Loading

Ramai juga yang kata saya sakit hati dan dengki kerana tidak dilibatkan dalam proses edisi baru Tafsir Pimpinan al-Rahman.

Ada juga yang kata saya menulis kerana saya salafi maka tidak boleh tengok jika Asyairah mengubah tafsir ini.

Saya katakan begini:

1. Demi Allah, wallallahi wabillah watallahi. Semua tuduhan di atas tidak benar sama sekali.

2. Saya memberi teguran dan meminta penjelasan kerana ia isu serius dalam dunia akademik.

3. Dalam dunia akademik, editor dan pemegang hakcipta tidak berhak menukar apa-apa perkataan penulis asal yang mempunyai perubahan makna dan menyandarkannya kepada beliau tanpa izin.

4. Dalam isu ini, perkataan asal Syeikh Abdullah Basmeih dalam satu ayat surah Taha telah diubah daripada “bersemayam” kepada “istawa”.

5. Adakah perkataan “istawa” ini perkataan asal yang ditulis oleh Syeikh Abdullah Basmeih? Jawapannya tidak. Adakah editor atau Jakim telah mendapat izin untuk menukarkan perkataan ini? Pastinya tidak kerana Syeikh Abdullah telah lama meninggal dunia.

6. Ada yang berhujah bahawa Syeikh mengalukan pembetulan dan teguran. Kita perlu bezakan antara pembetulan dan teguran dengan mengubah perkataan asal penulis yang mempunyai implikasi makna yang berbeza lalu menyandarkan kepadanya. Jika ada penambahbaikan seperti ingin dibuat maka perlu dibuat di nota kaki atau buat tafsir baru dengan tajuk berbeza supaya pengkaji kemudian dapat bezakan tulisan penulis asal dan pandangan pengkritik.

7. Kenapa perkataan asal penulis perlu dikekalkan selagi tidak ada izin daripada penulis untuk mengubahnya? Kerana 2 sebab:

i. Terdapat kajian dalam tesis sarjana yang menunjukkan Syeikh Abdullah Basmeih tidak bersetuju untuk mengubah perkataan kontemporari dalam tafsirnya. Ini bermakna ada keadaan beliau tidak izinkan perkataan kontemporari walaupun maknanya sama makna. (Lihat gambar di bawah) Maka mengubah perkataan “bersemayam” kepada “istawa” yang ada implikasi perubahan makna sudah tentu perlu mendapatkan izin beliau terlebih dahulu.

ii. Syeikh Abdullah Basmeih adalah tokoh besar yang berjasa dalam dunia penulisan. Banyak artikel dan tesis ditulis menganalisis pendiriannya dalam tafsir dan karya agama. (Lihat gambar di bawah) Jadi teks asal perlu dikekalkan supaya pengkaji akademik boleh semak rujukan asal jika ingin memastikan nukilan yang dibuat oleh pengkaji moden itu tepat. Jika tulisan asal diubah-ubah sesuka hati tanpa izin beliau maka bagaimana semakan silang dapat dilakukan? Ini jelas adalah kecurangan akademik. Bagaimana pula orang yang ingin mengkaji pemikiran Syeikh Abdullah Basmeih selepas ini? Adakah pengkaji perlu rujuk edisi baru atau edisi lama? Bagaimana jika dia tidak tahu perubahan telah berlaku, lalu menukilkan pandangan Syeikh Abdullah Basmeih sedangkan ia bukan tulisannya? Isu ini merentas isu mazhab dan aliran pemikiran.

8. Letak tepi dahulu mazhab anutan anda. Saya tidak bermasalah dengan mazhab Asyairah kerana ia juga adalah salah satu aliran ASWJ. Namun, jika nak memenangkan mazhab sendiri kerana anda berkuasa maka buatlah dengan etika dan disiplin.

9. Adakah anda setuju nanti universiti boleh ubah kandungan tesis anda tanpa izin kerana mereka punyai hakcipta? Adakah artikel jurnal anda juga boleh diubah tanpa izin kerana penerbit jurnal mempunyai hakcipta penerbitan?

10. Saya tahu saya berdepan risiko apabila bangkitkan isu ini. Namun, dunia akademik ini ada disiplinnya. Ada adabnya. Saya mengharapkan JAKIM ada penjelasan tuntas dalam isu ini.

11. Saya mempunyai artikel jurnal yang pernah Jakim terbitkan sebelum ini. Saya ingatkan kepada Ketua Pengarah JAKIM, jangan ubah perkataan saya tanpa izin saya walau JAKIM memegang hakcipta penerbitan.

Ya Allah persaksikanlah bahawa aku telah menyampaikan.

Sumber: https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/pfbid0Hu5Ux3PHa2PQRr56fFh9Q7sy1GFt1d53g5qmePS3Eg8R2D6RWssEduGo4jZxMZShl