Loading

1. Bekas Mufti Mesir iaitu Syaikh Ali Jumuah menukilkan pandangan tentang harus sapu di atas stoking ketika berwuduk waktu nak basuh kaki, walaupun hakikatnya (جورب) iaitu stoking itu bukanlah khuf (الخف). Stoking dan khuf merupakan dua perkara berbeza.

Kemudian ada pemuda bertanya kepada Ali Jumuah tentang stoking hari ini (yang nipis dan tidak tebal) tidak sama dengan stoking zaman dahulu yang tebal. Ulama fiqh syaratkan stoking tebal maksud pertanyaan pemuda itu.

2. Syaikh Ali Jumuah lantas menyuruh pemuda itu berikan dalil yang mengatakan disyaratkan stoking itu perlu tebal hingga air tidak menembusi stoking itu. Bukan sekadar nukilan dari kitab fiqh sahaja bahkan Syaikh Ali Jumuah minta dalil di mana wajib disyaratkan stoking itu perlu tebal sampai air tak masuk? Pemuda itu tidak menjawabnya.

3. Saya katakan jika ada orang yang bermusafir ke negara barat terutama negara sejuk dan kemudian sapu atas stoking saya bersolat sahaja di belakangnya kerana ini isu khilaf muktabar.

4. Dalam Dar al-Ifta al-Misriyyah di Mesir, setelah menerangkan hujah dan pandangan jumhur ulamak seperti yang maklum diketahui, disertakan pula pandangan segelintir ulamak yang membenarkan seperti berikut:

ولكن بعض العلماء، منهم جزء من الحنابلة، كالقاسمي وأحمد شاكر من المتأخرين، أخذوا بظاهر النص، وأجازوا المسح على الجورب مطلقا: رقيقا وسميكا، ساترا ومخرقا

“Sebahagian ulamak seperti sebilangan fuqaha Hanabilah seperti al-Qasimi dan beberapa ulamak mutaakhirin (terkemudian) seperti Ahmad Syakir mereka mengambil daripada zahir nas. Mereka mengharuskan menyapu di atas stoking secara mutlak: sama ada stoking itu nipis atau tebal, stoking itu tertutup bahagian kaki atau koyak”.

5. Berdasarkan hal ini dapat difahami bahawa pandangan segelintir ulamak yang membenarkan sapuan di atas stoking dengan jenis yang dipakai pada zaman ini, bukan terkeluar daripada Ahli Sunnah Waljamaah. Cuma ia berbeza dengan jumhur ulamak namun pandangan yang membenarkan ini masih terdapat hujah dan dalil.

6. Sebelum ini saya tidak bersetuju banyak perkara dengan Syaikh Ali Jumuah terutama isu riba bank konvesional, istighathah dan beberapa pendirian politik beliau. Saya tegas tidak setuju akan hal itu.

Namun dalam isu stoking ini:

المسح على الجوربين

Saya nukilkan pandangan Ali Jumuah dalam isu ini sebab nak minta sahabat “aswaja versi Malaysia” kita terbuka dan celik mata tentang keluasan fiqh. Semalam ada ramai yang label pandangan ini sesat dan menyeleweng apabila dinukilkan ini pandangan dalam mazhab Hanbali.

Sebab itu pentingnya mengetahui pandangan mazhab lain agar kita tidak melabel “wahhabi” dan sesat kepada pandangan yang kita jarang dengar. Kita nak label wahhabi, namun malangnya labelan itu terkena kepada beberapa ulama mazhab Hanbali dan terkena juga kepada ahli ilmu lain seperti Syaikh Ali Jumuah dan Syaikh Ahmad Syakir.

7. Saya nukilkan nasihat Dar al-Ifta Mesir dalam isu ini:

ومن الفقهاء من ذهب إلى جواز المسح على الجورب مطلقًا حتى لو كان خفيفًا؛ ومن القواعد المقررة أنه “لا إنكار في مختلفٍ فيه”، فمن كان في حاجةٍ ولا يجد إلا أن يمسح على الجورب (الشَّرَاب) الخفيف فلا حرج عليه ناويًا تقليد من أجاز من الفقهاء…

“Di antara fuqaha ada pihak yang berpandangan dibenarkan menyapu di atas stoking secara mutlak walaupun ia nipis. Di antara kaedah yang ditetapkan ialah “tidak boleh mengingkari perkara khilaf”. Oleh itu, sesiapa yang berkeperluan dan tidak ada pilihan melainkan menyapu di atas stoking nipis maka tidak salah untuknya dalam keadaan (dia) berniat untuk bertaqlid kepada fuqaha yang membenarkannya…”.

Dr Rozaimi Ramle

P.S: saya tahu bahawa ulama hadith sebahagiannya mendaifkan lafaz sapuan atas jawrab (stoking) walaupun al-Tirmizi mengatakan hasan sahih. Namun mazhab Hanbali berhujah dengannya beserta riwayat lain daripada amalan sahabat.

Sumber: https://www.facebook.com/watch/?v=578947834409730