Loading

1. Memang benar dalam hadis, Rasulullah ﷺ ada menyebut beberapa kematian yang digolongkan sebagai mati syahid, antaranya, mati disebabkan sakit perut, mati lemas, mati terbakar, mati ketika melahirkan anak, mati kerana runtuhan, mati kerana ta’un dan lain-lain.

Sebahagian ulama Hanabilah memasukkan lebih 20 jenis kematian [rujuk: Kasysyaf al-Qina’ dan al-Mughni].

2. Para ulama menyebut syahid itu ada tiga jenis:

a) Syahid dunia & akhirat (hukum-hakam khas di dunia dan ganjaran khas di akhirat). Syahid jenis ini hanya bagi mereka yang terkorban dalam medan peperangan fisabilillah. Sebahagian ulama Hanafiyyah menggolongkan juga mereka yang dibunuh secara zalim [rujuk al-Qamus al-Fiqhi].

b) Syahid dunia (hukum-hakam khas di dunia sebagai syahid namun tiada ganjaran di akhirat), yakni mereka yang terbunuh ketika melarikan diri dalam peperangan, berperang kerana riyak dan apa-apa yang boleh merosakkan pahala jihad.

c) Syahid akhirat (dapat pahala syahid di akhirat), yakni kematian yang disebut sebagai syahid oleh Rasulullah ﷺ selain dari peperangan fisabilillah, seperti mati terbakar dan sebagainya.

3. Para fuqaha’ mazhab yang empat bersepakat bahawa syahid dalam medan peperangan fisabilillah tidak dimandikan, berdasarkan hadis-hadis yang menyebut bahawa Rasulullah ﷺ mengebumikan para syuhada tanpa memandikan jenazah mereka, seperti di dalam hadis Jabir RA, hadis Abi Barzah RA dan lain-lain.

4. Manakala syahid akhirat seperti mati yang disebabkan kebakaran, lemas dan sebagainya, para fuqaha’ daripada mazhab yang empat menyatakan bahawa jenazah mereka dimandikan seperti jenazah biasa, berdasarkan antaranya hadis Samurah bahawa Baginda pernah memandikan jenazah wanita yang meninggal selepas melahirkan anak yang merupakan salah satu dari syahid akhirat.

Bahkan Ibn Qudamah, Imam al-Nawawi dan al-Syawkani menukilkan ijmak tanpa khilaf tentang perkara tersebut [rujuk: al-Mabsut, Badai’ al-Sanai’, al-Mudawwanah, al-Majmu’, Mughni al-Muhtaj, Zad al-Muhtaj, al-Mubdi’, Kasysyaf al-Qina’, Nayl al-Awtar].

Justeru seandainya arwah pesakit Covid-19 dikiaskan dengan syahid akhirat sekalipun, jenazah mereka tetap perlu dimandikan seperti biasa.

5. Cantik insan di dalam video tersebut[1] goreng kata kat Malaysia jenazah pesakit Covid-19 tidak dimandikan kerana mereka dilayan seperti orang yang mati syahid, sedangkan jenazah ditayammumkan mengikut fatwa negeri masing-masing sebagai ganti bagi mandi jenazah. Mereka tidak dimandikan dan sekadar ditayammumkan mengikut SOP tertentu untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan.

Semoga Allah mengurniakan kita semua petunjuk, ilmu dan takwa.

Sumber: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=3142642889297262&id=1743258955902336


[1] Merujuk pada kenyataan Saudara Don Daniyal di sini: https://www.instagram.com/p/CR1gW25oiGy/