Loading

BOLEHKAH seseorang wanita yang hamil atau mengandung mempamerkan gambar perut di media sosial atau biasanya dipanggil baby bump?

JAWAPAN:

Wanita yang mengandung apabila tempoh semakin matang, maka benjolan bayi (baby bump) dalam perutnya akan makin jelas sekalipun jika dia berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Hal itu memang tidak dapat dielakkan dan syarak tidak pernah menyatakan bahawa wanita yang mengandung tidak boleh terzahir benjolan bayi dalam perutnya kerana itu mustahil.

Seseorang wanita memaklumkan kepada pihak lain termasuk di media sosial bahawa diri mengandung atas tujuan yang tidak menyanggahi syarak seperti untuk memberikan khabar gembira, tidak termasuk dalam larangan syarak. Meletakkan gambar diri mengandung di media sosial dengan keizinan suami dalam keadaan menutup aurat tanpa unsur-unsur godaan atau gambaran yang tidak baik, adalah dibolehkan.

Ini kerana, hal itu sama seperti keadaan dirinya apabila berada di luar rumah yang dilihat oleh semua pihak.

Tidak haram wanita keluar rumah dan dapat dilihat dirinya dengan syarat dia menutup aurat.

Adapun sengaja menonjol bahagian tubuh tertentu untuk boleh dilihat oleh semua termasuk lelaki yang bukan mahram seperti tonjolan perut atau seumpamanya dalam keadaan yang biasanya boleh mengundang perasaan keinginan lelaki kepada wanita adalah dilarang di sisi syarak.

Ini sekalipun tubuhnya itu berpakaian atau dilapik pakaian. Apatahlagi jika tanpa pakaian atau berlapik. Sikap wanita dalam berpakaian dan penonjolan diri menjadi imej diri mereka.

Firman Allah tentang pakaian wanita muslimah (maksudnya): “Cara (pakaian) yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai wanita yang baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu (oleh orang yang fasik)”. (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Sumber: