Dideklamasikan oleh Prof Madya Dato’ Dr Asri Zainul Abidin sempena: Bicara Dr MAZA “Penawar Duka Pengubat Sengsara”

Kesedihan…
Engkau sering datang tanpa diundang
Engkau menjelang tanpa ungkapan salam
Engkau menerpa masuk tanpa dijemput
Engkau hinggap di pelbagai sudut.

Dengan wajah yang menyimbah resah
Dengan lidah yang menempah gundah
Dengan cara yang membawa lara
Dengan bahasa yang menjelma duka
Bagimu rupa yang bermacam warna
Hingga ku lupa membezakan nama.

Kesedihan…
Pada awal mengenalimu, aku begitu terkedu
Wajahmu nan suram seakan hidup menjadi kelam
Aku terdiam dan terbungkam
Siang bagaikan malam
Cahaya bagaikan kelam
Ku cuba palutkan rasa takut dan kalut
Sehingga nafas menjadi semput dan susut
Lantas kau rampas ceria hidup yang dihirup

Kesedihan…
Tika ini, telah lama ku mengenalimu
Apa tidak, sering kau lalu dan bertamu
Entah berapa waktuku kau ganggu
Entah berapa medan dah kau kutentang
Entah berapa lama kita berlawan tanpa sayang
Datang dan pulangmu sama sahaja
Hadir dan pergi tiada bedanya.

Kesedihan…
Sejak dulu apa yang kutahu
Setiap kali kulihat rupa sayumu
Kupanggil syahdu nama TUHANku
Setiap kali kudengar telapak kakimu bergerak
Ku seru TUHANku dengan sebak
Setiap kali kurasa kau mula melangkah
Jiwaku pun pasrah, pada ALLAH ku berserah.

Kesedihan…
Kutahu
Kau kan terus datang, sukar dihalang
Kau kan terus bertamu, sukar dijemu

Namun, pabila kita berjumpa…
Kau kan kuhambat dengan airmata munajat
Kau kan kulontar dengan esakan tangis istighfar
Kau kan kusiaga dengan tangisan doa
Kau kan kugempur dengan rasa syukur.

Kesedihan…
Hadirlah jika itu yang kau mahu
Moga jelmamu selalu membangunku
Pilu pada malam syahdu
Untuk kubasahi pipi dengan meratapi
“Ya Rabbi! Kasihi hambaMu ini”