Tersebar sebelum ini kisah kemurtadan Ubaidullah bin Jahsy. Ada yang mengatakan dia memang murtad apabil pergi ke Habsyah dan ada yang mengatakan riwayat tersebut tidak sahih. Bahkan ada yang menganggap ia agenda Syiah memburukkan sahabat Nabi sallallah alaih wasallam. Disebabkan kesibukan saya sebelum ini, saya tidak sempat memberikan pandangan saya. Alhamdulillah di kesempatan ini saya ingin berikan sedikit pandangan saya dalam isu ini. Berikut saya nyatakan:
1. Kisah kemurtadan Ubaidullah bin Jahsy ini termasuk dalam bab Maghazi dan Siyar. Ia tidak melibatkan hukum-hakam Fiqh dan hukum akidah bagi seorang Muslim.
2. Dalam bab Maghazi dan Sirah ulama Islam memberikan sedikit kelonggaran dan tidak memperketatkan syarat penerimaan seperti hadis hukum.
3. Dalam thesis PhD saya, saya membandingkan metodologi Ibn al-Qayyim dalam berinteraksi dengan ulama hadis lain. Saya dapati dalam berinteraksi dengan riwayat ini ulama akan menerima riwayat Maghazi dan siyar yang merangkumi:
i. Riwayat yang disepakati oleh keseluruhan ulama silam.
ii. Riwayat yang masyhur dalam kalangan ulama Maghazi dan siyar. Ibn Abdil Barr menjelaskan kaedah ini ketika menghuraikan status riwayat Islam Safwan bin Umayyah dan isterinya:
هَذَا الْحَدِيثُ لَا أَعْلَمُهُ يَتَّصِلُ مِنْ وَجْهٍ صَحِيحٍ وَهُوَ حَدِيثٌ مَشْهُورٌ مَعْلُومٌ عِنْدَ أَهْلِ السِّيَرِ وَابْنُ شِهَابٍ إِمَامُ أَهْلِ السِّيَرِ وَعَالِمُهُمْ وَكَذَلِكَ الشَّعْبِيُّ وَشُهْرَةُ هذا لحديث
أَقْوَى مِنْ إِسْنَادِهِ
“Hadis ini saya tidak ketahui ia diriwayatkan dengan sanad bersambung dengan bentuk yang sahih dan ia hadis masyhur yang diketahui oleh ulama sirah. Dan Ibn Syihab merupakan imam bagi ulama sirah begitu juga al-Sya’bi. Kemasyhuran hadis ini lebih luat dari sanadnya. (Al-Tamhid, jil. 12, hal. 19)
iii. Riwayat perseorangan yang diriwayatkan oleh ulama Maghazi dan Siyar dengan syarat:
a. ia tidak menyanggahi riwayat yang lebih sahih.
b. perawinya berkredibiliti.
c. Riwayat tersebut tidak merangkumi peristiwa yang menyebabkan orang ramai mahu meriwayatkannya tetapi ia diriwayatkan oleh seorang sahaja. Syarat ini dijelaskan oleh Ibn Kathir dalam printscreen thesis saya di bawah.
4. Melihat kepada kisah Ubaidillah bin Jahsy ini saya mempunyai kecenderungan beliau sememangnya murtad. Ini kerana kisah kemurtadan beliau dinukilkan dalam kitab-kitab Maghazi dan ia diterima sebagai maklumat sirah yang tidak dibantah. Terlalu ramai penulis kitab sirah dan ulama hadis yang saya baca menerima kisah ini. Berikut saya senaraikan nama-nama mereka:
i. Al- Daraqutni dalam kitab al-Sunan.
ii. Ibn al-Athir dalam Jami’ al-Usul dan al-Nihayah.
iii. Ibn al-Qattan al-Fasi dalam Bayan al-Wahm wa al-Iham.
iv. Al-Zailaie dalam Nasb al-Rayah.
v. Al-Aini dalam Syarh Sunan Abi Daud.
vi. Ibn Hajar dalam Fath al-Bari.
vii. Ibn al-Jauzi dalam Kasyf al-Musykil.
viii. Abu al-Abbas al-Qurtubi di dalam al-Mufhim
ix. Abu al-Walid Al-Baji dalam al-Ta’dil wa al-Tajrih
x. Al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal.
xii. Ibn Asakir dalam al-Arbain fi Manaqib Ummahat al-Mukminin
xiii. Ibn Abdil Barr dalam al-Isti’ab.
xiv. Ibn Hazm dalam Jawami’ al-Sirah.
xv. Ibn Sayyid al-Nas dalam Uyun al-Athar
xvi. Abu Nuaiam al-Asbahani dalam Ma’rifat al-Sahabah.
xvii. Ali bin Burhanuddin al-Halabi dalam al-Sirah al-Halabiyyah
xviii. Al-Safadi dalam al-Wafi.
xix. Al-Nawawi dalam Tahzib al-Asma’.
5. Bukan itu sahaja, kebanyakan ulama yang menulis kitab himpunan nama sahabat tidak memasukkan beliau sebagai sahabat Nabi sallallah alaih wasallam. Ini petanda jelas bahawa beliau sememangnya tidak tergolong dalam kalangan sahabat kerana telah murtad.
6. Ulama yang terkenal sebagai pemurni dan pengkritik riwayat sirah juga tidak mengkritik riwayat sebaliknya menerimanya. Antaranya ialah:
i. Ibn al-Qayyim menyebutkan riwayat ini dalam Zaad al-Ma’ad dan tidak mengkritiknya.
ii. Al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ dan Tarikh al-Islam menjelaskan Ubaidullah sememangnya murtad.
iii. Ibn Kathir menerima kisah ini dalam Al-Bidayah wa al-Nihayah.
7. Ibn Kathir lebih berani ketika membawakan riwayat kemurtadan Ubaidullah bin Jahsy ini. Beliau siap mendoakan laknat kepada Ubaidullah. Ini membuktikan beliau menerima kemurtadan Ubaidullah. Beliau berkata:
“Adapun berita Ubaidullah bin Jahsy menjadi Nasrani telah berlalu penjelasannya. Ia berlaku sebagai kesan setelah beliau berhijrah bersama orang Muslimin ke Habsyah. Syaitan menggelincirkannya dan memperelokkan agama Nasara kepadanya. Maka dia menjadi nasrani sehingga beliau mati atasnya. Moga Allah melaknatinya…”. (Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 6, hal. 145)
8. Penolakan terhadap riwayat tentang kemurtadan Ubaidullah bin Jahsy sekadar penelitian saya hanya datang di zaman moden ini. Ini kerana mereka mendakwa:
i. Ia daif dari sudut sanad. Saya telah pun menjelaskan metodologi ulama dalam menerima riwayat sirah.
ii. Ia menyanggahi riwayat Abu Sufyan dengan Heraclius bahawa tidak ada seorang pun yang murtad dari kalangan orang Islam di zaman Nabi kerana marahkan agama.
Sebenarnya Ibn Hajar telah pun menjawab ketika menghuraikan hadis ini. Ibn Hajar mengatakan bahawa kemungkinan kemurtadan Ubaidullah bin Jahsy disebabkan beliau masuk Islam tanpa memahaminya dan murtad bukan kerana marahkan agama. (Fath al-Bari, jil. 8, hal. 67)
Sekian ulasan saya. Moga Allah memberikan kita hidayah.