Loading

1. Apabila saya mendengar penerangan tentang PrEP yang menimbulkan kontroversi apabila KKM berhasrat memberikannya kepada rakyat negara ini, saya membuat kesimpulan awal bahawa ia sesuatu yang dibolehkan tetapi hendaklah bersyarat. Ini adalah respon awal saya, belum FATWA rasmi Perlis.

2. PrEP secara asasnya merupakan ubat atau bahan yang diberikan untuk mencegah jangkitan HIV. Pada asalnya, mengambil atau memberikan ubat yang tidak memudaratkan adalah dibolehkan melainkan ada alasan tertentu yang mengubah hukum asal.

3. Mereka yang terkena HIV pula terdiri daripada pelbagai pihak. Mereka bukan sahaja pengamal homoseksual yang jelas haram tetapi juga mereka yang mempunyai hubungan yang halal dengan pengamal seks yang salah, atau penagih dadah. Ini khususnya para isteri, atau suami yang isterinya ada jangkitan HIV atau isteri kepada suami yang isterinya yang lain (madu) ada HIV.

4. Jika PrEP itu diberikan kepada pengamal seks songsang bagi membolehkan dia merasa selamat untuk melakukan kesongsangannya, memanglah itu satu galakan kepada aktiviti golongan homoseksual atau para pelacur. Itu boleh membawa kepada haram seperti menjual racun kepada orang yang ingin bunuh diri atau anggur kepada pembikin arak.

5. Namun, jika ia diberikan bagi menjadi langkah perlindungan untuk mereka yang mungkin jadi mangsa seperti isteri yang bimbang tentang keadaan suaminya yang mungkin terlibat dengan sesuatu yang meragukan, atau isteri yang suaminya dalam proses pemulihan dadah maka itu sesuatu yang baik.

6. Apapun, mengambil langkah perlindungan penyakit adalah sesuatu yang harus bukan haram. Adapun jika pemberian bahan berkenaan boleh membawa kepada galakan perkara mungkar sedangkan dalam masa yang sama ia diperlukan oleh pihak yang sewajarnya, maka bahan itu boleh digunakan atau diedarkan dengan bersyarat bagi mencegah berkembangnya perkara mungkar.

7. Syarat-syarat itu bertujuan bagi membendung kemungkaran bukan menghalang perlindungan kepada mereka yang boleh menjadi mangsa penyakit. Menjadi tanggungjawab kerajaan merangka syarat-syarat bagi memastikan tujuan manfaat terlaksana dan kemungkaran tidak dikembangkan.

8. Suatu hal yang penting untuk dituntut ialah, negara ini hendaklah secara jelas dan nyata bersuara menentang seks songsang khususnya homoseksual. Maka, pemberian PrEP dalam suasana penentangan kepada kesongsangan itu, tidaklah menampakkan kita berkompromosi dengan aktiviti yang salah.

9. Dalam masa yang sama, langkah-langkah menyelamatkan mangsa terkena HIV dari pasangan hendaklah dilaksanakan secara berkesan seperti memudahkan penceraian atau perpisahan segera suami-isteri yang terkena HIV. Pengurusan hukum di mahkamah syariah hendaklah bersifat progresif dan tidak mundur.

Sumber: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid035J7CEbGCoGaY2AxQNP4TMLiAhgCqSa325qSmYEBBEAzQqrfRMUmqb1aJy7zAi7ZGl&id=100044392870897&mibextid=Nif5oz