Loading

Solat Tidak Sah Jika Ada Kutu (yang telah mati) Di Kepala Dan Perlu Botakkan Kepala Untuk Buang Kutu?

1. Ramai yang bertanya saya berkaitan permasalahan yang diucapkan oleh seorang penceramah berkaitan perlu botakkan kepala untuk buang kutu yang mati di bahagian kepala, jika tidak maka solat tidak sah. Ini membuat wanita menjadi gusar kerana rambut mereka panjang dan kemungkinan ada kutu di rambut mereka yang telah mati.

Di sini ada dua permasalahan:

Adakah jika ada kutu yang telah mati di kepala dapat membatalkan solat?

– Adakah benar perlu membotakkan kepala untuk buang kutu, jika tidak solat tidak sah?

2. Ulamak Syafieyah berpandangan bangkai kutu yang mati adalah najis. Disebutkan dalam Hasyiah Ianah al-Thalibin:

Syeikh Abu Bakar Syata berkata:

ويحرم رمي نحو قملة كبرغوث وبق وبعوض في المسجد إذا كانت ميتة لنجاستها حينئذ

“Diharamkan melempar kutu misalnya seperti kutu kepala, serangga kecil dan nyamuk dalam masjid apabila telah menjadi bangkai (telah mati) hal ini kerana ia adalah najis pada ketika itu.”

Ini menunjukkan kutu yang telah mati adalah najis menurut Mazhab Syafie. Fuqaha Syafieyah berbeza pandangan berkaitan adakah ia najis yang dimaafkan ataupun tidak. Jika ia adalah najis yang dimaafkan, maka solat masih sah.

3. Para fuqaha juga membezakan antara:

– Hukum berkaitan bangkai kutu.

– Hukum berkaitan darah kutu.

– Hukum najis dimaafkan pada air.

– Hukum najis yang dimaafkan pada pakaian.

Kesemua ini mempunyai hukum yang berbeza.

Hukum berkaitan darah kutu dan bangkai kutu ia merupakan dua perkara yang ada hukum yang berbeza. Sebelum berbicara berkaitan hukum bangkai kutu, saya ingin membawa dahulu secara ringkas berkaitan hukum darah kutu.

Hal ini kerana darah haiwan tersebut yang sedikit dimaafkan dalam keadaan tertentu.

Imam Nawawi berkata:

ولو اخذ قملة او برغوثا وقتله في ثوبه او جلده او بين اصابعيه فتلوثت به قال المتولي ان كان كثير ذالك لم يعف عنه وان كان قليلا فوجهان اصحهما يعفى عنه

“Apabila seseorang mengambil kutu dan membunuhnya ketika berada di baju, kulit ataupun di antara jari-jarinya, kemudian darah tersebut mengotori bahagian tersebut.

Al-Mutawalli telah berkata: apabila darahnya banyak maka ia tidak dimaafkan, jika darah tersebut sedikit maka terdapat dua wajah, pandangan yang asoh daripada kedua pandangan itu adalah DIMAAFKAN”

Selain itu, dalam Matan Masail al-Ta’lim disebutkan:

وإذا عصر البثرة أو الدّمل أو قتل البرغوث.. عفي عن قليله فقط

“Apabila seseorang itu memicit jerawat atau bisul ataupun membunuh kutu, dimaafkan kesan darah yang sedikit sahaja”

Dimaafkan darah kutu yang sedikit, maka solat tersebut masih sah. Hukum berkaitan antara darah dan bangkai kutu merupakan dua perkara yang berbeza.

4. Masalah yang seterusnya adalah berkaitan bangkai kutu. Adapun berkaitan bangkai kutu, ia mempunyai hukum yang berbeza dengan darah kutu. Hukum bangkai kutu termasuk dalam najis yang tidak dimaafkan. Disebutkan dalam Masail al-Ta’lim:

ولا يعفى عن جلد البرغوث ونحوه

“dan tidak dimaafkan berkaitan kulit (bangkai) kutu dan seumpamanya”

Demikian juga disebutkan dalam syarahnya seperti Al-Manhaj Al-Qawim dan lain-lain kutub Syafieyah.

3. Walau bagaimanapun, dinukilkan dalam Hasyiah al-Jarhazi ke atas Al-Manhaj Al-Qawim dan Al-Muqadimah Al-Hadramiyah beberapa pandangan yang menyebutkan ia termasuk dalam najis yang DIMAAFKAN:

قال ابن الخيّاط: يعفى عن جلدها

“Dimaafkan berkaitan kulitnya (bangkai kutu)”

Selain itu, dinukilkan juga dalam kitab yang sama:

قال ابن العماد: ينبغي العفو عنه أي عن جلدها إذا عمّ في ثيابه وحمله جاهلا به

“Selayaknya ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan iaitu berkaitan kulitnya (bangkai) kutu jika ia banyak pada pakaian orang yang menunaikan solat dan ia membawanya dalam keadaan tidak mengetahui tentang perkara tersebut”

Dapat kita ketahui, terdapat juga pandangan yang mengatakan diberi kemaafan jika bangkai kutu berada pada diri orang yang menunaikan solat. Solat tersebut masih sah.

4. Saya lebih cenderung dengan pandangan yang menyatakan bangkai kutu adalah suci. Dalam syarah kepada Zad Al-Mustaqni oleh Syaikh Al-Syanqiti, disebutkan bahawa bangkai kutu ini bukan termasuk daripada najis. Ia suci.

فإن كان الميت مما لا دم له فإنه يخرج عن هذا الوصف، فليس له دم يراق، فيعتبر من الميتة الطاهرة التي لا يحكم بنجاستها، هذا وجه من يقول بطهارة ما لا دم له.

“Jika bangkai daripada haiwan yang tidak ada darah padanya, maka ia telah keluar daripada perkara yang di sifatkan ini. Haiwan tersebut tidak ada darah yang mengalir padjaya. Maka haiwan dari jenis tersebut dikira sebagai bangkai yang suci yang mana tidak dihukum ke atasnya sebagai najis. Ini salah satu daripada wajah yang berpandangan akan sucinya bangkai daripada haiwan yang tidak ada darah padanya”

Ibn al-Qayyim juga menyebutkan ketika menghuraikan hadis arahan membenamkan lalat yang terjatuh dalam air minuman:

فهو دليل ظاهر الدلالة جدا على أن الذباب إذا مات في ماء أو مائع فإنه لا ينجسه وهذا قول جمهور العلماء ولا يعرف في السلف مخالف في ذلك ووجه الإستدلال به أن النبي صلى الله عليه و سلم أمر بمقله وهو غمسه في الطعام ومعلوم أنه يموت من ذلك ولا سيما إذا كان الطعام حارا فلو كان ينجسه لكان أمرا بإفساد الطعام وهو صلى الله عليه و سلم إنما أمر بإصلاحه ثم عدي هذا الحكم إلى كل ما لا نفس له سائلة كالنحلة والزنبور والعنكبوت وأشباه ذلك

Hadis ini sangat jelas menunjukkan bahawa lalat jika ia mati dalam air atau cecair maka ia tidak menajiskannya. Ini adalah pandangan majoriti ulama dan tidak diketahui ada pihak yang membantah dalam isu ini. Bentuk pendalilan dengannya ialah Nabi sallallah alaih wasallamemerintahkan untuk membenamkannya (dalam air) iaitu menenggelamkannya dalam makanan. Dan diketahui ia akan mati disebabkan itu terutamanya jika makanan itu panas. Jika ia menajiskannya sudah pasti arahan itu berupa arahan untuk merosakkan makanan sedangkan baginda sallallah alaih wasallam sebenarnya mengarahkan untuk mengelokkannya (makanan). Kemudian hukum ini dikaitkan pula kepada haiwan yang tidak ada darah mengalir seperti lebah, tebuan, labah-labah dan seumpamanya. (Zaad al-Ma’ad, jil. 4, hal. 101)

Kesimpulan:

– Bangkai kutu adalah najis di sisi pandangan Mazhab Syafie. Sebahagian ulama mengatakan ia tidak najis seperti Ibn al-Qayyim.

– Terdapat pandangan fuqaha yang mengatakan ia adalah najis yang dimaafkan. Maka sah solat dalam keadaan terdapat perkara itu pada diri orang yang menunaikan solat.

– Dalam حاشية الميهي الشيبيني, pengarang menukilkan pandangan seorang ulamak mazhab Syafie yang bernama al-Qaffal, kemudian melanjutkan dengan menyebutkan bangkai kutu itu adalah [طاهرة] lebih cenderung kepada ia tidak najis.

– Ulamak yang berpandangan bangkai kutu adalah najis, mereka juga tidak menyuruh orang tersebut untuk membotakkan kepala.

– Jika ada kutu, cukuplah syampu dan cuci kepala. Tidak perlu menyusahkan diri terutama buat wanita untuk membotakkan kepala seperti dakwaan agamawan tertentu.

Ulama dulu begitu teliti dalam mengeluarkan hukum. Bukan sekadar selak tirai terus berjumpa Rasulullah seperti dakwaan pihak tertentu.

Di kala kita membahaskan isu darah kutu dan hukum berkaitan bangkainya, jangan kita lupa dan cakna akan darah umat Islam yang terkorban di Palestin dan seluruh dunia Islam.

Sumber: https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/pfbid02HqLvT7Q9xFrQj9aj5EuccdPjNGHiLvrY7pA6Nbh1M5boJicCY6ZJvohSRK3DqHF7l