Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Baru-baru ini buku akidah ahli al-Sunnah wa al-jamaah berdasarkan manhaj Asya’irah telah tidak dibenarkan diedarkan, dijual, diterbitkan dan dicetak semula di dalam negeri Johor oleh jawatankuasa fatwa negeri Johor dan surat berkaitan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam negeri Johor kerana dikatakan bercanggah dengan akidah ahli al-Sunnah wa al-jamaah pegangan negeri Johor. Dengan kewujudan surat tersebut bererti buku itu tidak boleh digunakan untuk pengajaran di mana-mana masjid dan surau di negeri Johor dan satu kesalahan jika ada mana-mana individu yang berbuat demikian. Dalam hal ini saya tidak ingin membantah apa-apa terhadap surat tersebut kerana itu adalah bidang kuasa jabatan agama negeri Johor dan jawatankuasa fatwanya yang bertangggungjawab menjaga akidah umat Islam di negeri tersebut.
Cuma apa yang saya ingin katakan di sini ialah sedikit keterangan tentang buku tersebut. Buku tersebut berasal daripada buku berjudul Tabsit al-Aqa’id al-Islamiyyah hasil karya Syeikh Hasan Ayyub daripada Mesir, seorang ulama ahli al-Sunnah wa al-Jamaah bermanhaj Aya’irah yang agak terbuka. Beliau bukan sahaja berkhidmat di Mesir bahkan juga di beberapa buah negara Arab yang lain termasuk di negara-negara teluk.
Dalam buku tersebut pengarang telah membentang akidah Asya’irah berkaitan dengan sifat-sifat Allah sebanyak 13 sifat sahaja dengan sokongan dalil daripada al-Quran, al-Sunnah, dalil akli dan juga pandangan beberapa orang tokoh barat tentang kewujudan Allah SWT itu sendiri. Pengarang juga membahagikan perbahasan kepada tiga bahagian iaitu Ilahiyat (ketuhanan ), Nubuwwat (kenabian) dan Sam’iyaat (perkara sam’iyat). Saya mengambil Inisiatif mentahzibnya dengan menambah pandangan daripada Syeikh al-Duri, seorang tokoh ulama bermazhab al-Asya’irah dari Baghdad berkaitan dengan sifat kalam yang membahagikannya kepada kalam nafsi dan kalam lafzi. Kalam nafsi dan kalam lafzi ini merupakan perbincangan biasa dalam kalangan ahli al-sunnah wa al-Jamaah bermanhaj Asya’irah. Selain itu saya juga memasukkan pandangan Syeikh Nuh daripada golongan Asya’irah Jordan yang mensyarahkan Jawharah Tauhid dan Datok Seri Dr Muhammad Zulkifli al-Bakri tentang tujuh sifat ahwal yang baki yang menjadikannya sebanyak 20 sifat. Seterusnya pengarang juga telah menghuraikan berkaitan rukun iman yang lain sehingga akhir. Selain itu pengarang juga menggunakan pendekatan perbandingan dalam permasalahan ayat dan hadis sifat antara penerimaan secara zahir tanpa takwil yang dilakukan oleh salaf dan takwilan yang dilakukan oleh khalaf dan mengambil jalan tengah antara keduanya dengan tidak menolak sama sekali manhaj salaf tentang ayat-ayat dan hadis sifat tersebut.
Sebagai perbandingan, pengarang juga mengemukakan pandangan imam Ibn Qayyim berkaitan dengan pembahagian tauhid yang berlainan dengan yang diterima pakai dalam kalangan ahli al- Sunnah wa al-jamaah bermanhaj Asya’irah. Sebagai perbandingan juga pengarang mengemukakan perbahasan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan tauhid dan ibadah dan hubungannya dengan akidah yang banyak dibahaskan dalam buku-buku ahli al-sunnah wa al-Jamaah bermanhaj salaf. Pengarang juga menyebut tentang kemunculan ilmu kalam atau ilmu tauhid dan golongan- golongan yang berkaitan. Itulah sifat keterbukaan pengarangnya. Selain itu beliau juga membentangkan perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah ahli al-Sunnah wa al-Jamaah yang perlu dijauhi oleh umat Islam termasuk melakukan istighathah dengan kubur wali dan orang- orang soleh dan menganggap perkara tersebut boleh menyumbang kepada syirik.
Walau bagaimanapun dalam page “Kami tidak mahu fahaman wahabi” menyatakan buku ini menggunakan nama ahli al-Sunnah wa al-Jamaah bermanhaj Asya’irah sebagai kosmetik sahaja dan isinya membawa ajaran wahabi katanya dan kemungkinan faktor ini juga sebab buku ini tidak dibenarkan diajar dan digunakan oleh umat Islam negeri Johor.
Saya suka menyatakan buku ini adalah teks pembelajaran akidah bagi pelajar Usuludin Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) beberapa tahun yang lepas. Saya pernah diamanahkan untuk mengajar subjek ini kepada pelajar berkenaan. Apabila melihat teksnya di dalam bahasa Arab, dan sukar difahami oleh sesetengah pelajar, maka saya mengambil inisiatif mentahzibnya untuk memudahkan kefahaman tentang isi kandungannya dalam kalangan pelajar terlibat. Buku yang asal untuk para pelajar Usuludin Unisza ini walau bagaimanapun setelah dicetak, telah mendapat sambutan yang hangat daripada para asatizah dan masyarakat awam di Malaysia termasuk umat Islam dan asatizah di negeri Johor sehingga ia dicetak dua kali iaitu oleh Dar Syakir dan kedua oleh al-Hidayah Publisher di Batu caves, Selangor. Teks pengajian akidah di Unisza kemudian ditukar kepada buku Kubra Yaqiniyat oleh Syeikh Said Ramadan al-Buti yang masih mengekalkan tiga aspek perbahasan berkaitan ilahiyat, nubuwwat dan juga sam’iyyat. Sudah menjadi kebiasaan kepada mana-mana teks pengajian di universiti, dilakukan dalam bentuk perbandingan bagi mewujudkan suasana penyelidikan dan perbahasan ilmiah dalam kalangan para pelajar supaya pembelajarannya tidak kaku kepada satu aspek sahaja. Pelajar juga didedahkan dengan sikap terbuka dan tidak taasub kepada sesuatu aliran sehingga sanggup mencaci aliran yang lain, asalkan sesama manhaj ahli al-sunnah wa al-jamaah. Hal ini bukan sahaja berlaku di UNISZA bahkan juga di universiti-universiti lain yang menawarkan kos pengajian Islam termasuk di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak. Jika dengan hanya mempelajari teks akidah di universiti-universiti yang dinyatakan di atas yang jelas melibatkan bentuk perbandingan, sebagai berunsurkan wahabi dan merupakan ajaran wahabi maka bermakna kesemua pelajar Malaysia yang belajar dan mempelajari akidah dalam bentuk sebegitu rupa baik dahulu mahupun sekarang boleh dikaitkan sebagai berfahaman Wahabi termasuk mufti-mufti yang ada di Malaysia hari ini.
Pun begitu fahaman wahabi menurut JAKIM, tetap termasuk ke dalam golongan ahli al-sunnah wa al-jamaah dan tidak sesat. Ia tidak dibenarkan disebarkan di Malaysia dilihat dalam konteks pertembungannya dengan golongan ahli ahli al-sunnah wa al-jamaah bermanhaj Asya’irah yang diamalkan oleh majoriti umat Islam di negara ini dan mengelakkan menimbulkan keresahan masyarakat dalam pertembungan dengan manhaj arus perdana tersebut.
Fahaman Wahabi sebagai termasuk ke dalam golongan ahli al-Sunnah wa al-jamaah dan tidak sesat turut diakui oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang, dalam buku mukhtasar firqah umat Islam dan Dr Asyraf Wajdi sewaktu menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri satu ketika dahulu. Ia juga bukan punca keganasan. Sebaliknya keganasan berpunca daripada salah faham terhadap fahaman salaf yang dibawa oleh golongan wahabi tersebut dan juga berpunca daripada salah faham terhadap fahaman ahli al-Sunnah wa al-Jamaah bermanhaj Asya’irah itu sendiri. Apalagi sekarang pelabelan Wahabi terhadap para asatizah yang tidaks sealiran begitu mudah dilakukan. Sebagai contoh Prof Emeritus Datok Dr Mamud Zuhdi yang telah banyak berjasa dalam sistem pengajian Islam di universiti-universiti tempatan terutama sekali di Universiti Malaya turut dituduh berfahaman Wahabi dan dikatakan sebagai penulis upahan yang menulis tentang Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
Dalam info ajaran sesat negeri Johor oleh Jabatan Agama Islam Johor , diletakkan di situ salah satu ajaran sesat tersebut ialah fahaman Wahabi. Jika ulama dan imam-imam Masjid Madinah dan Masjidil Haram dikaitkan dengan fahaman wahabi dan fahaman wahabi adalah orang-orang yang sesat mengikut info negeri Johor ini, bagaimana pihak berkuasa agama negeri Johor boleh membenarkan syarikat umrah dan beroperasi di negeri Johor? Bukankah mereka ini membawa para jemaah haji dan umrah ke Mekah dan Madinah dan berimamkan orang yang mereka anggap sebagai berfahaman sesat? Jika imam salah dalam membaca al-Fatihah sewaktu solat pun masyarakat kita riuh rendah kerananya, betapa pula makmum yang berimamkan orang yang mengikut ajaran sesat. Lagilah mereka riuh rendah. Sebenarnya fahaman salaf adalah berbeza dengan fahaman wahabi. Namun wahabi salah satu golongan yang memperjuangkan aliran salaf itu sendiri.
Ini juga bermakna jika pihak jabatan agama Islam Johor tidak membenarkan pengajaran akidah selain daripada yang dikehendaki oleh pihak berkuasa agama negeri Johor sahaja, bererti mereka juga perlu mengkaji teks pengajian dan pembelajaran akidah yang berbentuk perbandingan yang ada di semua universiti yang ada di Malaysia, Universiti al-Azhar dan Jordan supaya anak-anak Johor yang dihantar belajar ke universiti-universiti tersebut tidak terikut-ikut dan tidak terpengaruh dengan pendekatan seumpama itu.
Hal tersebut kerana setiap pelajar akan menyampaikan apa yang pernah mereka belajar satu ketika dahulu di universiti baik secara langsung atau secara tidak langsung sewaktu berkuliah di masjid mahupun surau. Ini juga memerlukan pihak berkuasa agama negeri Johor mewujudkan sesebuah universiti khusus yang mengajar akidah, ibadah dan tasawuf seperti mana yang dikehendaki di negeri Johor, yang berbeza dengan negeri lain, jika benar-benar ingin memastikan hanya akidah yang dikehendaki oleh pihak berkuasa agama negeri Johor sahaja di ajar di masjid-masjid dan surau-surau negeri tersebut.
Untuk makluman Sahibus Samah Datuk Mufti negeri Johor sekarang adalah sahabat baik saya. Kami sekuliah di KUSZA dan juga di Universiti al-Azhar satu ketika dahulu. Di KUSZA dahulu saya, Datuk Mufti dan lain-lain sahabat juga belajar akidah tahawiyah sebagai kajian akidah di Unisza, namun kami tidak pernah menyatakan Datuk Mufti mempelajari akidah yang bertentangan akidah yang diajar di negeri Johor. Di universiti al-Azhar pula kami belajar akidah Asya’irah dengan teks al-Iqtisad Fi al-I’tiqad oleh imam al-Ghazali yang juga tidak diajar oleh pihak berkuasa agama negeri Johor.
Yang peliknya buku Akidah ahli al-sunnah wa al-jamaah bermanhaj Asya’irah yang saya tahzib tidak pernah dicetak di negeri Johor tetapi disekat sebaliknya buku Akidah Dalam Kehidupan Muslim yang dihasilkan oleh al-Fadil Ustaz Ramli Awang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, yang terletak di Senai Johor dan dicetak oleh penerbit universiti tersebut, yang jelas terletak dalam negeri Johor tidak pula disekat, sedangkan ia jelas mengandungi tauhid rububiyah, uluhiyah dan asma’ dan sifat, dan mirip kepada fahaman salaf yang memang bertentangan Akidah al-sunnah wa al-jamaah bermanhaj Asya’irah di negeri Johor.
Bagi saya pihak berkuasa agama negeri Johor boleh saja mengekalkan pengajaran berkaitan fahaman ahli al-Sunnah wa al-jamaah bermanhaj Asya’irah kerana itu yang termaktub di negeri tersebut dan itu sesuatu yang sangat baik namun sikap terbuka perlu juga dilakukan dalam suasana dunia tanpa sempadan sekarang. Hal tersebut kerana masyarakat moden sekarang boleh mengakses berbagai- bagai maklumat dan fatwa daripada pelbagai jawatankuasa negeri yang ada di Malaysia dan tidak terikat dengan fatwa negeri Johor sahaja, meskipun mereka adalah warga negeri Johor. Apalagi trend masyarakat sekarang semakin disekat, semakin mereka hendak tahu apa yang menyebabkan sesuatu buku itu disekat, kalau buku itu hanya berbeza dari segi pendekatan penyampaian dan bukan benar- benar bercanggah dengan akidah Islam. Masyarakat Islam di Malaysia sekarang adalah masyarakat celik huruf, celik komputer, celik internet, celik hd set dan celik wassup melebihi 80%.
Walau bagaimanapun saya tetap ingin menyampaikan jutaan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa agama negeri Johor kerana menyekat buku tersebut, kerana dengan sebab sekatan tersebut ia menjadi semakin laris dan ada pula pihak yang menyeru supaya dibeli buku tersebut untuk bacaan dan kajian.
Akhukum Fi al-Islam
Al-Haqir wa al-faqir Ila Allah
Basri bin Ibrahim
Pusat Pengajian Syariah,
Fakulti Pengajian Kontemporari islam
Universiti Sultan Zainal Abidin
21300 Kampung Gong Badak
Kuala Nerus, Terengganu
17 September 2021
10 Safar 1443H