Ada yang bertanya, bagaimana saya menghadapi pelbagai cemuhan, fitnah dan tohmahan yang bertalu-talu dilemparkan kepada saya kebelakangan ini?
Saya jawab, cukuplah al-Quran menjadi penawar hati kita. Tiga ayat ini menjadi pedoman bagi saya untuk bersabar mendapat ketenangan di kala saya berhadapan dengan ujian sebegini.
وَلَقَدۡ نَعۡلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدۡرُكَ بِمَا يَقُولُونَ فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِينَ
“Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud” [al-Hijr: 97-98].
ٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ قَبۡلَ طُلُوعِ ٱلشَّمۡسِ وَقَبۡلَ غُرُوبِہَاۖ وَمِنۡ ءَانَآىِٕ ٱلَّيۡلِ فَسَبِّحۡ وَأَطۡرَافَ ٱلنَّہَارِ لَعَلَّكَ تَرۡضَىٰ
“Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda” [Taaha: 130].
فَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ قَبۡلَ طُلُوعِ ٱلشَّمۡسِ وَقَبۡلَ ٱلۡغُرُوبِ وَمِنَ ٱلَّيۡلِ فَسَبِّحۡهُ وَأَدۡبَـٰرَ ٱلسُّجُودِ
“Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu) dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam” [Qaf: 39-40].
Perasankah kita, selepas Allah menyebut perkataan “مَا يَقُولُونَ” (iaitu apa yang mereka perkatakan sehingga menyakitimu), Allah segera menyusulinya dengan berpesan supaya bersabar, bertasbih dan memuji-Nya?
Seolah-olah apabila kita berasa marah atau sakit hati akibat lisan atau jari-jemari mereka yang memusuhi, kita segera BERTASBIH dan BERTAHMID mengingati Allah yang merupakan kunci kesabaran dan sebaik-baik penawar yang melegakan agar ‘luka’ tersebut tidak membekas dalam hati.