Loading

Ramai yang bertanya pada saya tentang gambar Datuk Mufti Wilayah Persekutuan -hafizhahullah- yang menyolatkan jenazah di sebuah kubur yang diziarahi beliau baru-baru ini.

Saya kongsikan secara ringkas sebagai ilmu sunnah yang belum diketahui ramai.

1. Harus melakukan solat jenazah di kubur si mati bagi yang terlepas menyolatkannya sebelum ditanam menurut majoriti ulama. 

Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, bahawa seorang wanita yang sering mengemas masjid meninggal dunia. Selepas beberapa tempoh, Nabi SAW menyedari kehilangannya, lalu bertanya akan khabarnya. 

Setelah diberitahu akan kewafatannya, baginda berasa kesal kerana tidak dikhabarkan dari awal seolah-olah wanita itu kecil peranannya. Lalu baginda meminta ditunjukkan kuburnya, dan baginda pergi menyolatkan wanita tersebut di kuburnya.

2. Hadis mengenai solat jenazah di kubur bagi yang terlepas ada diriwayatkan dalam beberapa hadis lain seperti hadis Ibn ‘Abbas RA [riwayat al-Bukhari dan Muslim], hadis Anas RA [riwayat Muslim], dan hadis mursal Sa’id bin al-Musayyib [riwayat al-Tirmidzi, Ibn Abi Syaybah dan al-Bayhaqi].

3. Bagaimana posisi solat tersebut?

Penyolat hendaklah menghadap ke arah kiblat seperti posisi solat jenazah. Jika si mati lelaki, penyolat berdiri di bahagian kepalanya, manakala jika wanita, penyolat berdiri di tengah kubur.

4. Berapa tempoh kematian yang diharuskan solat jenazah di kuburnya?

a. Ramai ulama mazhab Hanbali dan sebahagian ulama mazhab Syafi’i mengharuskan sehingga sebulan selepas kematian berdasarkan hadis mursal Sa’id bin al-Musayyib bahawa Ummu Sa’d RA meninggal ketika Nabi SAW keluar kawasan, kemudian tatkala baginda pulang dan mendengar khabar akan kewafatannya, baginda terus ke kuburnya dan menyolatkannya walaupun telah sebulan tempoh pemergian Ummu Sa’d RA.

b. Ramai ulama mazhab Syafi’i yang tidak meletakkan sebarang tempoh dengan syarat si mati cukup kriteria untuk solat seperti baligh dan berakal.

Mereka melihat hadis mursal Sa’id tersebut tiada sebarang penetapan tempoh, namun hanya sekadar kebetulan yang menceritakan peristiwa.

5. Bolehkah orang yang telah menyolatkan si mati sebelum ditanam menyolatkan si mati kembali di kuburnya?

Ada beberapa riwayat hadis yang membenarkan [rujuk Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari karangan Ibn Hajar al-‘Asqalani].

6. Hukum asal bagi solat di kubur adalah haram. Hanya solat jenazah sahaja yang dibenarkan dan mendapat pengecualian dari hadis:

لا تجلسوا على القبور ولا تصلّوا إليها

“Janganlah kalian duduk di atas kubur dan jangan pula solat menghadapnya” [riwayat Muslim].

Manakala solat lain yang mengandungi rukuk dan sujud tidak dibenarkan dan tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya RA, kerana ia boleh mengundang ke arah syirik. 

Justeru dapat difahami pelbagai ritual di kubur yang dilakukan sebahagian masyarakat seperti bermajlis zikir, memohon hajat dan seumpamanya merupakan perbuatan yang sama sekali bertentangan dengan syarak.

7. Semua hadis menunjukkan bahawa hanya insan yang kita kenali atau yang ada kaitan sahaja yang disolatkan di kubur seandainya terlepas sebelum ditanam. Selain itu hanya disyariatkan untuk berdoa memohon pengampunan dan keselamatan buat mereka.

Moga Allah mengampuni, merahmati dan menempatkan semua umat Islam yang telah pergi di sebaik-baik tempat.

No photo description available.