Timbul pula persoalan adakah mengajar agama kepada orang awam perlu menyebut dalil atau pun tidak. Siap ada yang kaitkan dengan situasi pergi ke restoran pelanggan tidak tanya pun butiran resipi.

Saya ingin jelaskan perkara ini dalam butiran berikut:

1. Isu menyebut dalil ketika mengajar tidak ada kaitan pun dengan wahabi atau tidak.

2. Orang awam diberikan kelonggaran untuk bertaklid dalam masalah fiqh tanpa mengetahui dalil.

3. Ibn al-Solah berpandangan tidak salah bagi orang yang berfatwa dalam agama untuk menyebutkan dalil jika ia adalah nas daripada al-Quran dan sunnah. Beliau berkata:

ليس بمنكر أن يذكر المفتي في فتواه الحجة إذا كانت نصا واضحا مختصرا…وأما الأقيسة وشبهها فلا ينبغي له ذكر شيء منها

Maksudnya: Tidak diingkari untuk seorang mufti menyebutkan hujah dalam fatwanya jika ia adalah nas jelas yang ringkas…jika ia adalah dalil qiyas dan seumpamanya maka tidak wajar untuk dia menyebutkan sesuatu daripadanya. (Ibn al-Solah, Adab al-Mufti wa al-Mustafti, jil. 1, hal. 82)

4. Namun perlu diingat berkaitan adab ketika bertanya dalil. Seorang awam perlu menjaga adab ketika bertanya dalil kepada orang yang memberikan fatwa kepadanya. Oleh itu, sebahagian ulama menyatakan bahawa orang awam yang ingin mengetahui dalil untuk menenangkan dirinya terhadap fatwa yang diberi untuk bertanya dalil sama ada bertanya dalil pada majlis lain atau dalam majlis yang sama tetapi setelah menerima fatwa tersebut dan ia tidak dinyatakan dalil. (Lihat: Ibn Hamdan, Sifat al-Fatwa, hal. 84)

Ini membuktikan tidak salah bagi orang awam untuk mengetahui dalil.

5. Jika seseorang bertanya dalil dengan adab yang baik maka ia tidaklah menjadi satu kesalahan. Perdengarkanlah kepadanya dalil supaya dia mendengar kalam Allah dan Rasul. Jika orang kafir pun Allah suruh perdengarkan kalamNya apatah lagi orang yang beriman. Firman Allah:

(وَإِنۡ أَحَدࣱ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِینَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ یَسۡمَعَ كَلَـٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَ ٰ⁠لِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمࣱ لَّا یَعۡلَمُونَ)

[Surah Al-Tawbah 6]

Maksudnya: Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).

Ibn Kathir menjelaskan maksud kalam Allah dalam ayat ini:

أَيْ: [الْقُرْآنَ] تَقْرَؤُهُ عَلَيْهِ وَتَذْكُرُ لَهُ شَيْئًا مِنْ [أَمْرِ] الدِّينِ تُقِيمُ عَلَيْهِ بِهِ حُجَّةَ اللَّهِ

Iaitu al-Quran yang engkau bacakan kepadanya dan engkau menyebutkan untuknya sesuatu daripada perintah agama ketika engkau menegakkan kepadanya hujah Allah dengannya. (Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, jil. 4, hal. 113)

Begitu juga tidak salah bagi seseorang yang mendengar dan cuba memelihara kalam Nabi sallallah alaih wasallam. Baginda bersabda:

نضَّر الله عبدا سَمِع مقالتي فحفظها ووَعَاها وأداها، فرُبَّ حامل فِقْه غير فقيه ورب حامل فقه إلى مَن هو أفقه منه

Maksudnya: Allah menyerikan orang yang mendengar kalamku lalu memeliharanya, menghafalnya dan menyampaikannya. Berkemungkinan pembawa fiqh tidak faqih dan berkemungkinan pembawa fiqh (membawakannya) kepada orang yang lebih faqih. (HR al-Baihaqi dalam Ma’rifah al-Sunan, sahih)

Sumber: https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/5141147889246003