Tersebar pula satu rakaman video ustaz yang sudah banyak kali menyebarkan pemahaman yang salah terhadap hadis dan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Kali ini dia membawakan sebuah hadis lalu menyatakan Nabi melarang daripada berubat seterusnya membawa kepada pemahaman anti kepada vaksin.

Kita tiada masalah untuk seseorang memilih tidak divaksin tetapi menggunakan dalil dalil agama secara salah dan jauh dari hujahan ilmu yang benar adalah suatu jenayah terhadap ilmu.

Ustaz tersebut pun membawakan hadis dari Aisyah رضي الله عنها dan mengatakan kenapa ulamak ulamak kita tidak membacakan hadis ini.

Jawapan saya, para ulamak tidak membawakan hadis ini kerana mereka tahu di mana nak digunakan dan bagaimana nak menggunakan hadis ini. Bukan sepertinya yang semberono membabi buta mengutip dalil tanpa tahu menggunakannya dengan betul.

Hadis yang dinyatakan diriwayatkan dalam al Bukhari, Muslim dan selainnya dari Aisyah :

عن عائشة قالت: لدَدْنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في مرضه، فأشار: أن لا تَلُدوني! فقلنا: كراهية المريض للدواء، فلما أفاق قال: ((لا يبقى أحدٌّ إلا لُدَّ غيرُ العباس؛ فإنه لم يَشهَدكم)).

‘Ladadna’ لددنا kami mengubati Rasulullah صلى الله عليه وسلم (dengan cara ini)ketika baginda sakit (sakit yang membawa kewafatan baginda) lalu nabi mengisyaratkan ‘jangan beri ubat tersebut’ lalu mereka memahami dari isyarat nabi itu kerana tidak mahu ubat tersebut. Ketika nabi tersedar nabi menyatakan ‘semua kena rasa ubat tersebut melainkan Abbas kerana dia tidak ada ketika itu. (Sebagai balasan kerana masih memberikan ubat tersebut setelah nabi mengisyaratkan tidak mahu)

‘Al ladud’ ni suatu yang diletakkan di dalam mulut seseorang sebagai ubat, dimasukkan jari ke dalam mulut kemudian يحنك به seperti perbuatan mentahnik dengan menyapunya di sekeliling tepi mulut seseorang. Juga disebut ladid.

Lafaz hadis

فأشار أن لا تلدوني!

Huruf ‘أن’ adalah menafsirkan isyarat nabi tidak mahu di ‘lud’ nabi mengisyaratkan tidak mahu, tanpa perkataan kerana keadaan sakit dan lemah baginda صلى الله عليه وسلم.

Isyarat Nabi صلى الله عليه وسلم tidak mahu ubat tersebut difahami oleh ahli keluarga nabi yang berada di sekeliling nabi pada ketika itu ‘orang yang sakit biasanya memang tidak suka untuk makan ubat’ menyebabkan mereka tetap melakukannya terhadap Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Lalu apabila nabi tersedar semula nabi denda mereka semua untuk rasa ubat tersebut kecuali Abbas kerana pada ketika itu Abbas tiada di situ.

Pemahaman Hadis

Hadis ini tidak difahami para ulamak larangan berubat ketika sakit kerana banyak lagi hadis hadis yang lain nabi menganjurkan untuk berubat. Perubatan Ladud ini menggunakan sejenis pohon yang mana dalam keadaan yang lain nabi menyuruh berubat dengan pohon tersebut.

Perkataan jangan disini tidak bermakna tegahan menggunakan ubat sebaliknya pilihan nabi tidak mahu para sahabat menggunakannya terhadap diri baginda dan sakit tersebut yang membawa kepada kewafatannya, bukan disebabkan sakit yang memerlukan ubat dimana ubat tersebut biasakan digunakan bagi sakit yang lain.

Sangat jauh pemahaman hadis ini dengan konsep vaksin pada masa kini. Disebabkan itu para ulamak tidak membahaskan hadis ini seperti yang difahami ustaz tersebut.

Juga perlunya memahami ilmu Usul al feqh dalam memahami nas nas agama.

Semoga Allah memberikan kepada kita ilmu dan jauh dari menggunakan dalil dalil agama untuk kepentingan pemahaman kita yang terpesong.

Tulisan Ustaz Mohd Khairil Anwar, kini bertugas sebagai Muslim Chaplain @ Kaunselor di Institut Jantung Negara.

Sumber: https://www.facebook.com/UstazMKA/posts/2955440504785076