22 September 2021 ~ DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila diberitahu hanya 203 daripada 873 orang Guru KAFA, Ahli Jawatankuasa Masjid dan Jurunikah di Negeri Selangor yang hadir semasa sesi program vaksinasi khas Covid-19 Frontliner JAIS yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Lebih mendukacitakan Baginda, daripada 203 orang yang hadir, 96 daripada mereka menolak untuk divaksin.

Titah Baginda, apa yang berlaku ini amat mengecewakan kerana kedegilan individu-individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA.

Tegas Baginda lagi, pelbagai inisiatif dan cara telah dilakukan khususnya daripada gesaan Baginda sendiri dengan kerjasama pihak JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), demi memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam di Negeri Selangor.

Ini termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada petugas-petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.

Namun apa yang berlaku amat mendukacitakan Baginda.

Baginda akan meneliti nama-nama Guru KAFA, Ahli Jawatankuasa Masjid dan Jurunikah yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Sumber: FB Selangor Royal Office