Loading

KANGAR – Seperti perayaan Aidilfitri sebelum ini, Perlis membenarkan solat sunat Aidiladha pada 20 Julai ini dilaksanakan di tanah lapang.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ia selaras dengan sunah selain dapat mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19 dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup.

“Solat akan dilaksana pada jam 8 pagi di tanah lapang pekarangan masjid dan bilangan jemaah yang dibenarkan bergantung kepada kapasiti luas kawasan tersebut,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Ahad.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, bagi penyertaan yang optimum, solat boleh dilakukan secara dua sesi iaitu pada 8 pagi bagi sesi pertama dan jam 9 pagi bagi sesi kedua.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan seperti hujan lebat, solat boleh dilakukan di dalam masjid mengikut saiz masjid.

“Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan,” titah baginda.

Sementara itu, baginda bertitah, SOP penjarakan fizikal bagi solat fardu dikurangkan kepada 1.5 meter dan aktiviti pengajian serta kuliah agama dibenarkan bermula 13 Julai ini. – Bernama


Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/149349/EDISI/Perlis-benarkan-solat-Aidiladha-di-tanah-lapang