan rindu orang yang bermimpi kerana dia benar dalam kecintaannya kepada baginda supaya dia beramal untuk bertemu baginda”. (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

2. Namun perlu diingatkan bahawa mimpi bertemu Nabi Sallallah alaih wasallam tidak boleh mengubah hukum syarak atau menambah hukum baru setelah syariat ini lengkap. Al-Awza’ie menjelaskan:

ولا أنه تبطل بسببه سنة ثبتت ولا تثبت به سنة لم تثبت وهذا
بإجماع العلماء

Maksudnya: Ia (mimpi) tidak boleh membatalkan dengan sebabnya sunnah yang yang telah sabit dan ia juga tidak boleh menetapkan sesuatu (yang bukan sunnah sebagai) sunnah dengan ijmak ulama. (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim)

3. Dalam kajian saintifik, vaksin telah terbukti berkesan untuk menghalang komplikasi teruk akibat jangkitan Covid-19. Maka mengambil vaksin merupakan perkara yang selari dengan suruhan agama untuk menyelamatkan nyawa. Cuma saintis sedang mengkaji tentang keberkesanan vaksin untuk varian yang baru muncul.

4. Tidak dinafikan bahawa syaitan tidak boleh menyerupai Nabi Sallallah alaih wasallam. Namun mengikut pendapat yang tepat ialah seseorang dikira melihat Nabi Sallallah alaih wasallam dalam mimpi apabila dia melihat baginda dengan sifatnya seperti yang disebutkan dalam hadis.

Jika tidak, dia tidak dikira telah bertemu baginda. Inilah yang ditegaskan oleh Ibn Sirin.

عن حماد بن زيد قال: كان محمد ـ يعنى ابن سيرين ـ إذا قصَّ عليه رجل أنه رأى النبى صلى الله عليه وسلم قال: صِف الذى رأيتَه، فإن وصف له صفة لا يعرفها قال: لم تره

Maksudnya: Hammad bin Zaid berkata: Muhammad yakni Ibn Sirin apabila seorang lelaki bercerita yang dia melihat Nabi sallallah alaih wasallam dalam mimpi beliau berkata: “Sifatkan kepadaku orang yang engkau lihat dalam mimpi”, jika dia menyatakan sifat yang beliau tidak ketahui beliau akan berkata: “Kamu tidak bermimpikan Nabi”. (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

Ibn Abbas juga menegaskan hakikat ini:

عن عاصم بن كليب: حدثنى أبى قال: قلتُ لابن عباس: رأيتُ النبى صلى الله عليه وسلم فى المنام، قال: صِفْه لى، قال: فذكرت الحسن بن على فشبهته به، قال: قد رأيتَه

Maksudnya: Daripada Asim bin Kulaib, dia berkata: Bapa saya menceritakan kepada saya dengan berkata: Saya berkata kepada Ibn Abbas: Saya melihat Nabi Sallallah alaih wasallam dalam mimpi, beliau berkata: Sifatkannya kepadaku. Saya menyebutkan al-Hasan bin Ali dan menyamakannya dengan baginda. Beliau berkata: Engkau telah melihatnya (dalam mimpi). (Al-Hakim, al-Mustadrak)

Justeru, persoalan yang harus ditanya bagaimana dengan hanya melihat cahaya sudah dianggap telah bermimpi jumpa Nabi Sallallah alaih wasallam? Ini satu persoalan yang perlu ditanya.

3. Berkenaan dakwaan kanak-kanak tidak menipu pula mungkin ada benarnya. Tetapi penceritaan dan nukilan berita bukan sahaja dirosakkan oleh pembohongan tetapi ia juga juga dirosakkan oleh kesilapan dan ketidakcermatan. Kanak-kanak terdedah kepada kesilapan dan sifat tidak cermat. Maka perlu diteliti penceritaannya.

Oleh itu, ulama hadis tidak menerima riwayat kanak-kanak belum baligh ketika mereka menyampaikan hadis. Mereka perlu baligh untuk menjadikan riwayat mereka kukuh walaupun mungkin kisah itu mereka terima ketika mereka belum baligh.

Al-Sulaimani menjelaskan ketika menghuraikan syarat baligh:

وهذا أيضا إنما يُشْترط في حالة الأداء؛ لأن الصغير قد يتحمل قبل البلوغ، إلا أنه لا يُقْبل منه إلا إذا بلغ؛ لأن البالغ الذي أصبح مكلفا، ويعرف الحساب والجزاء، ونحو ذلك؛ يكون عنده خوف من أن يجازف في القول على رسول الله- صلى الله عليه وعلى آله وسلم – بخلاف الصغير : فإنه لا يُؤْمَن عليه أن يقول على النبي – صلى الله عليه وعلى آله وسلم – ما لم يقل؛ لأنه ليس عنده الإدراك الواسع، أو العقل الكامل، الذي يجعله يخاف ويرتدع

Baligh ini juga disyaratkan ketika ingin menyampaikan/meriwayatkan kerana boleh jadi anak kecil menerima riwayat sebelum baligh tetapi riwayatnya tidak diterima melainkan setelah dia baligh. Ini kerana orang baligh yang menjadi mukallaf serta mengetahui hisab, balasan dan seumpamanya akan ada padanya ketakukan daripada melampau dalam berkata-kata terhadap Rasulullah sallallah alaih wa aalih wasallam. Berbeza dengan anak kecil, (kita) tidak rasa selamat daripadanya untuk dia berkata sesuatu pada Nabi sallallah alaih wa aalih wasallam sedangkan baginda tidak menyebutnya kerana padanya tidak ada pemahaman luas dan akal sempurna yang menjadikannya takut dan berhenti. (Al-Jawahir al-Sulaimaniyyah)

Maka tidak salah untuk kita berhati-hati terhadap penceritaan kanak-kanak.

4. Saya tertanya-tanya juga adakah anak-anak faham tentang isu vaksin? Ia isu berat yang kadangkala bapa budak pun sukar faham. Bagaimana mungkin kita mahu menjadikan kata-kata anak-anak kecil dalam bab ini sebagai hujah untuk menolak vaksin? Jika benar anak ini faham tentang vaksin, vaksin mana yang dimaksudkan? Vaksin Covid-19 semata-mata atau semua vaksin? Apa alasan untuk menolak vaksin sedangkan ia terbukti mengurangkan jangkitan penyakit berjangkit?

Persoalan demi persoalan timbul daripada penceritaan ini.

Nasihat saya, berhentilah menyusahkan frontliner. Kita usaha turunkan kadar jangkitan dengan mengambil vaksin. Ia selamat in sya Allah. Kita berusaha dan Allah menentukan segalanya.

Sumber: https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/4811683338859128