Loading

Kekangan sementara SOP di masjid kini bukanlah kerana kita sengaja ingin melanggar perintah Allah ﷻ dari memakmurkan rumah-Nya, namun kerana kita mengambil kira pelbagai lagi perintah-Nya yang lain dalam memelihara maslahat umat. 

Sejarah telah merekodkan masjid-masjid juga pernah ditutup atau lengang atau menjadi punca kluster ketika wabak melanda dahulu.

i) Pada tahun 395h, berlakunya wabak yang dahsyat di Tunisia, sehingga mengakibatkan kekurangan barang keperluan, harga barangan meningkat tinggi, ramai yang terkorban dan masjid-masjid di Qayrawan menjadi lengang [Akhbar al-Andalus: al-Marrakusyi].

ii) Pada tahun 448h yang juga dikenali sebagai tahun kelaparan, satu wabak besar melanda bumi Andalus sehingga ramai yang mati di Seville dan masjid-masjid ditutup. Begitu juga di Cordoba, masjid-masjid di tutup [Tarikh al-Islam & Siyar A’lam al-Nubala’: al-Dzahabi].

iii) Pada tahun 449h, Ibn al-Jawzi pernah menyifatkan wabak dahsyat yang melanda ketika itu sehingga 18,000 kematian direkodkan terjadi dalam sehari. Pasar-pasar dan rumah-rumah ditutup. Jalan-jalan lengang. Masjid-masjid juga kosong. Kebanyakan masa siang-malam manusia ketika itu sibuk dengan memandi dan mengafankan jenazah [al-Muntazham: Ibn al-Jawzi].

iv) Pada tahun 749h, ketika wabak Black Death melanda Mesir, tiada majlis-majlis himpunan diadakan dan kebanyakan masjid ditutup dan lengang tanpa azan [al-Suluk oleh al-Maqrizi & al-Nujum al-Zahirah: Ibn Taghri Bardi].

v) Pada sekitar tahun 827h, berlakunya wabak yang dahsyat di kota suci Makkah sehingga mengakibatkan 40 kematian setiap hari dan menjangkaui 1700 kematian dalam masa dua hingga tiga bulan. Hanya dua orang sahaja yang masih melakukan solat di masjid al-Haram berhampiran makam Ibrahim [Inba’ al-Ghumr: Ibn Hajar al-‘Asqalani].

vi) Pada tahun 833h, ketika wabak Black Death melanda Mesir, salah seorang dari pihak kerajaan bernama Syihabuddin Syarif menghimpunkan orang-orang untuk solat beramai-ramai dan membaca al-Quran selepas solat Jumaat sehingga ada yang membantah acara seperti ini akan menyebabkan penyebaran wabak maut tersebut. Memang benar, semakin ramai yang mati akibat kluster tersebut.

Begitu juga pada tahun 848h, kematian harian mencecah 1000 kes akibat kemasukan Jemaah haji di sana [Inba’ al-Ghumr: Ibn Hajar al-‘Asqalani]. 

Sekalipun masjid terpaksa ‘dilengangkan’ sementara, jangan sesekali hati kita lengang dari mengingati Allah ﷻ. Perintah Allah ﷻ itu pelbagai, bukan sekadar memenuhkan masjid dan merapatkan saf semata-mata. Memelihara kesihatan, nyawa, ketenteraman awam, mematuhi ulil amri dalam hal yang tidak bertentangan dengan syarak dan mencegah mudarat juga sebahagian dari perintah-Nya. Menjadi tanggungjawab para ulamak dari kalangan ulil amri untuk berijtihad dalam awlawiyyat (keutamaan) perintah-perintah tersebut dan mengutamakan maslahat awam dari peribadi.

Ketempangan perlaksanaan SOP di tempat-tempat lain, bukanlah dalil untuk mengenepikan ijtihad fiqh yang muktabar dari para ulama seluruh dunia.