Loading

PETALING JAYA: Pengislaman tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong sah bawah undang-undang negeri Perlis dan ia tidak boleh dipertikaikan, kata Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

Asri berkata, bawah Enakmen Islam Perlis, sama ada bapa, ibu atau penjaga boleh mengislamkan anak di bawah umur.

“Geng DAP dan juga pelampau LTTE ini, mereka ini semua kata bahawa kita telah menyanggahi undang-undang, sebab masuk Islam tanpa persetujuan ibu, kerana nak masuk kena persetujuan ibu dan ayah.

“Saya ingin memberitahu bahawa pada tahun 2016 Dewan Undangan Negeri Perlis telah menggubal pentafsiran perkataan menganut Islam daripada ibu dan bapa kepada ibu atau bapa.

“Jadi dari segi undang-undang negeri Perlis tidak bertentangan,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.

Mengulas lanjut, Asri berkata, Perlis masih mengguna pakai undang-undang itu, yang bermaksud dalam kes Loh, ia bukan satu kesalahan untuk bapa mengislamkan anak-anaknya.

Beliau berkata, apabila Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 2003, baginda memainkan peranan penting dalam mengeluarkan teks Melayu yang sahih dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam teks sahih itu mengatakan ibu atau bapa, itu di peringkat persekutuan.

“Ini bukan soal tafsiran. Tolong jangan kata kami melanggar undang-undang.”

Katanya, undang-undang Perlis dalam bahasa Melayu dan ia menyatakan sama ada bapa atau ibu atau penjaga boleh menukar agama anak mereka.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/02/17/pengislaman-anak-loh-sah-di-sisi-undang-undang-perlis-kata-mufti/