Loading

1. Islam menghormati kedudukannya insan yang mana Allah telah tegaskan kemuliaannya dalam al-Quran pada Surah al-Isra ayat 70:

۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠

(Maksudnya) “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”.

2. Atas penghormatan kepada keturunan Adam, maka Nabi s.a.w melarang kita memukul, menampar ataupun mencederakan wajah ataupun muka sesama insan sekalipun di medan peperangan. Ini kerana muka merupakan tempat kemuliaan seseorang.

Nas Hadis

  1. Dalam hadis yang sahih Nabi s.a.w bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الوَجْهَ

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis Abu Hurairah di atas diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad dengan lafaz

إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ خَادِمَهُ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ

Apabila seseorang kamu memukul khadamnya, maka jauhilah dari (memukul) muka”

Sementara dalam riwayat lain daripada al-Imam Ahmad diriwayatkan dengan lafaz:

إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ

“Apabila seseorang kamu memukul maka jauhilah muka”.

Hormati Insan

4. Islam mengajar kita disiplin dalam segala tindakan sekalipun ketika marah. Justeru itu dalam Islam, sekalipun ketika berada di medan perang bertempur dengan musuh yang memerangi kita, namun kita tetap diperintahkan berdisiplin dalam tindakan. Ini bertujuan menghormati nilai keinsanan yang ada dalam diri kita dan diri pihak yang kita bertembung dengannya. Pertempuran sesama manusia sudah pasti tidak sama dibandingkan pertempuran sesama binatang yang tiada nilai insani dan peradaban insaniah. Nabi s.a.w menunjukkan untuk umat Islam pelbagai peraturan sekalipun dengan musuh bagi tujuan memelihara nilai kita sebagai manusia hamba Allah yang dijadikan khalifah atas muka bumi ini. Antaranya, sabda Nabi s.a.w:

لَا تَغْدِرُوا وَلَا تَغُلُّوا وَلَا تُمَثِّلُوا وَلَا تَقْتُلُوا الْوِلْدَانَ وَلَا أَصْحَابَ الصَّوَامِعِ

“Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir ketika mentahqiqkan musnad Ahmad, hadith ke-2728: “Sanad hadith ini hasan”).

Kenapa Dilarang?

5. Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 Hijrah) ketika mensyarahkan Sahih Muslim meletakkan hadis perintah ‘jauhilah muka’ tersebut di bawah bab (بَاب النَّهْيِ عَنْ ضَرْبِ الْوَجْهِ) iaitu BAB TEGAHAN MEMUKUL MUKA. Al-Imam al-Nawawi menyebut dalam Sharah Sahih Muslim menyebut:

وَفِي رِوَايَةٍ إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ وَفِي رِوَايَةٍ لَا يَلْطِمَنَّ الْوَجْهَ…قَالَ الْعُلَمَاءُ هَذَا تَصْرِيحٌ بِالنَّهْيِ عَنْ ضَرْبِ الْوَجْهِ لِأَنَّهُ لَطِيفٌ يَجْمَعُ الْمَحَاسِنَ وَأَعْضَاؤُهُ نَفِيسَةٌ لَطِيفَةٌ وَأَكْثَرُ الْإِدْرَاكِ بِهَا فَقَدْ يُبْطِلُهَا ضَرْبُ الْوَجْهِ وَقَدْ يَنْقُصُهَا وقد يشوه الوجه والشين فيه فاحش لانه بَارِزٌ ظَاهِرٌ لَا يُمْكِنُ سَتْرُهُ وَمَتَى ضَرَبَهُ لَا يَسْلَمُ مِنْ شَيْنٍ غَالِبًا وَيَدْخُلُ فِي النَّهْيِ إِذَا ضَرَبَ زَوْجَتَهُ أَوْ وَلَدَهُ أَوْ عبده ضرب تأديب فليجتنب الوجه

Terjemahan: Dalam satu riwayat yang lain: “Apabila kamu memukul…” dan dalam riwayat yang lain pula “Jangan kamu menampar muka”…berkata para ulama: Hadis ini menyebut secara jelas mengenai larangan memukul muka. Ini kerana muka sesuatu yang lembut (gentle) yang menghimpunkan segala keelokan. Anggota-anggota pada muka itu sangat berharga dan lembut juga sering terdedah. Memukul muka boleh merosakkannya atau boleh mencacatkannya atau boleh merosakkannya atau boleh menghodohkannya. Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas lagi zahir yang tidak mungkin untuk ditutupi. Apabila ia dipukul maka biasanya tidak selamat dari berlakunya kecacatan. Termasuklah dalam larangan ini memukul isteri atau anak atau hamba (sekalipun) untuk tujuan mendidik” (Al-Nawawi, Sharh Sahih Muslim, 16/165. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi)

  1. Kata al-Imam al-Son’ani dalam Subul al-Salam:

وَهُوَ دَلِيلٌ عَلَى تَحْرِيمِ ضَرْبِ الْوَجْهِ وَأَنَّهُ يُتَّقَى فَلَا يُضْرَبُ وَلَا يُلْطَمُ وَلَوْ فِي حَدٍّ مِنْ الْحُدُودِ الشَّرْعِيَّةِ وَلَوْ فِي الْجِهَادِ

Terjemahan: “Hadis ini merupakan dalil haram memukul muka dan ia (muka) dielakkan, tidak dipukul, tidak ditampar sekalipun dalam hudud yang disyariatkan dan sekalipun dalam jihad”. (Al-Son’ani, Subul al-Salam, 2/667. Beirut: Dar al-Hadith)

7. Muka atau wajah merupakan anggota yang memberikan identiti seseorang insan dikenali. Kerinduan, kasih, suka, benci antara sesama insan juga sering berkaitan dengan wajah. Pada wajah seseorang juga dapat diselami perasaannya. Wajah juga merupakan perlambangan kasih-sayang, maruah, penghormatan dan pelbagai perkara yang membabitan keinsanan seseorang Maka, Islam mengajar agar wajah insan itu dihormati.

8. Wajah merupakan anggota mulia yang dengannya insan menghadap ke arah tempat ibadah. Ia lambang kesungguhan insan menyerahkan diri kepada Allah. Ini seperti disebut dalam banyak tempat dalam al-Quran:

وَمِنۡ حَيۡثُ خَرَجۡتَ فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِۖ وَإِنَّهُۥ لَلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ١٤٩ وَمِنۡ حَيۡثُ خَرَجۡتَ فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِۚ وَحَيۡثُ مَا كُنتُمۡ فَوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ شَطۡرَهُۥ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيۡكُمۡ حُجَّةٌ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِي وَلِأُتِمَّ نِعۡمَتِي عَلَيۡكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٥٠

(Maksudnya) “Dan dari mana saja kamu keluar (datang), maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram, sesungguhnya perintah itu benar-benar sesuatu dari Tuhanmu. Dan Allah sekali-kali tidak lalai mengenai apa yang kamu kerjakan. Dan dari mana saja kamu (keluar), maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka hadapkanlah wajah-wajah kamu ke arahnya, agar tiada hujah bagi manusia atas kamu, kecuali orang-orang yang zalim diantara mereka. Maka janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepadaKU (sahaja). Dan agar AKU sempurnakan nikmatKU atas kamu, dan supaya kamu mendapat petunjuk” (Surah al-Baqarah ayat 149-150)

Nabi Ibrahim menyebut:

إِنِّي وَجَّهۡتُ وَجۡهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ حَنِيفٗاۖ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٧٩

“Sesungguhnya aku hadapkan wajahku kepada DIA yang menciptakan langit dan bumi dalam keadaan bertauhid dan aku bukan dari kalangan mereka yang musyrik” (Surah al-An’am ayat 79).

Anak Isteri Lebih Dilarang

9. Islam memerintahkan umatnya berdisiplin dalam tindakan sekalipun ketika marah. Jika musuh di medan peperangan disuruh untuk kita elakkan mencacatkan wajah ataupun muka mereka ketika bertempur, padahal keadaan di medan peperangan itu biasanya sukar untuk dikawal pergerakan. Maka apatahlagi mereka yang bukan musuh yang tidak bertarung dengan kita. Anak, isteri dan juga murid bukanlah musuh kita, maka lebih wajar untuk tidak memukul ataupun menampar muka mereka. Perintah larangan memukul atau menampar muka mereka tentu tentu lebih utama. Kata al-Hafiz Zain al-Din Abd al-Rahim al-‘Iraqi (meninggal 806H) dalam Tarh al-Tathrib (طرح التثريب):

أَنَّهُ إذَا حَصَلَتْ مُقَاتَلَةٌ مِنْ الْجَانِبَيْنِ وَلَوْ فِي دَفْعِ صَائِلٍ وَنَحْوِهِ يَتَّقِي وَجْهَهُ فَمَا ظَنُّك بِمَا إذَا لَمْ يَقَعْ مِنْ الْجَانِبِ الْآخَرِ ضَرْبٌ فَهُوَ أَوْلَى بِأَنْ يَتَّقِيَ الْوَجْهَ؛ لِأَنَّ صَاحِبَ الْمُدَافَعَةِ قَدْ تَضْطَرُّهُ الْحَالُ إلَى الضَّرْبِ فِي وَجْهِهِ، وَمَعَ ذَلِكَ فَنَهَى عَنْهُ فَاَلَّذِي لَا يُدَافِعُهُ الْمَضْرُوبُ أَوْلَى بِأَنْ يُؤْمَرَ بِاجْتِنَابِ الْوَجْهِ.. يَدْخُلُ فِي ذَلِكَ ضَرْبُ الْإِمَامِ أَوْ مَأْذُونِهِ فِي الْحُدُودِ وَالتَّعَازِيرِ، وَضَرْبُ الْإِنْسَانِ زَوْجَتَهُ أَوْ وَلَدَهُ أَوْ عَبْدَهُ عَلَى طَرِيقِ التَّأْدِيبِ

Terjemahan: “Apabila berlaku peperangan antara dua pihak, sekalipun untuk mempertahankan diri dari serangan penyerang atau seumpamanya maka dia (hendaklah) mengelakkan (menyerang) muka. Justeru, apatahlagi untuk kau fahami jika tidak berlaku pukulan (serangan) dari pihak yang lain, maka sudah pastilah lebih wajar untuk menjauhi muka. Ini kerana, pihak yang mempertahankan diri kadang-kala keadaan memaksanya untuk memukul muka, pun begitu perkara itu dilarang. Maka, orang tidak mempertahankan diri dari serangan lebih wajar untuk diperintahkan mengelakkan (memukul) muka…termasuk dalam perkara ini pukulan (hukuman) imam (pemerintah) atau pihak yang dibenarkan (melaksanakan hukuman) hudud dan ta’zir. (Begitu juga) pukulan seseorang pada isterinya atau anaknya atau hambanya yang bertujuan mendidik”.( sumber: al-‘Iraqi, Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 8/16. Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabi)

  1. Dalam Faidh al-Bari, al-Imam Anwar Shah al-Kashmiri (meninggal 1353H) dalam Faidh al-Bari (فيض الباري) mengulas hadis ini dengan menyebut:

والأَمْرُ بالاتقاء عن الوَجْه ليس مخصوصًا بالإِنسان، بل ينبغي أن لا يُضْرب وَجْهُ الفَرَس أيضًا

(Larangan mengelakkan memukul muka bukan hanya khusus tehadap insan, bahkan sepatutnya tidak dipukul muka kuda juga). (4/37. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)

Pendapat al-Kashmiri ini selaras dengan bab yang telah diletakkan oleh al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim iaitu بَابُ النَّهْيِ عَنْ ضَرْبِ الْحَيَوَانِ فِي وَجْهِهِ وَوَسْمِهِ فِيهِ (Bab Larangan Memukul Binatang dan Membuat Tanda Pada Mukanya).

Demikianlah, wajah binatang pun disuruh untuk kita elakkan dari mencederakannya. Apatahlagi wajah manusia. Betapa luasnya rahmat dan ihsan Islam ini untuk semua pihak.

11. Pendidikan dibina atas kasih sayang. Bagaimanakah mungkin untuk ibubapa ataupun guru menampar muka orang yang mereka kasihi?! Mungkin kadang-kala atas perasaan marah, namun kemarahan dalam kehidupan ini hendaklah dikawal agar tidak melanggar batasannya. Sepertimana cinta, sedih, cemburu dan perasaan yang lain ada kawalannya, demikianlah kemarahan dalam diri seseorang. Memukul ataupun merotan anak dibolehkan dengan syarat-syaratnya tetapi bukan pada muka dan mana-mana anggota yang boleh mendatangkan kecacatan kekal ataupun serius.