Loading

Malaikat Pilihanraya! Dengarlah puisi ini,
Engkaulah malaikat di musim undi
Tugas khasmu tiada temui dalam firman Ilahi,
Tidak juga ku dapati dari riwayat Nabi
Tapi, di musim undi, engkau begitu diimani
Pencatat amalan ‘soleh’ orang politik kami
Juga janji-janji yang bakal diungkapi

Wahai Malaikat Pilihanraya
hanya di musim ini sahaja engkau menjelma
mencatat pahala, tiada sedikit pun dosa
menulis segala bantuan, sedekah dan derma
maka,
berpusu berlumba orang politik kita,
Muncul di sini dan di sana,
Seluruh pelusuk mereka kembara
Membawa kurnia, membawa harta
Majlis-majlis meriah awal tiba mereka
dengan wajah penuh mesra senyum tawa
Tidak perlu ditanya, dan tidak perlu dipelawa
Mereka tetap ada untuk mencari ‘pahala’
Kerna hanya musim ini malaikat bekerja

Maka, janganlah terpinga
jika orang-orang politik kami bersegera
mencari redha di musim ini sahaja
nanti, malaikat akan pulang ke tempatnya
sementara masa masih ada..
orang politik kami pun rakus pahala
Kata bicara;
‘kepentingan rakyat’ diungkap penuh irama
Penghafal nas agama, terus menjaja
Penghafal kata pujangga, terus berbahasa

Wahai Malaikat di Musim Undi,
Cubalah engkau perhati,
jangan terlepas borang pahala diisi
lihatlah orang politik kami,
harta dan bantuan dibahagi-bahagi
Masa bagai tidak mencukupi
Kerna, habis pilihanraya nanti,
para malaikat pun tidak bertugas lagi
Buku catatan ditutup rapi hari undi
Kemeriahan amalan soleh pun terhenti
Senyap dan sunyi
Malaikat dah pergi, derma dah tiada erti
Tiada lagi catatan amalan bakti
Musim undi lain nanti,
barulah para malaikat akan kembali

Demikianlah tinggi iman orang politik kami
Pada rukun yang tidak ditemui
dalam kitab suci, atau sabda Nabi
Keimanan kepada malaikat di musim undi
penulis pahala atas kertas, masuk ke peti
biarkan apapun terjadi,
sekalipun negara dimamah api

Dr MAZA
Kangar
06102020

Sumber : https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=10158938094152990&id=279290772989